Isnin, 13 Mei 2013

Utusan Online - Luar Negara

Utusan Online - Luar Negara


19 orang cedera ditembak

Posted: 13 May 2013 12:21 PM PDT

Beberapa orang penduduk membantu seorang mangsa yang cedera akibat ditembak semasa perarakan sambutan Hari Ibu di New Orleans, Amerika Syarikat, kelmarin. - AGENSI

WASHINGTON 13 Mei - Sambutan Hari Ibu di New Orleans, Amerika Syarikat, dicemari insiden keganasan apabila sebanyak 19 orang cedera, termasuk dua kanak-kanak berusia 10 tahun, dalam satu kejadian tembakan semasa perarakan sambutan tersebut, semalam.

Pegawai Jabatan Polis New Orleans, Ronal Serpas berkata, polis mendapati tiga individu terbabit dalam kejadian itu dan mereka dipercayai menggunakan dua jenis senjata api.

"Kami percaya dua atau tiga orang mula melepaskan tembakan dan motif mereka berbuat demikian masih belum dapat dipastikan.

"Kebanyakan mangsa cedera akibat terkena lantunan kelongsong peluru," jelasnya.

Seramai 17 orang dewasa cedera dalam kejadian tersebut dan dua kanak-kanak, lelaki dan perempuan, hanya mengalami luka.

Jurucakap Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di New Orleans, Mary Beth Romig berkata, kejadian terbaharu itu tiada kena mengena dengan aktiviti pengganas dan hanya membabitkan 'keganasan jalanan'.

"Berdasarkan sumber risikan, insiden yang berlaku di New Orleans bukan angkara pengganas," jelasnya.

Polis merayu kepada orang ramai untuk menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan dan menawarkan habuan berjumlah AS$2,500 (RM7,500) bagi sesiapa yang memberi maklumat sehingga suspek berjaya ditangkap.

Kejadian tersebut berlaku tidak sampai sebulan selepas dua serangan bom di Boston yang menyebabkan tiga orang terbunuh dan lebih 260 lagi cedera.

Pada Disember lalu, seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang di sebuah sekolah rendah di Connecticut, menyebabkan 20 kanak-kanak dan enam kakitangan terbunuh. - AFP

Filipina mengundi hari ini

Posted: 13 May 2013 12:21 PM PDT

Benigno Aquino III, mengundi pada pilihan raya umum di Sekolah Rendah Central Azucarera de Tarlac, Tarlac City, wilayah Tarlac, utara Manila, semalam. - AFP

MANILA 13 Mei - Filipina, hari ini mengadakan pilihan raya umum yang dilihat sebagai saat getir bagi agenda pembaharuan Presiden Benigno Aquino III, dengan kempen pilihan raya dicemari keganasan berdarah dan rasuah membayangi calon-calon yang bertanding.

Pilihan raya pertengahan penggal yang diumumkan Aquino itu bakal menyaksikan beribu-ribu pemimpin tempatan serta wakil dipilih oleh rakyat, selain menjadi petunjuk kepada usaha Presiden untuk mentransformasikan sistem politik rasuah dan ekonomi yang tidak membangun di negara ini.

"Presiden meminta pengundi meletakkan keyakinan kepada pentadbiran negara bagi membantu beliau meneruskan agendanya," kata jurucakap pejabat Presiden, Abigail Valte.

Aquino yang berjanji untuk memerangi rasuah yang didakwanya menyebabkan kemiskinan di negara ini ketika berkempen, menjadi Presiden selepas memenangi pilihan raya Presiden 2010 dengan kemenangan besar.

Tinjauan pendapat menunjukkan beliau masih menjadi salah seorang daripada Presiden Filipina paling popular dengan negara ini kini menikmati pertumbuhan ekonomi lebih pantas berbanding negara Asia lain kecuali China.

Perang ke atas rasuah berprofil tinggi yang menyaksikan bekas Presiden, Gloria Macapagal Arroyo didakwa, turut mendapat sokongan kuat daripada rakyat.

Namun, dengan jawatan Presiden dihadkan oleh Perlembagaan yang boleh dipegang untuk tempoh sepenggal iaitu selama enam tahun, beliau kini bergelut untuk melaksanakan lebih banyak pembaharuan.

Pilihan raya kali ini menyaksikan lebih 18,000 jawatan anggota Dewan Undangan Negeri dan gabenor wilayah serta anggota Kongres dipertandingkan, penting bagi meningkatkan sokongan politik kepada pentadbiran Aquino.

Aquino yakin mendapat majoriti besar di kedua-dua dewan Senat dan Kongres dengan membuat pakatan dengan banyak parti, sekali gus memudahkan beliau meluluskan undang-undang kerana menguasai Senat. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan