Kosmo Online - Dunia |
- Korea Utara siap sedia serang AS
- Peguam baling kasut ke arah Musharraf
- Penduduk Islam lenyap di bandar Myanmar
Korea Utara siap sedia serang AS Posted: Korea Utara siap sedia serang AS
SEOUL - Media Korea Utara semalam menyiarkan dua keping gambar yang menunjukkan rancangan negara itu untuk menyerang negara Amerika Syarikat (AS). Kedua-dua gambar itu menunjukkan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un yang berusia dalam lingkungan 30-an duduk di tepi sebuah meja yang dipercayai di dalam sebuah bilik operasi ketenteraan. Gambar-gambar itu dirakamkan oleh agensi berita Korean Central News Agency yang melaporkan satu mesyuarat diadakan melibatkan Jong-un dengan beberapa pemimpin tentera. Jong-un mengarahkan roket-roket berada dalam keadaan bersiap sedia untuk melancarkan serangan ke atas AS dan pangkalan-pangkalannya di rantau Pasifik. Salah satu gambar itu menunjukkan terdapat peta yang menyatakan tajuk rancangan untuk menyerang negara AS. Sementara itu, berpuluh-puluh ribu anggota tentera dan orang awam berhimpun di Pyongyang bagi memberi sokongan kemungkinan serangan ketenteraan dilancarkan ke atas AS. Perhimpunan itu diadakan di Dataran Kim Il-sung yang dihadiri oleh askar-askar, bekas anggota tentera, pekerja dan pelajar yang memakai pakaian seragam tentera. Bagaimanapun, pemimpin Jong-un tidak hadir pada perhimpunan itu. Kelmarin, Tentera AS menghantar dua buah pesawat kalis radar B-2 Stealth yang boleh membawa senjata nuklear terbang di ruang udara Korea Selatan bagi menunjukkan kesediaannya untuk menghadapi sebarang serangan Korea Utara. Korea Utara mengancam untuk menyerang AS dan Korea Selatan selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melakukan sekatan barangan mewah ke negara itu setelah rejim Pyongyang melancarkan ujian nuklear ketiga pada bulan Februari lalu. Jong-un menjadi pemimpin Korea Utara selepas kematian bapanya, Kim Jong-il pada April tahun lalu. - Agensi | |
Peguam baling kasut ke arah Musharraf Posted: Peguam baling kasut ke arah MusharrafAP KARACHI - Seorang peguam membaling satu kasut ke arah bekas Presiden Pakistan, Pervez Musharraf semasa dia berjalan menuju ke sebuah mahkamah tinggi di sini semalam. Kasut itu hampir mengenai Musharraf yang hadir ke mahkamah untuk memohon supaya jaminan ke atasnya dilanjutkan berhubung beberapa kesnya. Beberapa saluran televisyen tempatan melaporkan, identiti peguam yang membaling kasut itu tidak diketahui kerana dia menyembunyikan diri di belakang koridor bangunan. Selepas kejadian itu, jaminan ke atas Musharraf dilanjutkan selama 15 hari lagi oleh hakim mahkamah itu Sajjad Ali Shah berhubung kes dia didakwa memecat beberapa orang hakim. Jaminan terhadapnya juga dilanjutkan sebanyak 21 hari lagi berhubung dua kes iaitu terlibat dengan pembunuhan bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto dan Akhbar Bugti yang merupakan seorang pejuang suku kaum Baluch yang mati semasa mempertahankan diri dalam serangan tentera Pakistan. - Agensi | |
Penduduk Islam lenyap di bandar Myanmar Posted: Penduduk Islam lenyap di bandar MyanmarSIT KWIN - Penduduk Muslim yang tinggal di sini berjumlah kira-kira 100 daripada 2,000 orang penduduk. Bagaimanapun, keganasan agama yang berlaku antara penduduk Muslim dengan Buddha menyebabkan penganut Islam hampir lenyap di bandar ini. Rumah dan kedai milik penduduk Islam termasuk masjid dimusnahkan menyebabkan mereka mendapatkan perlindungan di kem-kem pelarian atau di rumah rakan-rakan serta saudara mara. "Kami tidak mengetahui ke mana mereka (penduduk Islam) pergi," kata seorang pemandu teksi, Aung Ko Myint. Sebuah kedai milik seorang penduduk Islam telah dipecah masuk di sini semalam. "Dia melarikan diri pada waktu pagi sebelum para perusuh datang," kata Myint. Seramai 42 orang telah terbunuh ekoran keganasan agama itu yang mula meletus di bandar Meikhtila pada 20 Mac sebelum ia merebak ke beberapa buah wilayah lain. Rusuhan itu bermula ekoran perbalahan antara seorang pemilik kedai emas dengan pelanggan Buddha di Meikhtila. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan