Selasa, 12 Mac 2013

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Sepina ke atas Jamalul Kiram ditarik balik

Posted:

Sepina ke atas Jamalul Kiram ditarik balik

Sepina ke atas Jamalul Kiram ditarik balik

GAMBAR fail menunjukkan Jamalul Kiram (kiri) berada di dalam rumahnya di Kampung Maharlika, bandar Taguig, Manila pada 3 Mac lalu.- AP


MANILA - Biro Siasatan Kebangsaan (NBI) Filipina semalam menarik balik sepina berhubung siasatan konspirasi pencerobohan di Sabah yang dikeluarkan kepada pemimpin puak pengganas Sulu, Jamalul Kiram III dan keluarganya, menurut beberapa portal berita di negara ini.

Portal berita Inquirer.net melaporkan, penasihat Jamalul Kiram, Pastor 'Boy' Saycon memberitahu para wartawan, sepina tersebut ditarik balik selepas berlaku kesilapan komunikasi berhubung sepina itu semasa ia dikeluarkan.

"Terdapat kesilapan komunikasi. Justeru, mereka (pegawai-pegawai NBI) menarik balik," katanya.

Beliau berkata, sebelum ejen NBI tiba ke kediaman Jamalul Kiram di Kampung Maharlika, bandar Taguig, dia telah mencapai persetujuan dengan pihak agensi untuk mengecualikan keluarga Kiram daripada memberi keterangan.

Saycon berkata, hanya jurucakap Jamalul Kiram, Abraham Idjirani akan tampil secara sukarela pada Khamis nanti sebagai wakil keluarga itu ketika dipanggil untuk memberi keterangan kepada NBI.

Beliau berkata, pihak NBI telah selesai melakukan siasatan ke atas insiden serangan di Lahad Datu, Sabah dan bersedia untuk mendedahkan tentang penemuannya.

Sepina itu diserahkan kepada keluarga Jamalul Kiram pada kira-kira pukul 3 petang semalam sebelum ia ditarik balik.

Saycon berkata, Jamalul Kiram berasa amat kecewa apabila ejen-ejen NBI memasuki rumahnya.

"Beliau (Jamalul Kiram) berasa diaibkan. Diplomasi diperlukan untuk menyelesaikan isu itu," katanya.

Menurut isteri Jamalul Kiram, Fatima Cecilia Kiram, anaknya, Jacel Kiram dan Idjirani menerima sepina tersebut daripada dua ejen NBI.

Beberapa minit selepas itu dua lagi ejen memberikan sepina tersebut kepada Jamalul Kiram.

Fatima Cecilia berkata, dia dan suaminya tidak melanggar undang-undang apabila mengarahkan para pengikut ke Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada 9 Februari lalu.

Sebelum sepina itu dikeluarkan, Saycon telah pergi ke NBI untuk diambil keterangan pada waktu pagi.

Beliau bersama dua orang lagi termasuk bekas Penasihat Keselamatan Nasional, Norberto Gonzales dan bekas wartawan, Waldy Carbonel turut diarah tampil beri keterangan di NBI. - Agensi

Penduduk Falklands pilih Britain

Posted:

Penduduk Falklands pilih Britain

Penduduk Falklands pilih Britain


SEJUMLAH penduduk gembira apabila mendengar keputusan pungutan suara di Port Stanley, Kepulauan Falklands kelmarin.- AFP


STANLEY, Kepulauan Falkland - Penduduk Kepulauan Falkland kelmarin sebulat suara memilih untuk berada di bawah penguasaan Britain berbanding Argentina berdasarkan keputusan pungutan suara yang dilakukan kelmarin.

Pegawai-pegawai pungutan suara itu mengumumkan, 99.8 peratus mengundi bersetuju untuk kekal berada di bawah pentadbiran Britain.

Sebanyak 92 peratus daripada 1,672 penduduk pulau tersebut keluar mengundi dalam pungutan suara yang diadakan selama dua hari.

Hanya tiga orang yang memilih untuk tidak berada di bawah penguasaan Britain.

Sebelum ini berlaku perbalahan antara Britain dan Argentina berhubung Kepulauan itu.

Argentina menegaskan kepulauan itu yang terletak dalam negaranya merupakan miliknya.

"Pastinya, ia merupakan mesej paling kuat yang boleh kami beritahu kepada dunia," kata seorang penduduk, Roger Edwards.

Perang Falklands meletus pada tahun 1982 apabila Presiden Argentina ketika itu, Leopoldo Galtieri menghantar tentera untuk menawannya.

Perang yang berlangsung selama 10 minggu itu menyebabkan 650 penduduk Argentina dan 255 warga Britain terbunuh.

Sementara itu, Perdana Menteri Britain, David Cameron semalam menggesa Argentina menghormati hasrat penduduk Pulau Falkland selepas mereka mengundi untuk kekal di bawah jajahan Britain.

Cameron turut memberi amaran terhadap sebarang tindakan ketenteraan oleh negara Amerika Selatan itu selepas keputusan pungutan suara tersebut diperoleh.

"Kepulauan Falklands mungkin berada jauh beribu-ribu kilometer tetapi penduduknya merupakan rakyat Britain. Kami akan sentiasa berada di sana untuk mempertahankan mereka," katanya dalam satu kenyataan. - Agensi

Jurujual diculik lelaki sakit mental di China

Posted:

Jurujual diculik lelaki sakit mental di China

Jurujual diculik lelaki sakit mental di China

SEORANG pemuda mengacukan pisau di leher seorang jurujual wanita di sebuah pasar raya di Putian, China kelmarin.- AFP


PUTIAN, China - Seorang pemuda yang mempunyai masalah mental dan bersenjatakan dua bilah pisau menculik seorang jurujual wanita di sebuah pasar raya di sini, petang kelmarin, lapor akhbar Shanghai Daily semalam.

Kejadian yang berlaku pada pukul 5 petang waktu tempatan itu kemudian menjadikan wanita tersebut sebagai tebusannya.

Beberapa anggota polis dan perunding yang tiba cuba untuk menenangkan lelaki tersebut.

Namun, pemuda berkenaan mengacukan pisau di leher wanita itu.

Ibu dan isteri pemuda itu bergegas ke tempat kejadian dan berjaya memujuknya memberi air minuman kepada tebusannya.

Penculik itu kemudian bertindak membuang pisau dan melepaskan wanita yang menjadi tebusannya.

"Kakak pemuda itu memberitahu saya bahawa dia mempunyai sedikit masalah mental," kata seorang penduduk kampung yang dikenali sebagai Liu.

Penculik tersebut telah ditangkap oleh polis untuk siasatan lanjut. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan