Utusan Online - Luar Negara |
Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT KAHERAH 13 Julai - Arab Saudi tidak akan mengeluarkan visa haji tahun ini kepada jemaah warga emas dan penghidap penyakit kronik dalam usaha mereka mencegah penularan virus Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) semasa musim haji yang akan datang. Menurut jurucakap Kementerian Kesihatan, Khalid al-Mirghalani kepada akhbar Arab News, syarat terbaharu itu akan digunapakai terhadap jemaah haji yang menunaikan rukun Islam kelima tersebut pada Oktober ini dan jemaah umrah selepas itu. Bagaimanapun, pegawai itu tidak mendedahkan tentang had umur, namun menyatakan warga emas yang secara perubatannya tidak sihat untuk mengerjakan haji tidak akan dipertimbangkan untuk visa. Khalid berkata, untuk itu, warga emas dan penghidap penyakit kronik dinasihat menangguhkan ibadat haji serta umrah. Selain itu, Kementerian Kesihatan menerusi laman webnya turut menasihatkan individu yang mudah terdedah kepada penyakit seperti wanita hamil dan kanak-kanak supaya menangguhkan dua ibadat tersebut. Sebanyak 38 orang maut setakat ini akibat virus menyamai Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) itu sejak September tahun lalu, menurut pihak berkuasa kesihatan. Virus tersebut buat pertama kalinya ditemui tahun lalu pada seorang lelaki di negara ini. Ia dilaporkan menular dalam kalangan penduduk di Perancis, Jordan, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Jerman, Tunisia dan Britain. - DPA |
Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT Seorang penyokong wanita memegang gambar Presiden yang disingkirkan, Mohammed Mursi, semasa satu bantahan di Kaherah, Mesir, kelmarin. - REUTERS KAHERAH 13 Julai - Amerika Syarikat (AS) semalam menggesa tentera Mesir supaya membebaskan Presiden yang disingkirkan, Mohammed Mursi ketika puluhan ribu penyokongnya berikrar untuk terus berjuang bagi mengembalikan kuasa bekas Presiden itu. Jurucakap Jabatan Negara AS, Jen Psaki berkata, AS bersetuju dengan rayuan awal Jerman bagi pembebasan Mursi yang turut dibuat secara terbuka. Presiden yang digulingkan itu ditahan di sebuah 'tempat selamat' menurut pimpinan sementara Mesir dan tidak kelihatan di khalayak umum sejak beliau disingkirkan pihak tentera pada 3 Julai lalu. Psaki berkata, Washington mahu tentera menamatkan 'sekatan ke atas Mursi', sementara Jerman mencadangkan sebuah institusi yang dipercayai seperti Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah diberi peluang bertemu beliau. Sementara itu, Presiden AS, Barack Obama semalam dilapor menghubungi Raja Abdullah di Arab Saudi bagi membincangkan krisis di Mesir. Satu kenyataan dikeluarkan White House memberitahu, Obama dan Raja Abdullah saling menyatakan sokongan mahukan kestabilan di Mesir. Menurut kenyataan tersebut Presiden AS itu bimbang dengan keganasan yang berlaku di Mesir berikutan rampasan kuasa oleh tentera. Beliau turut menekankan kepentingan pembentukan kerajaan menerusi saluran demokrasi yang dipilih rakyat. Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri baharu Mesir, Hazem al-Beblawi semakin hampir membentuk Kabinet baharu, biarpun penyokong Mursi berikrar untuk membela nasib bekas Presiden yang digulingkan itu. Hazem yang dilantik memegang jawatan itu pada Selasa lalu, bakal mengadakan perbincangan dengan calon-calon menteri hari ini dan esok. Selain itu, pergerakan Ikhwanul Muslimin memberi amaran bahawa mereka bakal mengadakan satu lagi tunjuk perasaan secara besar-besaran pada Isnin ini. Bagaimanapun, pergerakan itu menjanjikan bahawa demonstrasi tersebut akan berlangsung secara aman. - AFP |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan