Rabu, 10 April 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


AS, Korea Selatan tingkat tahap waspada

Posted: 10 Apr 2013 08:22 AM PDT

Seoul: Tentera Korea Selatan dan Amerika Syarikat meningkatkan status waspada kepada tahap 'ancaman besar' menjelang ujian peluru berpandu Korea Utara dengan ketegangan meningkat menjelang lima hari sebelum upacara memperingati ulang tahun kematian pengasas negara itu Kim ll-Sung.

Menteri Luar, Yun Byung-se berkata pihaknya menjangka Korea Utara akan melancarkan peluru berpandu jarak sederhana pada bila-bila masa untuk menunjukkan kekuatannya.

Redakan ketegangan

Beliau berkata negaranya sudah meminta China dan Russia untuk berbincang dengan Korea Utara bagi meredakan ketegangan selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menguatkuasakan sekatan ke atas Pyongyang Februari lalu.

Namun keadaan di Seoul secara keseluruhannya dilaporkan tenang manakala urusan perniagaan berjalan seperti biasa.

Laporan juga menyatakan bahawa lintasan sempadan terbesar antara Korea Utara dan China, Dandong, kini ditutup kepada pelancong dan agensi pelancongan tidak dibenarkan membawa pelawat ke sana

Korea Utara minggu lalu memaklumkan diplomat asing di Pyongyang bahawa mereka diberi tempoh hingga 10 April untuk mempertimbangkan perpindahan, menyemarakkan spekulasi pelancaran antara Rabu dan 15 April bagi meraikan hari jadi bekas pengasas, Kim II-Sung.
Ia juga adalah bersempena dengan lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry dan ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) Anders Fogh Rasmussen, yang kedua-duanya berada di Seoul pada Jumaat ini.

Agensi perisikan Korea Selatan berkata Korea Utara menyiapkan dua peluru berpandu jarak sederhana yang akan dilancarkan dari pantai timurnya, walaupun amaran dari sekutunya, China untuk mengelak langkah provokasi ketika ketegangan tentera semakin meningkat.
AFP

Tokyo tersilap umum lancar peluru berpandu

Posted: 10 Apr 2013 08:21 AM PDT

Tokyo: Pihak berkuasa di bandaraya Yokohama, Jepun terpaksa menanggung malu selepas tersilap mengumumkan pelancaran peluru berpandu Korea Utara kepada 40,000 pengikutnya di Twitter.

Bandar raya selatan Jepun itu pada awalnya menyiarkan di Twitter pada waktu tengahari pengumuman bahawa Korea Utara melancarkan satu peluru berpandu dengan meninggalkan kosong pada bahagian waktu sebenar pelancaran.

Terima panggilan pengikut Twitter

"Kami menerima satu panggilan dari seorang daripada pengikut yang menyedari kesilapan itu. Kami menyiapkan Tweet yang hanya menunggu masa untuk dihantar tetapi tanpa sebab, yang tidak diketahui ia tersilap dihantar." kata seorang pegawai.

"Bandar raya terbabit hanya menarik balik Tweet itu kira-kira 20 minit kemudian dan memohon maaf kepada pengikut @yokohama-saigai," kata pegawai terbabit.

Jepun dalam keadaan berwaspada menjelang pelancaran peluru berpandu jarak sederhana oleh Korea Utara, yang mana peluru berpandu Patriot ditempatkan di ibu negaranya untuk melindungi 30 juta penduduk, yang tinggal di situ.

Sebagai tambahan kepada PAC-3, pemusnah Aegis dilengkapkan dengan peluru berpandu pemintas, yang ditempatkan di Laut Jepun.
Twitter amat popular di Jepun, yang mana ia membenarkan tulisan berimejkan piktograf dan ideograf bahasa itu amat sesuai bagi had 140 aksara.
Ia juga membolehkan lebih banyak maklumat disampaikan berbanding menggunakan huruf seperti bahasa Inggeris.
AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan