Selasa, 3 April 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


31 maut pesawat Russia terhempas

Posted: 02 Apr 2012 11:57 AM PDT

MOSCOW: Seramai 31 orang terbunuh semalam apabila sebuah pesawat penumpang terhempas beberapa minit selepas berlepas dari lapangan terbang di Siberia.

Ia nahas terbaru yang melanda industri penerbangan Russia.


Kementerian Bantuan Kecemasan berkata, pesawat buatan Perancis-Itali ATR-72 itu membawa 39 penumpang dan empat kru kabin ketika ia terhempas 45 kilometer dari bandar raya Tyumen di barat Siberia ketika dalam penerbangan menuju ke bandar minyak Surgut. "Seramai 12 orang yang cedera berada dalam keadaan kritikal, manakala 31 orang terbunuh," menurut kenyataan Kementerian Bantuan Kecemasan Tyumen. Pesawat ATR-72 dua enjin itu dikendalikan oleh UTair, syarikat penerbangan swasta Russia yang menguruskan kebanyakan penerbangannya di barat Siberia dan Pergunungan Ural.

Dalam kenyataannya, syarikat penerbangan itu berkata, pesawat berkenaan terhempas sejurus berlepas tetapi terpaksa melakukan pendaratan cemas kira-kira 1.5 kilometer dari Lapangan Terbang Roshchino. Pegawai keselamatan lapangan terbang memberitahu agensi berita Interfax, pesawat hanya mampu terbang kira-kira 100 meter sebelum ia terputus hubungan dengan pengawal trafik udara. "Masalah teknikal pesawat itu mungkin timbul ketika ia berlepas dan juruterbangnya cuba untuk melakukan pendaratan cemas," lapor Interfax sebagai memetik kenyataan pegawai lapangan terbang.


UTair tidak memberi sebarang penjelasan mengenai punca nahas. Industri penerbangan Russia sering diselar kerana kekerapan kemalangan.


Sebuah pesawat membawa Presiden Poland, Lech Kaczynski dan pegawai kanan lain terhempas berhampiran bandar Russia, Smolensk pada April 2010, menyebabkan 96 orang terbunuh. - AP




Heidi ada kekasih baru

Posted: 02 Apr 2012 11:55 AM PDT

LOS ANGELES: Ketika Heidi Klum bercakap buat kali pertama bulan lalu mengenai keruntuhan rumah tangganya, supermodel itu turut mengumumkan dia bersedia untuk meneruskan kehidupannya.

Kini hanya dua bulan sejak pengumuman dia berpisah dengan bintang pop Seal dibuat, ibu empat anak itu meneruskan kehidupannya dengan bantuan rakan setugas yang telah diperkenalkan kepada bapanya. Heidi, 38, yang dilahirkan di Jerman dilihat makan bersama Thomas Hayo, seorang daripada rakan setugasnya dalam rancangan "Germany's Next Top Model" - malah, membenarkan Hayo menyuapnya ketika mereka duduk di meja di set penggambaran.


Heidi kelihatan santai ketika meluangkan masa dengan Hayo, pakar pemasaran di New York yang dilihat meletakkan tangannya di paha supermodel itu ketika mereka berehat sebentar daripada penggambaran. Namun, kehadiran bapa Heidi, Gunther menunjukkan ada sesuatu berlaku antara kedua-duanya.

Hayo yang telah mengenali Heidi lebih daripada 10 tahun bersalam dengan Gunther yang tersenyum sebaik tiba di tempat penggambaran di Los Angeles, kelmarin. Heidi menceraikan suami pertamanya, Ric Pipino pada 2002 dan bertemu dengan Seal pada 2003 ketika mengandungkan Leni yang kini berusia tujuh tahun. - DM




Tiada ulasan:

Catat Ulasan