Isnin, 1 April 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Al-Aqsa diceroboh lagi

Posted: 01 Apr 2013 12:25 PM PDT

Pendatang Yahudi bersikap biadab, benar anak perempuan kencing di halaman masjid

Baitulmaqdis: Perkelahian berlaku antara penduduk Palestin dan sekumpulan pendatang Yahudi apabila mereka bersikap biadab dengan minum minuman keras dan membenarkan seorang kanak-kanak perempuan membuang air kecil di pekarangan Masjid Al-Aqsa kelmarin.

Pergaduhan menyebabkan polis Israel menahan sekurang-kurangnya 10 jemaah Palestin dan melarang umat Islam daripada memasuki masjid berkenaan.
Polis menahan 10 penduduk Palestin dan menyerang jemaah itu dengan baton kejutan elektrik" Saksi

Pihak berkuasa Israel sebelum itu membenarkan kemasukan kira-kira 280 pelampau Yahudi dengan dilindungi polis dan enam polis Israel yang menyamar ke pekarangan masjid al-Aqsa, menaikkan kemarahan jemaah Palestin.

Seorang pendatang Yahudi meminum wain dan seorang lagi membenarkan anak perempuannya membuang air kecil berhampiran pokok zaitun di pekarangan masjid, kata mereka.

Perbuatan pendatang Yahudi menyebabkan pengawal Al-Aqsa masuk campur sehingga mencetuskan perkelahian.

"Berpuluh-puluh peneroka Yahudi menyerbu masjid berkenaan dari arah pintu pagar al-Magharbeh," kata saksi.
Tutup pagar al-Magharbeh

Pengarah Khazanah Islam di Baitulmaqdis, Sheikh Azzam al-Khatib, berkata 200 peneroka Israel memasuki masjid dengan cara biadab, menyebabkan pegawai agama memaksa polis Israel menutup pagar al-Magharbeh hari itu.

Jurucakap polis, Micky Rosenfeld, berkata enam jemaah Palestin ditahan kerana membaling batu ke arah kumpulan Yahudi dan Kristian yang melawat masjid berkenaan.

Saksi berkata, polis menahan 10 penduduk Palestin dan menyerang jemaah itu dengan baton kejutan elektrik. Polis Israel juga menyerang wanita dan pekerja dengan belantan.

Sementara itu, berpuluh-puluh peneroka Yahudi kelmarin memecah masuk ke pekarangan sejarah dan budaya Solomon Pool terletak antara bandar al-Khader dan kampung Irtas, di selatan Baitulaham.

Jurucakap polis Israel berkata, lawatan seterusnya oleh kumpulan Yahudi dan Kristian dijadualkan tengah hari kelmarin dan akan diteruskan seperti dirancang.
Masjid Al-Aqsa antara kawasan suci Islam. Yahudi turut menganggap kawasan itu, dikenali Temple Mount, sebagai lokasi agama yang penting.

Pejabat Presiden Palestin, dalam kenyataan kelmarin, mengutuk tindakan peneroka menceroboh al-Aqsa, menahan beberapa jemaah Palestin, selain pencerobohan ke kawasan bersejarah di Baitulaham oleh peneroka Yahudi. - AGENSI

Keputusan Susilo sukarkan Demokrat tarik pengundi

Posted: 01 Apr 2013 11:58 AM PDT

JAKARTA: Keputusan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mengambil alih kepemimpinan Parti Demokrat mungkin menyelamatkan masa depan parti berkenaan tetapi dalam jangka panjang ia menjejaskan peluang untuk menarik kembali pengundi, kata penganalisis.

Pelantikan Susilo mencerminkan kegagalan parti itu untuk tampil dengan penyelesaian berpanjangan yang dapat membantu ia bangkit daripada kejatuhan populariti, kata pengarah eksekutif Institut Pol-Tracking, Hanta Yuda.

"Dari segi penyatuan parti, pelantikan Susilo mungkin mempunyai impak positif tetapi cuma untuk seketika. Sekurang-kurangnya kami menyaksikan kemajuan parti tanpa sebarang tekanan.

"Namun dalam jangka panjang, ia menjejaskan parti kerana kuasa itu terletak di tangan Susilo," katanya kelmarin.

Susilo dilantik sebagai pengerusi Parti Demokratik oleh pemimpin tertinggi tiga organ utama parti itu, perhimpunan agung, lembaga penaung dan majlis etika.

Susilo, dalam ucapan pertama sebagai pengerusi parti petang Sabtu lalu, berkata beliau perlu mengorbankan diri demi kepentingan parti.

"Ini bukan pilihan yang mudah. Cuma anggota keluarga saya memahami apa yang saya rasakan. Kritikan bermula dua hari lalu tetapi saya tidak mahu lepas tangan dan biarkan parti dilanda masalah ketika pilihan raya semakin dekat.
"Jika kita bercakap mengenai keuntungan dan kerugian, keputusan saya membahayakan diri sendiri tetapi parti akan lebih selamat," katanya. – Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan