Berita Harian: Dunia |
Belia bakar diri cetus pemberontakan Posted: 12 Mar 2013 03:52 PM PDT Tunis: Seorang belia Tunisia menganggur membakar diri di tengah ibu negara Tunis semalam, perbuatan yang mengingatkan semula kepada tindakan seorang lagi pemuda, Mohamed Bouazizi. Kematian Bouazizi mencetuskan pemberontakan di Tunisia yang disusuli kebangkitan penduduk lain di rantau Arab. "Keadaannya sangat tenat," kata sumber perubatan di hospital Mourouj. Protes guling presiden Belia itu membakar diri di luar bangunan perbandaran di dataran utama, Habib Bourguiba Avenue, fokus protes yang menggulingkan Presiden Zine al-Abidine Ben Ali, dua tahun lalu. Tahap pengangguran Tunisia berada pada 17 peratus dengan siswazah paling ramai menganggur. Beberapa penduduk Tunisia membakar diri sejak dua tahun lalu dalam bantahan seumpama Bouazizi yang bertindak demikian pada 17 Disember 2010 di bandar Sidi Bouzid selepas seorang anggota polis merampas tempat jualan buah-buahannya. Kematian Bouazizi mencetuskan bantahan yang menamatkan pemerintahan Ben Ali dan menjadi inspirasi kepada protes lain di Timur Tengah. Masalah ekonomi dan sosial yang menjadi punca pemberontakan Tunisia belum lagi dapat diselesaikan ketika negara itu berpecah antara golongan agama dan sekular. Tunisia juga menantu Perlembagaan baru bagi membantu peralihan daripada gaya autokrasi kepada demokrasi. Kerajaan terakhir pimpinan Hamadi Jebali gagal selepas parti Ennahda pimpinannya menolak rancangan beliau supaya barisan teknokrat dalam Kabinet memimpin negara menghadapi pilihan raya. |
Bunyi gempa sampai ke angkasa lepas Posted: 12 Mar 2013 03:51 PM PDT Paris: Bunyi gempa bumi besar disusuli tsunami di Jepun dua tahun lalu begitu kuat hingga dikesan satelit di angkasa lepas. Sebuah satelit khas Eropah yang mengelilingi bumi mengesan bunyi frekuensi rendah ombak tsunami yang berpunca daripada gerakan kerak bumi apabila gempa magnitud 9.0 itu bermula. "Bunyi gempa itu sampai ke luar atmosfera bumi apabila ia mempengaruhi variasi ketumpatan udara sekitar GOCE," menurut laporan jurnal Amerika Syarikat, Geophysical Research Letters. GOCE merujuk kepada Peninjau Pusingan Graviti Lautan dalam satelit Agensi Angkasa Lepas Eropah. Saintis berkata, gempa bumi bukan saja mencipta gelombang bunyi tetapi juga menyebabkan permukaan bumi bergegar menghasilkan bunyi yang naik sehingga atmosfera tertinggi. GOCE direka untuk merakam dan mencatat keadaan itu umpama seorang pakar gempa di orbit. Gelombang akustik "Ia disebabkan gelombang akustik mencapai kepantasan 130 meter sesaat," katanya. "Pakar gempa paling teruja dengan penemuan ini kerana hanya mereka golongan saintis yang tiada alat untuk melakukan kajian di angkasa lepas," kata Raphael Garcia, pegawai Institut Penyelidikan Astrofizik dan Planet di Perancis. "Dengan peralatan baru ini, mereka boleh gunakannya untuk penyelidikan di bawah tanah," katanya lagi. Pegawai di Agensi Meteorologi Jepun berkata, adalah sesuatu yang luar biasa bagi satelit membuat analisis berkenaan. "Umumnya, gempa bumi dipantau menerusi alat kajian di tempat tertentu. Satelit biasanya tidak digunakan untuk memantau gempa," katanya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan