Selasa, 13 Mac 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Gencatan senjata Gaza bermula

Posted: 13 Mar 2012 02:19 PM PDT

Dunia

REMAJA Palestin melihat keadaan sebuah kediaman yang musnah akibat serangan udara Israel di timur kem pelarian Jabaliya, Gaza.

REMAJA Palestin melihat keadaan sebuah kediaman yang musnah akibat serangan udara Israel di timur kem pelarian Jabaliya, Gaza.

GAZA: Israel dan kumpulan Jihad Islam dengan Mesir sebagai pengantara, bersetuju memulakan gencatan senjata mulai semalam selepas 26 penduduk Gaza terbunuh dan lebih 80 cedera dalam serangan udara rejim Zionis yang bertindak balas atas serangan pejuang Palestin sejak empat hari lalu.

Menurut perjanjian itu yang berkuat kuasa pada jam 1 pagi waktu tempatan, Israel dan Jihad Islam yang melancarkan roket ke selatan Israel, bersetuju menghentikan serangan, kata pegawai Mesir.

Kedua-dua pihak mengesahkan perjanjian itu diikuti, walaupun segera memberi amaran ia tidak berpanjangan jika mana-mana pihak melanggar persetujuan. "Ada persefahaman dan kami mengikut apa yang di lapangan. Keadaan semakin tenang dan peperangan dihentikan," kata Menteri Pertahanan Dalam Negeri, Matan Vilnai kepada radio awam Israel.

Di Gaza, jurucakap Jihad Islam berkata, kumpulan itu sedia menghormati perjanjian jika rejim Zionis menghentikan tindakannya menyasarkan anggotanya.

"Kami terima gencatan senjata jika Israel menghentikan serangan dan pembunuhan," kata Daud Shihab.

Berita perjanjian itu diumum selepas Mesir menjadi orang tengah dalam apa yang disifatkan pegawai perisikan negara itu sebagai gencatan senjata menyeluruh.
"Perjanjian menamatkan operasi antara kedua-dua pihak, termasuk menghentikan pembunuhan, memasuki fasa kuat kuasa pada jam 1.00 pagi waktu tempatan," katanya sambil menegaskan perjanjian itu dicapai selepas Mesir mengadakan hubungan intensif dengan kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, Vilnai menafikan ada perjanjian untuk menamatkan kempen membunuh yang dilancarkan tentera rejim Zionis.

"Sesiapa yang terbabit dalam keganasan menentang Israel perlu tahu mereka dalam perhatian kami," katanya ketika memberi amaran.

Tiada kenyataan dikeluarkan oleh Hamas, pentadbir Gaza yang meminta bantuan Kaherah untuk mengembalikan keamanan.

Sejak perjanjian berkuat kuasa, bilangan roket yang ditembak ke Israel berkurangan mendadak, dengan polis melaporkan cuma dua mendarat di kawasan selatan tetapi tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kerosakan.

Pengumuman dibuat selepas empat hari ketegangan bermula Jumaat lalu dengan pembunuhan ketua Jawatankuasa Penentangan Popular (PRC), Zuhair Qaisi, oleh Israel. Ia menyebabkan pejuang membedil lebih 200 roket dan mortar ke selatan Israel, mencederakan lapan warga Yahudi dan memaksa pihak berkuasa menutup sekolah dalam jarak sasaran bedilan roket dari Gaza.

Tentera Israel kemudian melancarkan berpuluh-puluh serangan udara menyasarkan pejuang dan kemudahan senjata.

Sekalipun begitu, penduduk Israel pula dilaporkan tidak bersetuju jika pihak tentera melancarkan kempen ketenteraan lebih lama seperti pada 2008 dan 2009 apabila 1,400 penduduk Palestin dan 13 warga Yahudi terbunuh.

Gaza dihuni 1.7 juta penduduk Palestin dan dijajah Israel mulai 1967 hingga 2005 apabila askarnya berundur meskipun wilayah itu terus dikenakan sekatan rejim Zionis itu. – AFP/Reuters

31 terbunuh feri karam langgar bot kargo

Posted: 13 Mar 2012 02:18 PM PDT

Dunia

DHAKA: Sebuah feri membawa 200 penumpang karam di sungai selatan Bangladesh semalam, meragut 31 nyawa manakala puluhan lagi masih hilang.

Ketua polis tempatan, Mohammad Shahabuddin Khan, berkata kira-kira 35 orang diselamatkan apabila feri karam di sungai Meghna selepas berlanggar dengan bot kargo pada awal pagi. Penyelam menemui 31 mayat dari dalam feri yang karam itu.

"Jumlah kematian mungkin meningkat kerana banyak mayat masih terperangkap. Keadaan lebih jelas apabila feri itu ditarik keluar," katanya. Beliau berkata, mangsa yang mati termasuk wanita muda yang ditemui memangku anaknya yang sudah tidak bernyawa.

Feri MV Shariatpur-1 dalam perjalanan ke ibu negara, Dhaka dari daerah berjiran Shariatpur ke barat daya. Lokasi kemalangan ialah daerah Munshiganj, kira-kira 32 kilometer di selatan Dhaka.

Seorang mangsa yang terselamat, Dulal Dewan, menceritakan yang keadaan menjadi kelam kabut sebaik feri bertembung dengan kapal kargo.

"Saya terbangun apabila merasai gegaran kuat. Saya terjun dalam kegelapan sebaik feri mula tenggelam. Beberapa minit kemudian ramai penumpangnya menjerit meminta tolong," kata ahli perniagaan itu yang duduk di bahagian geladak feri.
Dewan berkata, beliau diselamatkan bot berhampiran. Khan menganggarkan 200 penumpang dalam feri tetapi Dewan berkata kira-kira 300 orang berada dalam feri dua tingkat ketika ia karam.

Sukar untuk menganggarkan dengan jelas jumlah penumpang kerana pengendali feri jarang menyediakan senarai penumpang. Kebanyakan penumpang membeli tiket atas feri.

Pegawai pentadbir kerajaan kawasan itu, Azizul Alam, berkata pihaknya mengarahkan penyiasatan punca kejadian. – AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan