Rabu, 15 Februari 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Lelaki Iran letup bom di Bangkok

Posted:

Lelaki Iran letup bom di Bangkok

Lelaki Iran letup bom di Bangkok

SEORANG pakar pemusnah bom yang bekerja meniarap di lokasi kejadian di kawasan Ekamai di tengah Bangkok semalam.


BANGKOK - Seorang lelaki Iran parah di ibu kota Thailand di sini semalam apabila sebutir bom yang dibawanya meletup dan menyebabkan satu kakinya putus serta mencederakan lima yang lain, kata polis dan beberapa pegawai kerajaan.

Namun, mereka enggan membuat sebarang spekulasi sama ada lelaki berkenaan terbabit dalam aktiviti kumpulan militan.

Terdahulu, terdapat satu letupan kecil di sebuah rumah yang disewa lelaki tersebut di kawasan kejiranan Ekamai, pusat bandar raya ini dengan satu lagi letupan kecil berlaku di sebatang jalan berdekatan tidak lama kemudian.

"Polis berjaya mengawal situasi. Adalah dipercayai bahawa suspek mungkin menyimpan lebih banyak bahan letupan di rumah sewanya," kata jurucakap kerajaan, Thitima Chaisaeng kepada wartawan.

Polis berkata, mereka sedang memburu dua lagi lelaki yang tinggal di kediaman tersebut.

"Kami menemui pasport lelaki yang cedera itu. Ia adalah pasport Iran dan dia memasuki negara ini melalui Phuket dan tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada 8 Februari lalu," kata ketua polis, Jeneral Bansiri Prapapat kepada agensi berita Reuters.

Polis kemudian memberitahu, seorang suspek berkenaan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, di sini malam semalam.

Seorang lagi pegawai polis, Winai Thongsong memberitahu, lelaki berkenaan ditahan semasa mahu menaiki penerbangan menuju ke negara jiran, Malaysia.

Menurutnya, pihak berkuasa sedang menyoal siasat suspek tetapi setakat ini masih tidak dapat dipastikan sama ada dia terbabit dalam siri letupan semalam.

Ketiga-tiga letupan itu berlaku sehari selepas dua serangan bom disasarkan terhadap staf Kedutaan Israel di India dan Georgia.

Rejim Zionis menuduh Iran dan sekutunya, kumpulan Hizbollah di Lebanon sebagai bertanggungjawab untuk melakukan serangan tersebut.

Iran, bagaimanapun, menafikan terbabit dalam pengeboman di New Delhi dan Tbilisi tersebut.

Sementara itu, akhbar Israel semalam melaporkan serangan di India dan Georgia dibimbangi merupakan gelombang serangan terhadap warga Israel di luar negara.

Akhbar Haaretz melaporkan dua serangan kelmarin bertujuan untuk membalas pembunuhan empat saintis Iran sejak dua tahun lalu yang didakwa Teheran, didalangi Israel.

Dalam perkembangan berkaitan, polis Israel meningkatkan keadaan berjaga-jaga di Israel semalam selepas kakitangan kedutaan di India dan Georgia dijadikan sasaran serangan bom.

"Polis Israel meningkatkan tahap berjaga-jaga di Israel dengan penekanan diberikan kepada kawalan keselamatan di tempat awam termasuk kedutaan asing dan kawasan yang memiliki kepentingan asing seperti lapangan terbang," kata Ketua Polis, Micky Rosenfeld. - Agensi

Bajet pertahanan China meningkat

Posted:

Bajet pertahanan China meningkat

Bajet pertahanan China meningkat

SINGAPURA - Bajet untuk pertahanan China dijangka meningkat dua kali ganda di antara tahun 2011 dan 2015 dan di luar jangkaan perbelanjaan gabungan semua pasaran utama pertahanan lain di rantau Asia Pasifik, kata kumpulan penyelidikan global IHS semalam.

Bajet pertahanan China yang berjumlah AS$119.8 bilion (RM364.80 bilion) pada tahun lepas dijangka meningkat AS$238.2 bilion (RM725.34 bilion) pada 2015, menandakan kadar pertumbuhan tahunan 18.75 peratus dalam tempoh tersebut, ramal IHS yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Angka pada 2015 itu melebihi jumlah 12 negara yang digabungkan dan mempunyai bajet pertahanan terbesar di rantau ini dan ia hampir empat kali ganda perbelanjaan pertahanan Jepun yang menduduki tangga kedua perbelanjaan pertahanan tertinggi pada tahun itu.

"Beijing mampu untuk meningkatkan sebahagian besar daripada keseluruhan bajetnya ke arah pertahanan dan telah secara stabil membina keupayaan ketenteraannya lebih dua dekad lalu," kata Ketua Ekonomi Asia Pasifik, IHS Global Insight.

China akan menggunakan peruntukan tambahan itu untuk peralatan yang lebih moden dan dalam masa sama mengurangkan tenaga kerja.

Selain China dan Jepun, laporan itu turut menganalisis perbelanjaan pertahanan India, Korea Selatan, Australia, Taiwan, Singapura, Indonesia, Pakistan, Thailand, Malaysia, Vietnam dan New Zealand. - AFP

Ubat mungkin punca Houston mati

Posted:

Ubat mungkin punca Houston mati

Ubat mungkin punca Houston mati


KERETA yang membawa mayat Whitney Houston tiba di rumah mayat Whigham di Newark, New Jersey kelmarin.


LOS ANGELES - Doktor peribadi mendiang legenda pop wanita Amerika Syarikat (AS), Whitney Houston akan berdepan dengan soalan sama ada penyanyi itu mendapat beberapa ubat yang ditemui di dalam biliknya di Hotel Beverly Hilton di California itu adalah secara tidak sah, lapor akhbar dalam talian MailOnline semalam.

Mayat penyanyi berusia 48 tahun itu ditemui di dalam tab mandi di biliknya pada Sabtu lalu dan beberapa botol pil preskripsi termasuk ubat penahan sakit Ibuprofen, ubat antikeresahan Xanax, ubat senggugut, Midol dan ubat jangkitan bakteria, Amoxicillin serta beberapa ubat lain ditemui dalam bilik tersebut.

Penggunaan ubat tersebut menjadi spekulasi hangat bahawa Houston mungkin mati akibat banyak menggunakan ubat preskripsi dan alkohol, lapor agensi berita AFP.

Kelmarin polis berkata, penerbit dan bekas model itu ditemui tidak sedarkan diri di dalam tab mandi yang berair di bilik hotel tempatnya menginap.

Polis Beverly Hills melalui satu kenyataan menyatakan mereka tidak boleh membuat sebarang spekulasi terhadap punca kematian Houston.

Abang ipar Houston, Billy Watson kelmarin turut bersungguh-sungguh menafikan kepada stesen radio ABC, News.com bahawa penyanyi itu berniat membunuh diri.

Houston yang merupakan ibu kepada seorang anak perempuannya, Bobbi Kristina pernah berjuang akibat ketagihan dadah ganja.

Penyanyi itu ditemui mati hanya beberapa jam sebelum dia sepatutnya membuat persembahan dalam satu parti menjelang Anugerah Grammy.

Sementara itu, Penolong Ketua Koroner, Ed Winter berkata, orang ramai harus menunggu keputusan rasmi yang akan dikeluarkan nanti.

"Anda boleh melihat mayat itu dan tidak akan tahu punca kematiannya. Anda juga mungkin berasa curiga tetapi orang itu (Houston) mungkin mengalami serangan jantung atau arteri tersumbat atau sesuatu," terangnya.

Dalam pada itu, laman berita hiburan TMZ. com berkata, menurut sumber keluarga mendiang yang tidak mahu namanya didedahkan, Houston mati akibat percampuran ubat Xanax dan dadah preskripsi lain bersama alkohol.

Menurut TMZ.com, sumber itu juga mendedahkan kandungan air di dalam paru-paru Houston amat sedikit untuk dijadikan bukti bahawa dia mati lemas.

Mayat penyanyi yang terkenal dengan banyak lagu popular seperti I Will Always Love You itu tiba di rumah mayat Whigham di Newark, New Jersey kelmarin.

Menurut stsen televisyen CNN, sejumlah kenderaan polis mengiringi kereta jenazah Houston manakala sejumlah orang menunggu di rumah mayat berkenaan.

Ibu Houston, Crissy turut berada di dalam rumah berkenaan.

Lagu I Will Always Love You laris dijual di laman iTunes. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan