Kosmo Online - Dunia |
Kereta kedutaan Israel meletup Posted: Kereta kedutaan Israel meletup
NEW DELHI - Sebuah kereta milik kedutaan Israel meletup di ibu kota India di sini semalam menyebabkan dua orang cedera manakala punca letupan masih disiasat, kata polis. Jurucakap polis, Rajan Bhagat berkata, dua orang cedera apabila kereta tersebut meletup. Kenderaan itu yang diletakkan di sebatang jalan berhampiran kedutaan Israel di pusat bandar raya ini rentung akibat letupan. Seorang anggota polis yang ditemui di lokasi kejadian, Vinod Tokas memberitahu, kereta berkenaan memiliki nombor plat diplomatik. Sementara itu di Baitulmuqaddis, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam menyalahkan Iran berhubung serangan terhadap staf kedutaan di India dan Georgia, yang menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang cedera, seorang daripada mereka ialah wanita Israel. "Iran bertanggungjawab melakukan serangan-serangan ini. Negara itu merupakan pengeksport keganasan terbesar di dunia," kata Netanyahu kepada anggota-anggota Parti Likud pimpinannya. Pemimpin Israel berkenaan memberitahu, terdapat beberapa percubaan untuk mencederakan warga Israel dan orang Yahudi sejak beberapa bulan lalu di tempat-tempat seperti Thailand dan Azerbaijan dengan siri serangan tersebut diselaraskan oleh Teheran dan kumpulan Hezbollah di Lebanon. "Dalam semua serangan ini, pihak yang bertanggungjawab ialah Iran dan proksinya, Hezbollah," kata Netanyahu. Menurutnya, Israel akan meneruskan tindakan tegas untuk mematahkan keganasan antarabangsa yang datang dari Iran. Kenyataan tersebut dibuat sejurus selepas sebuah kereta di luar kedutaan Israel di New Delhi meletup dengan menyebabkan dua orang cedera. Dalam satu kejadian berasingan, Kementerian Dalam Negeri Georgia mengesahkan bahawa polis di ibu negara berkenaan, Tbilisi telah mematikan sebuah bahan letupan yang ditemui di dalam sebuah kereta milik seorang kakitangan kedutaan Israel. - Agensi | |
Brazil minat jet tempur Perancis Posted: Brazil minat jet tempur PerancisSAO PAOLO - Brazil "hampir pasti" membeli jet pejuang Perancis, Rafale, bagi meningkatkan keupayaan pertahanan udara negara Amerika Selatan berkenaan. Keputusan tersebut jika dimuktamadkan kelak, bakal menjadikan Brazil memilih pesawat tempur itu. Presiden Brazil, Dilma Rousseff dan barisan penasihat kanan beliau percaya tawaran firma Perancis, Dassault Aviation untuk menjual 36 buah jet Rafale adalah yang terbaik secara keseluruhan berbanding dua lagi pesaingnya. Rousseff sebelum ini bimbang berhubung keupayaan Rafale berikutan belum ada pihak luar yang membeli jet pejuang berkenaan. Namun, beberapa sumber memberitahu, kebimbangan tersebut terlerai selepas India pada 31 Januari lalu mengumumkan untuk membeli 126 buah pesawat Rafale. Dua lagi pembida selain Perancis adalah jet pejuang F-18 Super Hornet buatan firma Amerika Syarikat (AS), Boeing dan jet tempur buatan Saab dari Sweden, Gripen. Pesawat AS, F-18 dipercayai lebih murah berbanding Rafale. Namun, sumber-sumber di Brazil berkata, Dassault menawarkan kombinasi terbaik merangkumi pesawat pejuang berkualiti tinggi dan perkongsian teknologi yang merupakan faktor utama untuk Brazil menerima tawaran firma Perancis berkenaan. Brazil berharap dapat menggunakan teknologi Perancis untuk membangunkan industri pertahanan negara tersebut yang diterajui firma tempatan, Embraer. Dassault mengemukakan Rafale sebagai pesawat bersaiz sederhana dan tangkas di samping kos operasi yang rendah. Faktor-faktor tersebut menjadi tarikan utama kepada Brazil yang tidak memiliki konflik dengan jiran-jirannya, tetapi mahu menggunakan Rafale bagi tujuan pertahanan seperti meronda kawasan-kawasan sumber minyak di perairan negara itu. Akhbar Perancis, La Tribune pada 2 Februari lalu telah melaporkan bahawa Dassault akan memuktamadkan perjanjian untuk menjual sekurang-kurangnya 16 buah jet Rafale kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) tidak lama lagi. - Reuters | |
Paru-paru Whitney Houston ada air Posted: Paru-paru Whitney Houston ada airHOTEL Beverly Hilton, California tempat Whitney Houston menginap smeasa dia mati pada Sabtu lalu. LOS ANGELES - Laporan bedah siasat mendapati paru-paru mayat legenda pop wanita Amerika Syarikat (AS), Whitney Houston mengandungi air, menurut stau laporan berita semalam. Bagaimanapun, sumber-sumber penguat kuasa undang-undang menyatakan para pemeriksa perubatan perlu mengetahui secara tepat berapa jumlah air dalam paru-parunya sebelum kematian penyanyi berkenaan boleh diputuskan akibat lemas, lapor laman berita hiburan TMZ.com. Houston ditemui mati di dalam bilik hotelnya di Hotel Beverly Hilton, California, Amerika Syarikat pada Sabtu lalu dan beberapa laporan mendakwa dia ditemui mati di dalam tab mandi. Pihak berkuasa masih belum lagi menentukan sama ada Houston mati sebelum dia lemas dalam air atau selepas itu kerana masih ada kemungkinan penyanyi tersebut telah mati sebelum memasuki tab mandi. Walaupun, keputusan bedah siasat penyanyi itu sudah selesai, punca kematiannya tidak boleh ditentukan sehingga keputusan toksikologi diperoleh yang selalunya mengambil masa di antara empat hingga enam minggu. Penolong Ketua Koroner, Ed Winter enggan memberi komen lanjut tentang keadaan bilik atau sebarang bukti yang ditemui oleh para penyiasat, lapor agensi berita AP. Winter berkata, tiada tanda-tanda jelas terdapat trauma pada tubuh Houston malah para penyiasat tidak akan memberikan sebarang punca kematian sehingga mereka memperoleh keputusan daripada makmal yang akan diperoleh beberapa minggu lagi. Pada masa sama, seorang pegawai polis Beverly Hills, Leftenan Mark Rosen berkata, pihaknya mungkin mendedahkan butiran lanjut yang diperoleh mengenai kematian Houston namun ia bergantung sama ada para penyiasat berasa selesa untuk mendedahkan sebarang maklumat. Pada Sabtu lalu, seorang anggota rombongan Houston menemui penyanyi tersebut yang tidak sedarkan diri di biliknya di Hotel Beverly Hilton hanya beberapa jam sebelum dia sepatutnya menghadiri parti menjelang Anugerah Grammy. Menurut Rosen, tiada tanda-tanda perbuatan khianat. Seorang anggota rombongannya mengubungi talian kecemasan 911 sebelum anggota-anggota paramedik tiba untuk memberikan bantuan bagi menyelamatkan nyawa Houston di bilik hotelnya tetapi mereka gagal berbuat demikian sehingga polis tiba. Houston memang mempunyai sejarah ketagihan dadah sejak 10 tahun lalu. Dia yang juga penerbit dan bekas model pernah berkahwin dengan penyanyi blues, Bobby Brown pada tahun 1992 sebelum bercerai pada tahun 2007. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Bobbi Kristina. Sementara itu, akhbar dalam talian MailOnline melaporkan Houston yang juga bintang filem ditemui lemas dalam tab mandi akibat pengambilan ubat penenang melebihi dos dan minuman keras selepas dia menghadiri parti menjelang Anugerah Grammy. Antara ubat yang ditemui di biliknya ialah Lorazepam, Valium, Xanax dan ubat tidur. Ubat-ubat itu dipercayai digunakan sebagai penenang yang menyebabkan dia tertidur dalam tab mandi sebaik sahaja bercampur dengan arak dalam tubuhnya. Sebelum kematiannya, Houston kelihatan berpeluh dan tidak kemas ketika dia meninggalkan kelab malam Tru Hollywood pada malam Khamis lalu. Dia juga berparti dengan sekumpulan besar rakannya sebelum pulang ke hotel tempat dia ditemui mati pada Sabtu lalu. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan