Ahad, 28 Ogos 2011

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Pemberontak Libya kepung bandar kelahiran Gaddafi

Posted:

Pemberontak Libya kepung bandar kelahiran Gaddafi

Pemberontak Libya kepung bandar kelahiran Gaddafi

BEBERAPA pejuang pemberontak menangkap seorang askar Gaddafi ketika operasi mencari pemimpin Libya itu di Tripoli kelmarin.


TRIPOLI - Pemberontak Libya menawan pos kawalan Ras Jdir di kawasan sempadan dengan Tunisia dalam usaha menutup laluan keluar yang boleh digunakan Muammar Gaddafi untuk meninggalkan negara ini.

Lokasi persembunyian Gaddafi masih menjadi misteri tetapi pemberontak percaya pemimpin berusia 69 tahun itu masih berada di Libya.

Beliau sebelum ini bersumpah akan "berjuang sehingga syahid" dan tidak akan sekali-kali meninggalkan tanah airnya.

Namun, pemberontak yang tidak mahu menanggung risiko Gaddafi meloloskan dirinya dari negara ini bertindak menawan pos sempadan Ras Jdir lewat kelmarin.

Seorang pegawai Tunisia berkata, beberapa askar yang menyokong Gaddafi cabut lari selepas melihat lebih 100 pejuang pemberontak menuju ke pos kawalan itu.

"Tiada pertempuran dalam erti kata sebenar berlaku, askar-askar Gaddafi melarikan diri dan pemberontak menaikkan bendera mereka di pos kawalan tersebut," katanya.

Ketika pemberontak menutup laluan yang berpotensi digunakan oleh Gaddafi, agensi berita rasmi Mesir, MENA pula memetik sumber pemberontak memberitahu satu konvoi mengandungi enam kereta berperisai yang mungkin membawa pemimpin berusia 69 tahun itu telah melintasi sempadan Libya dan memasuki Algeria.

Sumber berkenaan menyatakan, deretan yang terdiri daripada enam kereta Mercedes itu diiringi askar-askar pro-Gaddafi sehingga kenderaan-kenderaan tersebut memasuki bandar Ghadames di Algeria.

Pihak pemberontak tidak dapat mengejar konvoi berkenaan kerana kekurangan peluru dan peralatan.

"Kami fikir kenderaan-kenderaan itu membawa pegawai kanan Libya, mungkin Gaddafi dan anak-anak lelakinya," kata sumber sama.

Algeria kelmarin menegaskan bahawa negara itu tetap tidak mengiktiraf kepimpinan pemberontak iaitu Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) Libya.

Algeria sebaliknya akan terus mengekalkan dasar neutral yang menjadi pegangan negara itu sejak konflik di Libya tercetus pada pertengahan Februari lalu.

Pendirian tersebut senada dengan polisi Kesatuan Afrika (AU) yang turut enggan mengiktiraf NTC.

Sementara itu, tiada tanda-tanda perang di Libya akan tamat dalam masa terdekat.

Menolak rundingan damai dengan Gaddafi, NTC menegaskan bahawa perang di Libya tidak akan berakhir sehingga Gaddafi ditangkap sama ada hidup atau mati.

Pada lewat kelmarin, NTC menghantar pejuang-pejuangnya untuk menggempur bandar kelahiran Gaddafi, Sirte yang terletak sekitar 450 kilometer ke timur ibu kota Libya.

Beberapa pemimpin NTC berkata, Sirte perlu ditawan kerana mereka percaya Gaddafi kini bersembunyi di bandar itu dengan dilindungi oleh ketua-ketua puak bersenjata.

"Namun, kami tidak pasti seratus peratus," kata seorang pegawai pemberontak.

Menjelang kepungan pemberontak ke atas Sirte, jet-jet Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) meningkatkan tekanan terhadap tentera Gaddafi di bandar berkenaan dengan mengebom 15 kenderaan tentera dan empat sasaran darat sejak kelmarin termasuk sebuah kubu bawah tanah.

Pejuang-pejuang pemberontak kini mara ke barat Libya dan bertempur di beberapa buah bandar termasuk Rass Al Jadeer, Regdalen, Aljamil dan Alagelat dalam usaha membebaskan seluruh negara itu daripada cengkaman tentera Gaddafi.

Pada masa yang sama, NTC sedang berusaha untuk mewujudkan sebuah pemerintahan pusat di sini bagi menyeragamkan operasi memburu Gaddafi.

Kepimpinan NTC menyatakan Tripoli kini bebas daripada tentera Gaddafi.

Seorang pegawai NTC, Ali Tarhuni berkata, ketua mereka, Mustafa Abdel Jalil akan tiba di sini selepas keadaan keselamatan bandar raya ini benar-benar terjamin.

Setakat ini sebanyak 57 negara, kebanyakannya negara Barat, telah mengiktiraf NTC sebagai pemerintah Libya yang sah.

Rakyat Libya bangkit menentang kepimpinan Gaddafi pada pertengahan Februari lalu kerana menuntut pembaharuan demokrasi dan ekonomi.

Pada Apri lalu, NATO mula melancarkan serangan udara di Libya bagi menguatkuasakan zon larangan terbang untuk menghalang rakyat biasa daripada menjadi mangsa keganasan tentera Gaddafi. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan