Rabu, 28 Mac 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Boleh soal kami 'online': Taliban

Posted: 28 Mar 2012 12:41 PM PDT

Dunia

Pergerakan militan Afghanistan wujudkan ruang bersoal jawab di laman web

KABUL: Pergerakan Taliban mewujudkan ruang soal jawab di laman webnya bagi membolehkan sesiapa juga bertanya kepadanya mengenai apa jua pendiriannya termasuk sama ada ayat suci al-Quran boleh disiarkan di Facebook atau pengebom bunuh diri yang membunuh orang awam tidak bersalah.

Mereka yang berminat boleh mengemukakan soalan di laman Voice of Jihad, laman web rasmi Emiriah Islam Afghanistan, nama rasmi pergerakan itu untuk dijawab jurucakapnya, Zabihullah Mujahid. Kewujudan ruang perbincangan awam di internet itu menunjukkan sejauh mana pergerakan itu mengubah pendiriannya mengenai teknologi. Apabila berkuasa, Taliban mengharamkan televisyen atas alasan programnya tidak bercirikan keislaman, malah menggantung televisyen di atas pokok.

Kini mereka memanfaatkan media sosial dan turut mempunyai akaun Twitter seperti juga pengaman Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) diketuai NATO, dengan jurucakapnya sering bertikam lidah online.

Bulan lalu, bekas ketua skuad pencegah maksiat Taliban, Maulavi Qalamuddin yang merotan wanita kerana tidak memakai burqa dan memenjarakan lelaki jika tidak berjambang, memberitahu AFP beliau kini memiliki dua televisyen di rumahnya.

Laman Voice of Jihad penuh dengan kutukan terhadap kerajaan Kabul menyifatkannya hamba atau boneka Barat selain kafir dan 'musuh Islam' selain menggembar-gemburkan kejayaannya menentang pemerintah sejak satu dekad lalu.
Jawapan yang diberi menggunakan gaya bahasa konsisten dan jelas ditulis individu yang mendedahkan dirinya sudah berkahwin, berusia pertengahan dan suka makanan halal tetapi enggan memberi lebih banyak perincian peribadi atas alasan keselamatan.

Kebanyakan soalan jelas daripada penyokong Taliban dan memuji militan, kadangkala mengucapkan selamat berjaya dalam perang suci menentang tentera Salib.

Namun, pelawat memberi namanya sebagai Haseeb Ul Rahman berkata: "Tidakkah anda fikir membunuh orang menerusi serangan bunuh diri dan letupan bom setiap hari adalah dosa besar? Siapa yang anda fikir dipertanggungjawabkan oleh Allah?"

Lebih 3,000 orang awam maut dalam konflik Afghanistan tahun lalu, lebih tiga perempat dibunuh Taliban atau pemberontak lain, Mujahid merujuk 'masalah teknikal' dalam isu kematian itu.

"Saya setuju membunuh orang awam tidak dapat diterima, namun marilah ingat ada kalanya orang awam terkorban dan ada kalanya ia hanya propaganda musuh," katanya. – AFP

Pesawat kawalan jauh AS bakal ronda Asia Pasifik

Posted: 28 Mar 2012 12:38 PM PDT

Dunia

SYDNEY: Australia mungkin membenarkan Amerika Syarikat menggunakan wilayahnya untuk melancarkan operasi pesawat kawalan jarak jauh meronda kawasan Asia-Pasifik. Ia sebahagian rancangan Amerika meningkatkan kehadirannya di Asia Pasifik yang menimbulkan kemarahan China.

Washington dan Canberra merancang memperluas hubungan ketenteraan dengan kerahan pertama 2,500 anggota marin ke utara Australia didedahkan November lalu oleh Presiden Barack Obama dan mereka dijangka tiba bulan depan.

Rancangan itu menimbulkan kemarahan Beijing dan membimbangkan beberapa negara Asia selepas Washington membuat kenyataan bahawa ia berhasrat menjaga kepentingannya di rantau ini ketika China semakin agresif.

Cocos adalah satu kemungkinan...ia prospek jangka panjang dan perlu dianggap sebegitu. - Stephen Smith, Menteri Pertahanan Australia

Media Australia memetik berita dalam akhbar Washington Post bahawa Amerika mempertimbangkan Kepulauan Cocos, pulau batu karang di Lautan Hindi , barat laut Australia, untuk melancarkan pesawat kawalan jauh itu.

Cocos akan menggantikan pangkalan Diego Garcia di Lautan Hindi, selepas Amerika memajaknya dari Britain dan dijangka digunakan semula menjelang 2016.

Kapal pengangkut pesawat dan kapal selam berkuasa nuklear juga akan diletakkan di Perth sebagai sebahagian usaha memfokus semula sumber pertahanan Amerika di rantau itu, tambah laporan.

Menteri Pertahanan Australia, Stephen Smith berkata penggunaan Pulau Cocos adalah satu langkah jangka panjang untuk merapatkan hubungan dua negara selain kerana pangkalan udaranya perlu di naik taraf sebelum dapat digunakan.
"Cocos adalah satu kemungkinan...ia prospek jangka panjang dan perlu dianggap sebegitu," kata Smith kepada radio ABC.

"Ia bukan ideal ketika ini kerana satu daripada perkara yang kita perlu lakukan adalah satu naik taraf infrastruktur, terutama tempat pendaratan pesawat.

"Ia adalah antara alasan sebab mengapa ia adalah untuk jangka panjang." Naik taraf memerlukan perbelanjaan antara A$75 hingga A$100 juta (RM239.58 juta hingga RM319.45 juta), tambahnya.

Cocos dilihat sebagai lokasi terbaik untuk menempatkan pesawat pemantau tanpa pemandu untuk mengawasi laluan perkapalan paling sibuk dan Laut China Selatan.

China, Taiwan, Filipina, Vietnam, Malaysia dan Kemboja membuat tuntutan di kawasan tertentu di situ.

Smith berkata, kerjasama lebih rapat adalah perkara utama bermula dengan kehadiran marin Amerika di Wilayah Utara, capaian ruang udara lebih besar dan penggunaan lebih baik HMAS Stirling berpangkalan di Perth. – AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan