Kosmo Online - Dunia |
Ramalan salji cetus kebimbangan Posted: Ramalan salji cetus kebimbanganSEBUAH kereta api syarikat Eurostar melalui satu kawasan dekat Maidstone di Kent, England yang dipenuhi dengan salji kelmarin. LONDON - Ramalan-ramalan terbaru mengenai kedatangan hujan salji bakal memanjangkan lagi kekalutan yang berlaku akibat cuaca sejuk itu di Eropah terutamanya di Britain. Salji yang turun di Eropah itu buat masa ini menyebabkan pertumbuhan ekonomi Jerman terbantut manakala para pekerja rangkaian penerbangan dan kereta api bertungkus-lumus memastikan perkhidmatan masing-masing kembali normal sejak kelmarin. Gangguan penerbangan dan perjalanan kereta api berkelajuan tinggi di Eropah dan Britain telah menimbulkan kekecohan dalam kalangan puluhan ribu pengguna yang akan menyambut perayaan Krismas hujung minggu ini. "Banyak projek pembinaan terpaksa dihentikan dan kunjungan perniagaan dibatalkan. Cuaca buruk ini menjejaskan pertumbuhan sehingga setengah mata bagi suku terakhir tahun ini," kata Ketua Ekonomi Dewan Industri dan Perdagangan DIHK Jerman, Volker Treier. Namun, pihak pengurusan Lapangan Terbang Heathrow di London menyatakan operasi pengangkutan kembali normal selepas ditutup selama dua hari akibat salji setebal 10 sentimeter. Penganalisis dari Davy Stockbrokers dan Oddo Securities menganggarkan gangguan akibat salji itu menyebabkan syarikat penerbangan British Airways menanggung kos sehingga AS$15.5 juta (RM48.2 juta) sehari. Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Frankfurt kembali dibuka dan beroperasi pada kapasiti penuh kelmarin selepas ditutup akibat salji. Keadaan yang sama berlaku di lapangan terbang di Paris yang menyebabkan kira-kira 3,000 penumpang terkandas sebelum ini. Salji yang tebal itu menyebabkan beberapa perlawanan bola sepak di England turut ditangguhkan. - Agensi | ||
Posted: Kemalangan di rumah Bush
DALLAS - Anggota-anggota polis dan ejen-ejen Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS) bergegas keluar dari kediaman bekas presiden AS, George W. Bush di sini kelmarin selepas kereta yang dipandu seorang lelaki terbabas dan memasuki laman rumahnya. Kejadian berlaku pada pukul 8.30 malam waktu tempatan dan anggota-anggota polis menghubungi ambulans untuk merawat pemandu berkenaan. Laporan awal stesen televisyen KTVT-TV menyatakan, pemandu itu dalam perjalanan untuk melawat rakan-rakannya di kawasan kediaman Bush apabila kereta yang dipandunya tiba-tiba hilang kawalan. Jurucakap polis Dallas, Warren Mitchell berkata, tiada ancaman terhadap Bush yang berada di dalam rumahnya pada waktu kejadian. "Bush dan isterinya Laura berada dalam keadaan baik. Mereka menghargai kerja-kerja yang dilakukan oleh Perkhidmatan Rahsia AS dan polis Dallas dalam menangani insiden itu," kata pengarah komunikasi Bush, David Sherzer. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan