Selasa, 23 Julai 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kate hanya menanti masa

Posted: 22 Jul 2013 02:57 PM PDT

London: Duchess of Cambridge, Kate Middleton dilaporkan sudah mengalami kesakitan untuk bersalin dan dimasukkan ke hospital kira-kira jam 5.30 pagi semalam (1.30 tengah hari waktu Malaysia) untuk melahirkan bakal raja atau ratu Britain.

Putera William turut menemani isterinya ke Lindo Wing, Hospital St Mary di Paddington, barat London, tempat yang sama beliau dilahirkan pada 1982.


Sementara itu, di luar wad dan pagar Istana Buckingham, tempat kelahiran itu bakal diumumkan secara rasmi, orang ramai yang teruja berhimpun pada hari yang dianggap sebagai paling sensasi tahun ini.

"Duchess of Cambridge sudah dimasukkan ke hospital pagi ini di Hospital St Mary, Paddington, London pada peringkat awal proses bersalin," kata jurucakap diraja.


"Duchess menaiki kereta dari Istana Kesington ke Lindo Wing bersama Duke Of Cambridge." Kate dan William yang menghabiskan hujung minggu di Istana Kensington menuju ke hospital tanpa diiringi polis dan memasuki hospital melalui pintu belakang. Sumber memberitahu media bahawa Kate mahu bersalin secara semula jadi dan tidak mahu disuntik bius sambil menambah bakal ibu itu dalam keadaan baik.


Sementara itu, Ratu Elizabeth di Istana Windsor sudah dimaklumkan mengenai keadaan Kate. Beliau dijangka pulang ke istana Buckingham dan pancaragam Pertukaran Pengawal di istana itu memainkan "Walking on Sunshine" untuk menghiburkan orang ramai yang berhimpun di luar istana.

Foto

KATE, kali terakhir dilihat di tempat awam Jun lalu.

Foto

MEDIA dari seluruh dunia berkumpul di luar hospital, menanti kelahiran bayi diraja.

Bapa William, Putera Charles yang dalam lawatan dua hari ke Yorkshire memberitahu orang ramai pagi ini bahawa belum ada berita lagi dari Hospital St Mary.


Perdana Menteri David Cameron berkata, semalam adalah hari yang sangat menarik dan seluruh negara mengharapkan yang terbaik. Archbishop of Canterbury, Rev Justin Welby menulis di Twitter: "Ingatan dan doa saya bersama Kate dan seluruh keluarga diraja pada hari yang amat istimewa ini".

Terdapat sebilangan besar anggota polis di sekitar kawasan hospital dan dua pegawai polis turut mengawal pintu masuk ke Lindo Wing. Pakar percaya Kate akan mengambil masa setengah hari sebelum bersalin.


Pakar sakit puan, Patrick O'Brien berkata, tempoh purata sakit bersalin untuk bakal ibu yang melahirkan anak kali pertama ialah 12 jam.


Ini memungkinkan bayi diraja itu dilahirkan lewat petang atau awal malam (waktu London). Anak pasangan itu bakalmenjadi pewaris ketiga, mengambil tempat Putera Harry yang bakal menjadi pewaris keempat dan Duke of York sebagai pewaris kelima.


Berikutan perubahan dalam undang-undang baru-baru ini, bayi itu juga akan membawa gelaran HRH (Yang Teramat Mulia) dan diberikan gelaran Prince atau Princess of Cambridge. Jika perempuan, suatu hari kelak dia akan menjadi ratu dan jika lelaki dia ialah bakal raja. Dia juga akan menjadi ketua angkatan tentera, gabenor tertinggi Gereja England dan ketua Commonwealth, yang terdiri daripada 54 negara di seluruh dunia, selain turut menjadi ketua kepada 16 negara.


Anggota polis yang melindungi pasangan diraja itu yang dilihat mengiringi mereka masuk ke hospital dengan selamat juga bakal menjadi antara orang pertama mengetahui jantina bayi diraja pasangan berkenaan.


Sementara itu, pihak hospital menyediakan bantuan, nasihat dan sokongan logistik, selain daripada pembantu setia pasangan diraja itu - Miguel Head, setiausaha peribadi William dan temannya Rebecca Deacon yang bertugas sebagai setiausaha peribadi kepada Kate.


Kedua-duanya sangat rapat dengan pasangan itu bagaikan anggota keluarga diraja.


Dua daripada pasukan kecil media pasangan itu Setiausaha Akhbar Ed Perkins dan pembantunya, Nick Loughran juga sudah berada di hospital, berulang-alik antara Lindo Wing di hospital itu dengan tempat beratus-ratus jurugambar, wartawan dan kru kamera berkumpul di luar.


Pengawal peribadi pasangan itu dari Scotland Yard juga tidak ketinggalan. Malah, anggota polis yang melindungi pasangan diraja itu yang dilihat mengiringi mereka masuk ke hospital dengan selamat juga bakal menjadi antara orang pertama mengetahui jantina bayi diraja pasangan itu.


Pegawai istana memilih untuk membuat pengumuman bahawa Kate mengalami sakit bersalin kepada khalayak ramai dalam usaha untuk mengimbangi 'maruahnya' berikutan sukar untuk merahsiakan ketibaan bayi itu daripada media sosial. Bayi William dan Kate akan menjadi cicit ketiga Ratu Elizabeth. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/23

75 korban gempa di China

Posted: 22 Jul 2013 02:48 PM PDT

Beijing: Sekurang-kurangnya 75 orang terbunuh apabila gempa bumi yang kuat melanda kawasan pertanian berbukit dan kering di barat China, semalam.

Pihak berkuasa tempatan berkata, lebih 400 cedera dalam bencana itu yang turut memusnahkan beribu-ribu rumah di bandar raya Dingxi, wilayah Gansu.


Gegaran dapat dirasakan di ibu negeri wilayah itu, Lanzhuo, kira-kira 177 kilometer ke utara dan hingga sejauh Xi'an, 400 kilometer ke timur.

"Anda boleh lihat lampu berhayun dan tingkap bergegar, tetapi tiada rekahan di dinding. "Pembantu kedai semua bertempiaran keluar ke jalan raya apabila gegaran berlaku," kata kerani di Hotel Wuyang di daerah Zhang, kira-kira 40 kilometer dari pusat gempa.


Pusat pemantauan gempa kerajaan berkata, gempa awal berlaku pada 7.45 pagi (waktu tempatan), berukuran 6.6 magnitud dan beberapa gempa susulan termasuk yang berukuran 5.6 magnitud.


Badan Kajiselidik Geologi Amerika Syarikat menyatakan gempa itu berukuran 5.9 magnitud dengan kedalaman 10 kilometer. Kematian dan kecederaan berlaku di daerah Min dan kawasan luar bandar di selatan, kata Datuk Bandar Dingxi, Tang Xiaoming kepada stesen penyiaran CCTV. Menurutnya, kerosakan teruk dikesan di Zhang dan Min, di mana kediaman rosak dan bekalan elektrik serta khidmat telefon terputus. Ketua pasukan penyelamat Su Wei berkata, usaha menyelamat sukar dijalankan kerana lumpur dan bongkah batu menghalang jalan raya.

Persatuan Palang Merah China berkata, pihaknya menghantar 200 khemah, 1,000 peralatan rumah dan 2,000 jaket ke kawasan terjejas, selain menghantar petugas dari Lanzhuo dan Beijing bagi membantu kerja menyelamat. Hujan lebat dijangka melanda kawasan itu minggu ini, meningkatkan keperluan perlindungan dan ancaman tanah runtuh.


Lebih 1,200 kediaman musnah akibat gempa dan 21,000 lagi rosak teruk, kata jurucakap kerajaan Chang Zhengguo kepada agensi berita rasmi Xinhua. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/23

Tiada ulasan:

Catat Ulasan