Sabtu, 30 Mac 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Mustang digelar Spider-man sebenar

Posted:

Seorang bekas penasihat undang-undang warga Ukraine mengambil gambar mencemaskan ini ketika mendaki bangunan dan bergayut dari menara di Kiev dan Moscow.

Tanpa menggunakan alat keselamatan, pemuda berusia 26 tahun itu yang menggelar dirinya "Mustang Wanted" mempertaruh nyawa menerusi hobinya di peringkat ekstrem. Aksi lagak ngerinya yang membuatkan orang gementar termasuk bergayut di bangunan hanya dengan sebelah tangan dan mengimbangkan diri secara menjinjit di atas batang logam yang tergantung tinggi.


Aksi berbahaya dilakukannya itu membolehkan dia mendapat jolokan nama samaran "Spider-Man sebenar" Dia menulis dalam laman Facebooknya: "Ketakutan tidak wujud. Kadang-kadang saya rasa macam robot. Saya tidak merasakan apa-apa.

"Kematian bukan perkara terburuk yang boleh terjadi. Setiap orang akan mati, tetapi tidak semua orang dapat hidup sebagaimana yang mereka inginkan.


"Jika anda takut dengan semua perkara, anda perlu hidup dalam makmal yang telah disteril." Mustang menegaskan dia lebih rela mati daripada mengalami kecederaan yang akan menamatkan kariernya. "Jangan cuba meniru aksi yang saya lakukan kerana ia benar-benar berbahaya. "Saya sudah melakukan aksi ini selama bertahun-tahun, hanya untuk kepuasan diri. Jaga kehidupan dan kesihatan anda!" Mustang masih mencari peluang penajaan dengan menawarkan untuk dirakam bergambar bersama logo syarikat sambil bergayut dari bangunan pencakar langit setinggi 213 meter.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/30

Tolak tuntutan

Posted:

Pihak berkuasa Thai menolak tuntutan Barisan Revolusi Nasional (BRN) untuk membebaskan semua tahanan yang didapati bersalah dalam keganasan di selatan negara itu.

Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Nasional, Lt Jeneral Paradorn Pattanatabut memberitahu demikian kepada wartawan semalam selepas berunding dengan wakil BRN di Kuala Lumpur kelmarin.


Menurutnya, dalam rundingan itu, Ketua Perhubungan BRN, Hassan Taib mengemukakan tuntutan pengampunan beramai-ramai untuk pejuang pemisah yang tertumpu kepada empat perkara iaitu menarik balik waran tangkap terhadap suspek pejuang, membebaskan tahanan yang didapati bersalah dalam keganasan di selatan negara itu, menarik balik kes yang tertunda terhadap suspek pejuang dan membatalkan senarai hitam suspek pejuang.

Paradorn berkata, beliau menolak tuntutan membebaskan tahanan sementara tiga lagi tuntutan akan dibincangkan dengan Kementerian Kehakiman dan agensi berkaitan yang lain.


Mengenai gesaannya supaya pejuang pemisah itu mengecualikan orang awam sebagai sasaran, Hassan berikrar untuk cuba meyakinkan kumpulan pemisah lain supaya mengekang keganasan.


Wakil BRN itu bagaimanapun mengaku sukar untuk memujuk kumpulan lain yang menentang rundingan damai itu untuk mengurangkan serangan mereka, kata Paradorn yang mengetuai sembilan wakil kerajaan ke rundingan itu.

Kumpulan pemisah pula diwakili enam anggota daripada Penyelaras BRN, Kongres BRN dan Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (Pulo).


Kedua-dua pihak sebelum ini dikatakan akan menghantar masing-masing 15 wakil, termasuk perwakilan daripada sembilan kumpulan pemisah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/30

Tiada ulasan:

Catat Ulasan