Selasa, 6 September 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


60 hutan Texas musnah terbakar

Posted: 06 Sep 2011 03:36 PM PDT

Dunia

Banjir kilat turut ancam timur laut AS

SAN ANTONIO: Sekurang-kurangnya 60 kebakaran hutan dilaporkan berlaku di Texas semalam, memusnahkan beratus-ratus rumah dan membunuh sekurang-kurangnya dua penduduk.

Pihak berkuasa di Gregg County di timur laut Texas berkata seorang wanita berusia 20 tahun dan anak perempuannya berusia 18 bulan terbunuh dalam kejadian kelmarin apabila mereka terperangkap dalam rumah mudah alih yang disambar api.Perkhidmatan perhutanan Texas menganggarkan sejumlah 424 rumah musnah setakat ini, termasuk 300 kebakaran di timur Austin.
Gabenor Texas, Rick Perry yang bertanding sebagai seorang calon presiden Republikan terpaksa memendekkan kempen beliau dan kembali dari South Carolina ke Texas pada Isnin.

"Saya menggesa penduduk Texas mengambil langkah berjaga-jaga berikutan kita terus menyaksikan kesan kemusnahan akibat kebakaran hutan yang menjejaskan kawasan bandar dan luar bandar negeri ini," kata Perry dalam kenyataan.

Perry sepatutnya menyertai satu forum yang disiarkan di televisyen bersama calon Republikan lain.
Lebih 1.5 juta hektar kawasan di Texas dilanda kebakaran hutan sejak November berikutan kemarau yang mengakibatkan kerugian lebih $5 bilion dalam industri pertanian negeri itu dan menunjukkan tiada tanda untuk berkurangan dalam masa terdekat.

Perkhidmatan Perhutanan Texas memberi maklum balas pada Ahad bahawa 63 kebakaran baru menyebabkan kemusnahan kawasan seluas 13,000 hektar termasuk 22 kebakaran baru yang besar.

Pegawai berkata bahawa kebakaran terburuk membabitkan Bastrop County Complex, yang mempunyai keluasan sehingga 26 kilometer.

Pihak berkuasa berkata kebakaran merebak ke bahagian jalan raya yang diharapkan mereka akan menjadi penghalang dan kini sudah mencapai keluasan10,000 hektar.
Sementara itu beberapa negeri di timur laut Amerika, diletakkan di bawah amaran banjir kilat berikutan lebih banyak hujan diramalkan.

Jabatan Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan mengeluarkan amaran banjir kilat tengah hari kelmarin yang akan berlarutan sehingga Selasa bagi kawasan di timur laut termasuk Vermont dan sebahagian New Hampshire, Maine, Massachusetts, Connecticut, Pennsylvania, New York dan New Jersey.

"Ini adalah keadaan yang mungkin berbahaya. Kawasan yang teruk terjejas akibat ribut tropika Irene minggu lalu akan membawa lebih banyak banjir kilat manakala hujan diramal berterusan," kata jabatan itu melalui laman webnya.

Kawasan paling teruk dilanda Irene termasuk Long Island New York, utara New Jersey dan selatan serta tengah Vermont dijangka mengalami lebih banyak kenaikan paras air sungai. – Reuters


'Sang Bedal' lebih besar diburu

Posted: 06 Sep 2011 03:33 PM PDT

Dunia

PEGAWAI hidupan liar menunjukkan buaya gergasi yang ditangkap penduduk kampung di Bunawan.

PEGAWAI hidupan liar menunjukkan buaya gergasi yang ditangkap penduduk kampung di Bunawan.

Penduduk kampung di Bunawan adakan majlis rai kejayaan tangkap reptilia

MANILA: Selepas berjaya menangkap buaya seberat satu tan yang mungkin menjadi reptilia paling besar pernah dijerat hidup-hidup di dunia, pegawai Filipina berkata, mereka kini memburu reptilia jauh lebih besar daripada itu yang bersembunyi di pedalaman wilayah selatan negara itu.

Penduduk kampung dan pemburu veteran menjerat buaya air masin sepanjang 6.1 meter hujung minggu selepas tiga minggu memburu di sepanjang anak sungai di Bunawan yang terletak di pedalaman wilayah Agusan del Sur, apabila penduduk kampung yang ketakutan melaporkan sekurang-kurangnya satu serangan maut dilakukan haiwan ganas itu. Buaya itu, seberat 1,075 kilogram, adalah yang terbesar ditangkap hidup-hidup di Filipina dalam beberapa tahun ini. Pegawai hidupan liar cuba mengesahkan sama ada itu adalah tangkapan terbesar di dunia, kata jurucakap Biro Kawasan dan Hidupan Liar Dilindungi, Theresa Mundita Lim.

Guinness World Records menyenaraikan buaya air masin yang ditangkap di Australia sebagai yang terbesar, berukuran 5.48 meter. Buaya air masin boleh hidup lebih 100 tahun dan membesar sehingga tujuh meter.

Penduduk kampung di Bunawan yang lega, mengadakan majlis kerana kejayaan menangkap buaya itu hidup-hidup, yang perlu ditarik dengan tali oleh kira-kira 100 penduduk daripada anak sungai ke kawasan lapang dan menggunakan kren untuk mengangkatnya masuk ke dalam trak. Mulutnya diikat dengan kabel nilon dan jaring.

"Ia seperti pesta, ramai penduduk kampung hadir," kata Datuk Bandar Bunawan, Edwin Cox Elorde.
Pegawai hidupan liar, Ron Sumilier, yang memburu 'buaya pengacau' selama 20 tahun dan mengetuai pasukan yang melakukan tangkapan di Bunawan, berkata pencarian sedang dijalankan memburu buaya lebih besar yang pernah dilihatnya dan penduduk kampung merayau di pinggir bandar itu.

"Ada yang lebih besar dan ia mungkin yang mencetuskan masalah. Penduduk kampung berkata, 10 peratus ketakutan mereka hilang kerana tangkapan itu. Namun masih ada 90 peratus yang masih tinggal," kata Sumilier kepada The Associated Press melalui telefon dari Bunawan, kira-kira 830 kilometer ke tenggara Manila.

Dibantu lima pemburu yang dilatihnya, Sumilier meletakkan 20 perangkap kabel besi dengan bangkai haiwan sebagai umpan di sepanjang anak sungai, lokasi buaya pertama ditangkap.

Sumilier berkata, dia tidak menemui saki baki manusia apabila memaksa buaya yang ditahan itu muntah.

Katanya, dia juga dipanggil oleh pegawai Bunawan dua tahun lalu selepas seekor buaya besar menyerang dan membaham seorang kanak-kanak mangsa bot tenggelam.
Elorde berkata, dia bercadang menjadikan buaya yang ditangkap itu sebagai 'bintang terbesar' di taman eko-pelancongan yang akan dibina. – AP


Tiada ulasan:

Catat Ulasan