Selasa, 6 Mac 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


1,000 wanita Islam terperdaya

Posted: 06 Mar 2012 02:29 PM PST

Dunia

Askar abaikan pasangan hidup selepas tamat tugas di Selatan Thai

NARATHIWAT: Permasalahan isu keganasan di Selatan Thailand dirumitkan lagi dengan tindakan askar kerajaan meninggalkan begitu saja 1,000 wanita Islam selepas menjalin hubungan atau berkahwin dengan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Mengenai Keadilan dan Hak Asasi Manusia berkaitan masalah sempadan di Selatan Thailand, Chaiyong Maneerungsakul, berkata wanita Islam menjadi mangsa sosial berpunca daripada keganasan tempatan apabila menjalin hubungan dengan askar Buddha yang dihantar bertugas di rantau itu. Ada anggota tentera jatuh cinta dengan wanita berkenaan dan mengahwini mereka tetapi apabila kembali ke rumah mereka atau wilayah lain, wanita Islam terbabit tidak dapat mengatasi masalah kejutan budaya dan pulang semula ke wilayah Selatan.

Oleh sebab itu, tentera yang dihantar ke Selatan turut menjadi punca kepada banyak masalah sosial di wilayah itu, kata Chaiyong yang dipetik akhbar Bangkok Post, semalam.

Pendedahan isu 1,000 wanita Islam itu menyusuli kes rakaman menunjukkan seorang remaja tempatan berusia 16 tahun dicabul askar kerajaan.

Laporan menyatakan, pada 22 Januari lalu, seorang askar dikenali sebagai Winai sama ada 'bersetuju untuk bertemu dengan mangsa' atau 'menggoda mangsa' terbabit ke satu tempat terpencil di sebuah hospital dekat pos kawalan tentera.
Kejadian rogol atau 'seks' berlaku dengan kejadian dirakam seorang lagi askar kerajaan diberi nama Yot.

Meskipun mangsa tidak melawan, remaja itu jelas cuba menyembunyikan mukanya daripada kamera. Prebet Winai tersenyum dan ketawa manakala Prebet Yot didengar memberi semangat kepada rakannya.

Selepas itu, Yot menghantar klip berkenaan kepada rakan-rakannya yang mengedarkan rakaman itu sebelum turut diterima rakan mangsa menyebabkan ibu bapa mangsa mengadu kepada pihak berkuasa.

Dalam keganasan terbaru, sebutir bom meletup di sebuah pasar di daerah Tak Bai, membunuh seorang dan mencederakan tujuh yang lain manakala dalam kejadian berasingan di Yala, seorang askar di bawah pengaruh dadah dilaporkan menembak mati seorang rakan tenteranya dan mencederakan tiga yang lain.

Bom meletup di pasar Ban Taba Moo 1 di Tambon Jeh He, berhampiran pangkalan feri.

Bom seberat lima kilogram yang diletupkan dengan alat kawalan jarak jauh itu turut mencederakan seorang rakyat Malaysia dikenali sebagai Paosi Awae.

Di YALA, polis menahan Prebet Bancha Raklaemkae, 22, selepas satu kejadian tembakan awal pagi di Yala Taskforce 14 di Ban La Tor, Tambon Kabang. Bancha didapati berada di bawah pengaruh methamphetamin ketika kejadian. – Agensi

Tak kesal mohon maaf kes bakar al-Quran

Posted: 06 Mar 2012 02:29 PM PST

Dunia

WASHINGTON: Komander tentera NATO di Afghanistan berkata, beliau tidak kesal mengemukakan permohonan maaf kepada Afghanistan atas kejadian membakar al-Quran di pangkalan tentera Amerika dan menyuarakan harapan krisis insiden itu akan berakhir segera.

Ditanya dalam temuramah dengan ABC World News, mengenai kritikan sesetengah pihak di Amerika Syarikat terhadap permohonan maaf Presiden Barack Obama terhadap Kabul, Jeneral Amerika Syarikat, John Allen mempertahankan langkah itu dan ia berkemungkinan besar menyelamatkan nyawa.

"Mengapa tidak? Ini adalah ayat Tuhan bagi mereka. Mengapa kita tidak (memohon maaf)? Kita tidak melakukannya dengan sengaja tetapi kita perlu memohon maaf dan kita sudah lakukan," kata Allen. Beliau tetap dengan pandangan optimis bahawa protes disebabkan pembakaran al Quran akan segera berakhir dan hubungan Amerika dan Afghanistan bakal pulih daripada ketegangan ketika ini.

"Kami harap ketegangan berakhir. Hubungan ini sangat kuat dan kami rasa kekuatan hubungan ini menyebabkan kami berjaya melaluinya dan begitu juga hubungan jangka panjang di masa hadapan bersama.

"Saya dapat rasakan Presiden (Hamid Karzai) mahu terus melangkah ke hadapan," katanya memberitahu wartawan ABC, Martha Raddatz.

Selepas salinan al-Quran dihantar ke satu insinerator di pangkalan udara Bagram dua minggu lalu, keganasan anti-Amerika mula tercetus menyebabkan 40 orang mati termasuk enam tentera Amerika.
Walaupun keganasan meletus, Allen berkata, beliau meminta anak buahnya supaya bersabar dan tidak bertindak membalas dendam atas serangan yang dilakukan tentera Afghanistan.

"Anda tahu, kuasa besar tidak akan marah, kuasa besar tidak membuat keputusan tergesa-gesa menghadapi krisis.

"Keadaan memang mencabar tetapi kita mampu melaluinya," kata jeneral itu.
Tentera Amerika menegaskan, al-Quran dihantar ke insinerator dengan tidak sengaja dan kejadian itu tidak dirancang.

Isnin lalu, pejuang Taliban mendakwa bertanggungjawab melakukan serangan yang membunuh sekurang-kurang dua orang awam di pangkalan Bagram berdekatan ibu negara Afghanistan, Kabul dengan berkata, ia adalah bagi membalas dendam terhadap insiden pembakaran al-Quran. – AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan