Utusan Online - Luar Negara |
Posted: Manila, MILF terus rundinganMANILA 12 Jan. - Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) akan mengadakan rundingan tidak rasmi esok di Kuala Lumpur dalam usaha menamatkan konflik di selatan negara ini selama lebih 40 tahun. Rundingan tersebut disahkan sumber daripada kedua-dua belah pihak. Ia merupakan rundingan damai pertama sejak Presiden Benigno Aquino membentuk satu panel baru pada Julai lalu untuk menyambung semula rundingan dengan MILF. "Kami berharap dapat menyambung semula rundingan rasmi awal bulan depan selepas bersetuju dengan peraturan-peraturan baru termasuk pelantikan seorang fasilitator baru daripada kerajaan Malaysia. "Pertemuan ini merupakan satu kejayaan besar dalam proses damai," kata sumber yang terlibat dalam rundingan berkenaan kepada Reuters. Sumber itu berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media selepas pertemuan esok bagi memberitahu rakyat Filipina tentang perkembangan terbaru rundingan tersebut. Malaysia menjadi pengantara rundingan itu sejak 2001 bagi mengakhiri konflik yang telah mengorbankan 120,000 nyawa, menyebabkan dua juta hilang tempat tinggal dan membantutkan pembangunan di selatan Filipina yang dipercayai kaya dengan sumber mineral, minyak dan gas asli. Cubaan memulakan semula rundingan damai antara Manila dan MILF terhenti berikutan langkah kerajaan menukar fasilitator Malaysia yang dilihat lebih memihak kepada pihak pemberontak. Kali terakhir rundingan dijalankan adalah pada Jun tahun lalu, di mana kerajaan gagal memenuhi tuntutan MILF yang mahu memerintah sebuah negeri sendiri di bahagian selatan Filipina. - Reuters | ||
Posted: Bandar Brisbane tenggelam
BRISBANE 12 Jan. - Banjir buruk di timur Australia kini mengancam Brisbane, bandar raya ketiga terbesar Australia berikutan air sungai Brisbane melimpahi tebing. Brisbane berubah menjadi 'bandar tinggal' apabila sungai melimpahi tebing, dalam bencana paling buruk sejak banjir terburuk pada 1983 memaksa beribu-ribu penduduk terpaksa berpindah ke kawasan tinggi serta menjejaskan 30,000 rumah. Angka korban terus meningkat kepada 12 orang. Bekalan elektrik di rumah-rumah dan premis perniagaan turut terputus, menyaksikan penduduk berpusu-pusu ke pusat pemindahan sementara, ketika bot-bot tinggal dan restoran dihanyutkan arus deras sebelum menghempas jambatan. "Kami sedia menghadapi banjir paling buruk dalam tempoh 100 tahun. "Kami juga sedia menerima limpahan banjir yang akan membanjiri beribu-ribu rumah dan harta benda," kata Ketua Menteri Queensland, Anna Bligh. Lebih 50 bandar kecil dan 2,100 jalan raya dijangka ditenggelami air apabila sungai Brisbane melimpahi tebing dengan kedalaman air 5.5 meter menjelang waktu subuh esok. Kerugian juga boleh dilihat di mana-mana apabila saksi menyatakan mereka melihat rumah dihanyutkan oleh arus deras. Penduduk yang panik berebut-rebut membeli barangan keperluan di pasar raya dan pusat bandar, sementara mesin juruwang automatik (ATM) juga dilapor semakin kehabisan wang. Bligh menggesa penduduk mencatu bekalan air minuman dikhuatiri ia akan terputus bekalan. "Bencana ini sangat serius. Penduduk digalakkan tinggal di rumah, jangan ke mana-mana melainkan jika perlu," katanya. - AFP |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan