Jumaat, 17 Mei 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Puluhan maut masjid dibom

Posted: 17 May 2013 02:49 PM PDT

Peshawar: Berpuluh-puluh orang terbunuh dalam serangan di masjid di Iraq dan Pakistan semalam, mendedahkan keganasan yang belum menunjukkan tanda akan berhenti di kedua-dua negara.

Dalam kejadian di kampung Baz Darrah di daerah Malakand, Khyber Pakhtunkhwa, timur laut Pakistan semalam, sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dalam serangan di dua buah masjid, ketika umat Islam bersiap sedia menunaikan solat Jumaat.

Letupan itu turut mencederakan 45 orang, kata pegawai polis, Badshah Rehman. Kedua-dua masjid berkenaan rosak teruk dan bumbung satu daripadanya turut runtuh.

Seorang jemaah, Shahid Ali, yang berada di masjid pertama yang dibom berkata letupan berlaku sebaik saja jemaah memulakan solat Jumaat.

Bumbung berlubang

Saya bersama yang lain bergegas keluar dan melihat beberapa orang berdarah dan menangis, kata Ali kepada Associated Press melalui telefon.

Ali kemudian bergegas ke masjid kedua selepas ia diserang dan menyaksikan bahawa bumbungnya berlubang dan terbakar.
Kebanyakan mangsa tertimbus di bawah runtuhan, katanya.

Pasukan penyelamat cuba mengesan mangsa yang mati dan cedera dari runtuhan terbabit, kata Rehman.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap letupan itu tetapi ia disyaki dilakukan Taliban Pakistan.

Kumpulan militan Sunnah menjadi sasaran pemberontakan berdarah yang menentang kerajaan selama beberapa tahun yang membunuh beribu orang awam dan pegawai keselamatan. Militan turut menyerang masjid Sunnah sebelum ini dan mungkin disebabkan pengikutnya tidak mengikut cara pelampau mereka terhadap Islam.

Sementara itu di Baquba, Iraq, dua letupan bom di luar sebuah masjid Sunnah mengorbankan sekurang-kurangnya 43 orang dalam satu serangan paling buruk di negara itu dalam tempoh sebulan.

Serangan ke atas masjid puak Sunnah dan Syiah, pasukan keselamatan dan pemimpin puak semakin meningkat sejak askar menyerbu satu tunjuk perasaan di Kirkuk sebulan lalu menyemarakkan kebimbangan bahawa serangan puak semakin meningkat.
Serangan dan perang saudara di Syria dilaporkan meningkatkan semangat pemisah sunnah Iraq, sekali gus menyebabkan ketegangan hubungan antara kedua-dua puak di Iraq.

AP/REUTERS

Askar Syria seksa orang awam

Posted: 17 May 2013 02:48 PM PDT

Beirut: Aktivis hak asasi menemui peralatan seksaan dan bukti lain penderaan dalam penjara kerajaan di bandar pertama Syria yang kini di bawah kawalan pembangkang, kata Human Rights Watch dalam satu laporan semalam.

Raqqa, di timur Syria ditawan pemberontak lewat Februari lalu ketika mereka berjuang menggulingkan Presiden Bashar Assad.

Pemberontak membantu kumpulan berpusat di New York itu untuk mengakses kemudahan yang pernah menjadi milik agensi keselamatan kerajaan dan perisikan tentera lewat April lalu.

Temui bukti fizikal

HRW berkata, penyelidiknya menemui bukti fizikal bahawa rakyat Syria diseksa, termasuk dengan alat yang dikatakan bekas tahanan digunakan untuk meregang atau membengkok tangan dan kaki mangsa.

Kumpulan itu juga menemui bukti menunjukkan penduduk Raqqa ditahan akibat perbuatan yang dianggap menyalahi undang-undang seperti bantahan atau membantu mangsa yang cedera.

Aktivis kumpulan hak asasi dan pembangkang sekian lama mendakwa orang awam ditahan tanpa didakwa, diseksa dan kadang kala hilang sejak pemberontakan ke atas rejim Assad bermula.
Penemuan HRW jelas satu daripada bukti penderaan fizikal terbesar yang menyokong dakwaan itu setakat ini.

Keterangan bekas tahanan

Dokumen, sel penjara, bilik soal siasat dan peralatan penderaan yang kami lihat dalam kemudahan keselamatan kerajaan adalah konsisten dengan keterangan bekas tahanan yang pernah diseksa kepada kami, kata Nadim Houry, timbalan pengarah Asia Barat HRW.

HRW mendokumenkan penderaan di kedua-dua pihak perang saudara Syria sepanjang konflik 26 bulan di negara itu.

Kumpulan berkenaan menemuramah sekurang-kurangnya lima orang yang pernah ditahan Perisikan Tentera di Raqqa.

Mereka disoal pegawai keselamatan mengenai aktiviti yang dijalankan termasuk sama ada mereka menyertai demonstrasi anti Assad, menyediakan bantuan kepada keluarga pelarian, mempertahankan tahanan dan menyediakan bantuan kepada penunjuk perasaan.
AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan