Utusan Online - Luar Negara |
2 warga Iran dituduh jadi pengebom Posted: 2 warga Iran dituduh jadi pengebomBANGKOK 15 Feb. - Thailand hari ini mendakwa dua rakyat Iran di mahkamah atas tuduhan berkomplot mengebom diplomat Israel, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Teheran yang dituduh melancarkan kempen serangan ke atas kepentingan Israel. Ketegangan antara negara seteru di Asia Barat itu meningkat secara mendadak ekoran tiga serangan bom di beberapa negara dalam tempoh 24 jam ke atas Israel, tetapi Iran dengan tegas menafikan tuduhan yang mendakwa mereka terlibat. Kelmarin, serangan bom disasarkan terhadap kakitangan kedutaan Israel di India dan Georgia. Di Bangkok, dua rakyat Iran ditahan berhubung tiga letupan di ibu negara ini semalam. Menteri Luar, Surapong Tovichakchaiku berkata, mereka didakwa di mahkamah atas tuduhan melakukan serangan bom serta beberapa kesalahan lain. "Buat masa ini, kami tidak boleh menyatakan ini adalah tindakan pengganas, tetapi insiden tersebut sama seperti cubaan serangan terhadap seorang diplomat di India," katanya. Suspek yang ditahan itu ialah Saeid Morat, 28, yang putus kedua-dua belah kaki selepas sebutir bom yang dibawanya meletup, semalam. Menurut hospital Bangkok, keadaannya kini stabil tetapi masih belum sedarkan diri. Seorang lagi suspek ditahan ketika cuba menaiki pesawat meninggalkan Thailand, manakala suspek ketiga dipercayai melarikan diri ke Malaysia. "Lelaki Iran ini adalah pasukan pembunuh dan mereka menyasarkan diplomat Israel termasuk dutanya. "Rancangan mereka ialah meletakkan bom pada kenderaan diplomat tersebut," kata pegawai perisikan Thai yang enggan dikenali. Menurut polis Thailand, mereka turut menemui bahan letupan dan magnet di sebuah rumah di kawasan penempatan Bangkok, tempat letupan pertama berlaku. "Saya melihat dua lelaki seperti rakyat Asia Barat yang berdarah lari keluar dari rumah itu," kata Da Klond, seorang pembantu rumah yang tinggal bertentangan dengan kediaman yang meletup itu. Bangkok telah berada dalam keadaan berwaspada sejak polis mendakwa dua lelaki Lebanon merancang melakukan serangan bulan lalu, selepas Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kawasan pelancongan di negara itu mungkin akan menjadi sasaran. Pihak berkuasa Thailand mendapati lelaki Lebanon itu mempunyai kaitan dengan Hezbollah, kumpulan Syiah yang mendapat sokongan Iran dan Syria dan disenaraikan sebagai pertubuhan pengganas oleh AS. Jurucakap Kementerian Luar Iran, Ramin Mehmanparast menolak 'tuduhan oleh rejim Zionis yang mengaitkan Iran' dengan letupan tersebut. Beliau menuduh Israel cuba merosakkan hubungan baik dan bersejarah antara Iran dengan Thailand. - AFP |
Penjara Honduras terbakar, lebih 350 banduan terbunuh Posted: Penjara Honduras terbakar, lebih 350 banduan terbunuhSEORANG lelaki yang cedera parah tiba di hospital Escuela di Tegucigalpa, selepas kebakaran besar tengah malam Selasa di penjara Comayagua, kira-kira 75 kilometer ke utara ibu negara Honduras itu, semalam. Dianggarkan kira-kira 357 orang terbunuh dalam kejadian itu. - REUTERS TEGUCIGALPA 15 Feb. - Satu kebakaran besar di penjara sesak di Honduras menyebabkan lebih 350 banduan terbunuh, kebanyakannya kerana terperangkap di dalam tahanan. Menurut pejabat Peguam Negara, sekurang-kurangnya 357 orang terbunuh dalam kebakaran yang bermula lewat semalam itu di penjara Comayagua, kira-kira 75 kilometer ke utara ibu negara Tegucigalpa. Ketua perkhidmatan forensik di Comayagua, Lucy Marder berkata, mengikut laporan polis, seorang daripada mangsa yang terbunuh adalah wanita dan yang lainnya banduan, tetapi turut menyatakan beberapa yang disangka mati mungkin telah melarikan diri. Media tempatan melaporkan, ketua jabatan bomba Comayagua turut terbunuh dalam kebakaran itu. Insiden kebakaran di penjara ini adalah yang terburuk di Amerika Latin dan radio tempatan melaporkan, kebanyakan banduan mati terbakar di dalam penjara. Tentera, polis dan ahli keluarga yang bimbang berhimpun di luar penjara Comayagua hari ini dan gambar televisyen menunjukkan ada di antara mereka yang menangis dan mahu merempuh sekatan polis. Penjara itu menempatkan lebih 800 banduan, melebihi kapasitinya. Menurut pasukan bomba, mereka dihalang memasuki penjara itu kerana berlaku tembak-menembak, tetapi ketua penjara Daniel Orellana menegaskan tidak berlaku sebarang rusuhan. - REUTERS |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan