Selasa, 15 November 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Paras air tinggi di barat, timur Bangkok

Posted: 15 Nov 2011 03:04 PM PST

Dunia

SEEKOR gajah mengangkat kayu dalam sebahagian operasi membersihkan kawasan sekitar kuil Wat Phra Si Sanpeth selepas banjir surut di Ayutthaya.

SEEKOR gajah mengangkat kayu dalam sebahagian operasi membersihkan kawasan sekitar kuil Wat Phra Si Sanpeth selepas banjir surut di Ayutthaya.

BANGKOK: Pusat bandar Thailand, Bangkok, mungkin terlepas daripada dinaiki air, meskipun arahan berpindah terus dikeluarkan di kawasan pinggir ibu kota dan ramai penduduknya menghadapi ujian getir meneruskan kehidupan harian.

Air semakin turun di beberapa bahagian di Bangkok, tetapi parasnya terus tinggi di sebelah barat tebing Sungai Chao Phraya dan di timur.

Jabatan Menghalang Bencana dan Pengairan berkata, 562 orang terbunuh dalam banjir tahun ini sejak Julai lalu dan 22 daripada 77 wilayah Thailand masih terjejas. Peniaga makanan semakin ramai kembali berniaga. Operasi pembersihan juga bermula, termasuk membuang air dari kedai dan membersihkan sampah yang terapung sejak beberapa minggu lalu.

Pihak berkuasa menganggarkan 16,000 penduduk berlindung di 163 pusat pemindahan mangsa banjir di Bangkok.

Selain itu, kebanyakan tenaga kerja kembali bertugas semalam, sementara sebuah taman yang menempatkan gajah bagi pelancong mula membawa pelawat ke ibu kota purba negara itu, Ayutthaya.

Pihak berkuasa membuka semula taman gajah utama di Ayutthaya untuk menunjukkan kepada pelancong bahawa negara itu kembali normal berikutan banjir bersejarah yang menyebabkan lebih 550 mati seluruh negara.
Malah, perdana menteri berkata, sesetengah tempat di Bangkok mungkin terus banjir sehingga cuti Tahun Baru, walaupun air semakin surut.

Taman Istana Gajah Ayutthaya menawarkan tunggangan gajah kepada pelancong di kawasan kuli purba yang diiktiraf Warisan Dunia UNESCO kira-kira 80 kilometer utara Bangkok.

Pakar bimbang sekurang-kurang separuh daripada 200 biara yang digenangi air, kubu dan monumen lain di ibu kota diraja pada satu masa dulu, sudah dimusnahkan banjir paling teruk di Thailand dalam tempoh setengah kurun. – AP/Reuters

Full content generated by Get Full RSS.

Loya jirga 2011 tertutup

Posted: 15 Nov 2011 03:02 PM PST

Dunia

Karzai dituduh ada muslihat

KABUL: Presiden Hamid Karzai menghimpunkan pemimpin puak dari seluruh Afghanistan untuk membincangkan hubungan jangka panjang dengan Amerika Syarikat dan usaha mencapai keamanan di tengah ancaman keganasan, perhimpunan yang digelar 'loya jirga' bermula hari ini secara tertutup.

Kira-kira 2,000 pemimpin puak Afghanistan dijangka berkumpul dalam khemah gergasi selama beberapa hari untuk berbincang ketika tentera asing diketuai Amerika bersedia berundur secara berperingkat sebelum pengunduran sepenuhnya pada 2014. Diplomat di Kabul berpendapat, Karzai mungkin menggunakan rundingan untuk mendapatkan mandat penuh ketika meneruskan perjanjian kontroversi dengan Amerika mengenai hubungan strategik kedua-dua negara selepas 2014.

Ada pihak menganggap loya jirga kali ini tidak akan membantu keadaan sejak Afghanistan dilanda peperangan sejak beberapa dekad lalu.

Dasar berunding dengan Washington dan kurangnya ketelusan mengenai agenda semasa menyebabkan Karzai dituduh cuba memanipulasi loya jirga untuk kepentingan sendiri bukannya untuk menamatkan perang.

"Adalah lebih baik jika ia ditangguhkan, tetapi saya berasa jirga ini menjadi keperluan kepada Karzai kerana beliau tiada agenda politik khusus. Beliau tidak menangani isu besar," kata penganalisis beribu pejabat di Kabul, Haroon Mir.
Seorang pesaing politik Karzai, Abdullah Abdullah, pemimpin Pakatan Kebangsaan bagi Memenuhi Harapan dan Perubahan Afghanistan, tidak mahu hadir. Begitu juga bekas sekutu Karzai, Abdul Rashid Dostum yang memulaukannya.

Kawasan loya jirga juga ditutup dengan anggota keselamatan memeriksa rumah dan meronda sekitar Kabul, kata Kementerian Dalam Negeri.

Pergerakan Taliban yang berjuang menentang pentadbiran Karzai dan tentera asing diketuai Amerika, mengancam mengganggu perjalanan loya jirga itu.

Pada 2010, mereka melancarkan roket ke acara terakhir perhimpunan itu, memaksa peletakan jawatan dua menteri yang bertanggungjawab mengawal keselamatan.

Militan juga mendakwa berjaya membocorkan pelan keselamatan acara itu Ahad lalu, walaupun pegawai Afghanistan dan Barat menyifatkan dokumen itu palsu.

Kelmarin, seorang lelaki disyaki pengebom bunuh diri yang membawa beg dipenuhi bahan letupan ditembak mati berhampiran lokasi loya jirga dan dua rakan subahatnya ditahan, kata pegawai.

Beberapa pemimpin yang menghadiri acara itu berkata, mereka diancam menerusi mesej teks dan bimbang untuk pergi. – AFP

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan