Khamis, 29 Mac 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Arab akur Bashar berkuasa

Posted: 29 Mar 2012 12:19 PM PDT

Dunia

GAMBAR fail disediakan oleh agensi berita rasmi Syria, SANA, Presiden Syria Bashar Assad sedang membuang undi bersama isterinya, Asma, di Damsyik Syria pada 26 Februari 2012 lalu. - Foto AP

GAMBAR fail disediakan oleh agensi berita rasmi Syria, SANA, Presiden Syria Bashar Assad sedang membuang undi bersama isterinya, Asma, di Damsyik Syria pada 26 Februari 2012 lalu. - Foto AP

Deklarasi Baghdad tidak akan desak pemimpin Syria letak jawatan

BAGHDAD: Pemimpin Arab yang menyertai sidang kemuncak serantau pertama di Baghdad serta turut dihadiri Emir Kuwait sejak kempen tentera Barat menawan Iraq pada 1990, mengakui tidak akan mendesak pemimpin Syria, Bashar al-Assad menyerah kuasa.

Ketika sidang bermula semalam, anggota keselamatan Syria menyerang kubu pemberontak di seluruh negara itu selepas pentadbiran Bashar menolak inisiatif Liga Arab.

Kami (Menteri Luar) juga tidak akan meminta langkah itu dilakukan dan keputusan peringkat atas juga begitu. - Hoshyar Zebari, Menteri Luar Iraq

Meskipun Syria menjadi fokus selepas hampir 10,000 orang maut dalam pemberontakan terhadap Bashar lebih setahun lalu, pemimpin Arab sebaliknya membincangkan isu lain daripada konflik Arab-Israel dan menggerakkan semula ekonomi 22 negara anggotanya.

Mereka mengaku tidak akan meminta Bashar melepaskan jawatan dan tidak membincangkan langkah membekalkan senjata kepada pemberontak Syria.

Sebaliknya, mereka akan menggesa kerajaan Syria dan penentangnya berunding mengikut pelan enam perkara yang dicadangkan utusan damai PBB dan Liga Arab, Kofi Annan, menurut Deklarasi Baghdad.

"Bagaimanapun, pemimpin rantau itu mengutuk keganasan, pembunuhan dan pertumpahan darah serta menyokong penyelesaian politik menerusi dialog," kata dokumen yang bakal disiarkan selepas sidang tamat.
Menteri Luar Iraq, Hoshyar Zebari berkata, sidang itu tidak menyokong cadangan Qatar dan Arab Saudi menggunakan tindakan tentera menyelesaikan krisis Syria.

"Inisiatif Liga Arab jelas dan tidak menuntut Bashar meletak jawatan," kata Zebari apabila ditanya media selepas mesyuarat peringkat menteri tamat.

"Kami (Menteri Luar) juga tidak akan meminta langkah itu dilakukan dan keputusan peringkat atas juga begitu," katanya lagi.

Ditanya sama ada langkah membekalkan senjata kepada pemberontak Syria ditimbulkan, Zebari berkata: "Kami tidak langsung bincang perkara itu."

Hanya Qatar dan Arab Saudi mendesak Bashar menyerah kuasa manakala negara lain menyokong rundingan diadakan, termasuk Iraq.

Sembilan pemimpin serantau termasuk Emir Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad al-Sabah melakukan lawatan pertama ke Iraq sejak lebih 20 tahun untuk menghadiri rundingan peringkat menteri ekonomi dan luar selama dua hari di sini.

Tindakan Saddam menawan Kuwait pada 1990 dilakukan beberapa bulan selepas Baghdad menjadi tuan rumah sidang Arab terakhir sebelum ini.

Televisyen menunjukkan Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki menyambut Sheikh Sabah di lapangan terbang Baghdad.

Duta Mesir ke Liga Arab, Afifi Abdel Wahab, memberitahu wartawan bahawa badan serantau itu akan mengadakan sidang kemuncak seterusnya di ibu negara Qatar, Doha. – AFP

Doktor bantu CIA dipecat

Posted: 29 Mar 2012 12:17 PM PDT

Dunia

PESHAWAR: Pakistan memecat seorang pakar bedah kerajaan yang direkrut Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) untuk membantu mengesan pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden.

Dr Shakeel Afridi dipecat atas alasan melanggar disiplin oleh kerajaan wilayah barat laut, Khyber Pakhtunkhwa, lokasi Osama dibunuh dalam serbuan komando Amerika Syarikat (AS) Mei lalu yang dianggap memalukan Pakistan.

"Kerajaan negeri Pakhtunkhwa mengeluarkan notis pemecatan Dr Shakeel Afridi," kata setiausaha kesihatan wilayah, Ashfaq Khan. Seramai 17 lagi pegawai perubatan yang bekerja dalam program vaksin palsu ditubuhkan CIA dalam usaha mengesahkan Osama tinggal di bandar Abbottabad sudah pun dipecat, katanya lagi.

Selain itu, seramai 15 pekerja kesihatan wanita dipecat Ogos tahun lalu dan seorang doktor wanita serta seorang pembantu koordinator diberhentikan pada 17 Mac, kata Ashfaq.

Shakeel yang sudah berkhidmat sejak beberapa tahun sebagai pakat bedah kerajaan di daerah puak tanpa undang-undang, Khyber, kini berada dalam tahanan pihak berkuasa Pakistan.

Pegawai Pakistan percaya Shakeel mungkin sudah mengetahui kehadiran Osama di Abbottabad dan berkongsi maklumat dengan perisikan AS. – AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan