Selasa, 14 Februari 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Whitney korban arak, dadah

Posted: 13 Feb 2012 10:39 AM PST

LOS ANGELES: Whitney Houston dilaporkan mati akibat campuran sejumlah ubat-ubatan termasuk pil merawat tekanan dikenali dengan nama dagangan Xanax dan alkohol.

Sumber berkata, pegawai koroner Los Angeles memberi tahu keluarga Whitney, kandungan air di paru-paru penyanyi popular itu tidak mencukupi untuk menganggap dia lemas dalam tab mandi di bilik Hotel Beverly Hilton.


Malah, kata sumber itu, koroner percaya Whitney mati sebelum kepalanya tenggelam di dalam tab berkenaan.

Laman sesawang gosip TMZ melaporkan, mayat Whitney sebenarnya ditemui ibu saudaranya, Mary Jones, bukan pengawal peribadi seperti dilaporkan kelmarin.


"Anak perempuan Whitney, Bobbi Kristina, 18, juga dipercayai tertidur dalam tab mandi di hotel sama hanya 24 jam sebelum itu," lapor TMZ.


Pengawal keselamatan terpaksa dipanggil untuk membuka kunci pintu bilik Bobbi dan kini keluarganya bimbang kejadian itu bukan secara kebetulan, sebaliknya cubaan remaja terbabit membunuh diri.

Sementara itu, Bobbi dikejarkan ke hospital dua kali dalam tempoh 24 jam ekoran penemuan mayat Whitney kelmarin.


Remaja terbabit dimasukkan ke hospital kali pertama selepas dipercayai pengsan akibat mengambil arak dan pil khayal diberikan anggota rombongan Whitney satu demi satu untuk menenangkannya.

Bobbi sekali lagi dilihat dibawa keluar dengan pengusung dari hotel berkenaan kira-kira jam 10.30 pagi - hanya beberapa jam sebelum mayat Whitney ditemui.


Sumber berkata, Bobbi terpaksa dikejarkan ke Hospital Cedars-Sinai untuk menerima rawatan bagi masalah tekanan melampau.


Beberapa jam kemudian, Bobbi dibenarkan keluar, tetapi rakan dan keluarganya tetap bimbang terhadap keadaan mentalnya.


Pada Khamis, Whitney dilihat berpesta sehingga mabuk dan sempat bergaduh dengan pengawal keselamatan pusat hiburan berkenaan.


Petang keesokan harinya, Whitney sekali lagi berpesta secara melampau.


Kata sumber, beberapa botol Lorazepam, Valium, Xanax dan ubat tidur ditemui di bilik Whitney.


"Ubat itu dipercayai bertindak sebagai penenang, menyebabkan Whitney tertidur dalam tab mandi sebaik saja ia bercampur dengan alkohol yang diambil petang sebelumnya," katanya.


Pejabat koroner Los Angeles secara rasmi enggan memberi komen terhadap khabar angin mengenai penemuan air dalam paru-paru Whitney yang boleh mengaitkannya dengan insiden lemas.


Maklumat lanjut mungkin hanya dikeluarkan selepas semua siasatan disiapkan dan ia dijangka mengambil masa antara satu hingga dua bulan.


Polis juga tidak membenarkan sesiapa melawat mayat berkenaan selagi ia berada dalam kawalan mereka.


TMZ melaporkan, pada peringkat awal ramai pihak percaya mayat Whitney ditemui bekas teman lelakinya yang muda 17 tahun, Ray-J.


Namun, Ray-J mendakwa dia tidak berada "di mana-mana tempat berhampiran lokasi kejadian" tetapi tetap bersedih.


"Dia ada menghubungi saya melalui telefon tetapi tidak sempat dijawab," katanya.


Ketika Whitney mati dan Bobbi dihantar ke hospital, bekas suami penyanyi itu, Bobby Brown, berada di Nashville.


Walaupun dilaporkan menangis akibat kematian Whitney, Brown tetap muncul di pentas bersama kumpulannya, New Edition, dan sempat menjeritkan "Aku sayang kamu, Whitney!" ketika konsert berkenaan. - DM



Sebat 3 anak hingga mati

Posted: 13 Feb 2012 10:35 AM PST

SEOUL: Seorang paderi dan isterinya ditahan kerana didakwa membiarkan tiga anak mereka kelaparan dan menyebat kanak-kanak yang sakit itu hingga mati dalam cubaan untuk mengusir roh jahat, kata polis, semalam.

Paderi berusia 43 tahun itu dan isterinya ditahan atas kesalahan membunuh selepas saudara pasangan itu menemui mayat kanak-kanak berkenaan yang reput di kediaman mereka bersebelahan dengan gereja di daerah Boseong dekat pantai barat daya negara ini.


Menurut jurucakap Agensi Polis Wilayah Jeonnam, ujian forensik menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dan dua kanak-kanak lelaki berusia lapan dan lima tahun mengalami lebam teruk di tubuh mereka tanpa sebarang makanan dalam perut.

Pasangan itu memberitahu polis, mereka cuba merawat tiga anak mereka yang mengalami demam panas dan selesema melalui puasa dan berdoa serta menyebat mereka berulang kali untuk "menghalau roh jahat".


"Kami percaya kanak-kanak itu tidak diberi makan sejak 23 Januari lalu sebelum akhirnya mereka mati pada 1 atau 2 Februari lalu," kata jurucakap itu. Pasangan itu menyebat setiap anak mereka sebanyak 39 kali dengan tali pinggang atau pemukul lalat dalam lima insiden berasingan, sebagai merujuk kepada petikan dalam kitab Injil.


Polis berkata, mereka merujuk kepada petikan dalam Injil yang berbunyi: "Usah tangguh untuk mendisiplinkan anak; jika kamu menghukum mereka dengan rotan, mereka tidak akan mati. Hukum mereka dengan rotan dan selamatkan mereka daripada kematian." Anak keempat pasangan itu, bayi berusia setahun diletakkan dalam jagaan polis dan dalam keadaan sihat. - AFP



Tiada ulasan:

Catat Ulasan