Jumaat, 1 Mac 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Penentang tawan Masjid Ummaiyad

Posted:

Beirut: Pejuang antikerajaan menguasai kawalan Masjid Umayyad di Aleppo, semalam, selepas berlaku pertempuran sengit beberapa hari di situ.

Menurut badan Pemantau Hak Asasi Manusia Untuk Syria, tentera kerajaan terpaksa berundur ke beberapa lokasi di bangunan sekitar masjid terkenal itu.


Bagaimanapun, kata pemantau itu, bangunan bersejarah berkenaan mengalami kerosakan akibat pertempuran kedua-dua pihak. Pegawai badan itu berkata, muzium masjid berkenaan terbakar ketika pejuang antikerajaan dan tentera rejim Presiden Bashar al-Assad berbalas tembakan.

"Ia menyebabkan siling masjid runtuh, memburukkan lagi kerosakan yang berlaku pada Oktober tahun lalu apabila pelbagai perabot antik dan satu daripada tiang berukir di situ musnah. Masjid Umayyad menjadi tempat umat Islam beribadah sejak abad kelapan, tetapi bangunan asalnya dimusnahkan tentera pada abad ke-13. Sementara itu, Badar Purba di Aleppo menyaksikan pertempuran sengit berlaku berhampiran Istana Keadilan dan Medan Sabaa Baharat.


Pengarah badan pemantau itu, Rami Abdel Rahman, berkata jika pejuang antikerajaan menguasai istana berkenaan, mereka mampu memutuskan laluan tentera tambahan ke Aleppo. Kubu itu - pernah dijadikan tempat pertahanan untuk 10,000 orang pada zaman silam - kini dikawal tentera yang setia kepada Bashar.


Pejuang berkata, tentera terbabit hanya mendapat bantuan dan bekalan melalui satu laluan yang belum mereka kuasai. - AFP

Foto

PEJUANG Tentera Pembebasan Syria dari Briged Pahlawan Utara meninggalkan satu daripada gua mereka untuk bertempur dengan tentera kerajaan di al-Karmid di Jabal al-Zaweya, Idlib, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/01

Tawar isteri untuk disembelih

Posted:

New York: Lebih banyak maklumat mengerikan terbongkar dalam perbicaraan seorang anggota bandar raya ini yang dituduh bersubahat membunuh dan memakan wanita.

Pendakwa raya berkata, Gilberto Valle, 28, terbabit dalam perbualan di e-mel dengan seorang lelaki Pakistan, Aly Khan mendakwa dirinya penyembelih haiwan dan menghantar Valle video menunjukkan seekor kambing yang dikelar tekaknya.


Mahkamah juga diberitahu Valle mempunyai 'mentor' Inggeris yang mendakwa telah membunuh dan memakan kanak-kanak lelaki berusia lima tahun.

Di Mahkamah Persekutuan Manhattan, ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Corey Walsh memberi keterangan dengan mengemukakan perbualan dalam talian antara Valle dan Khan tahun lalu, di mana Khan berkata, dia "ingin menyembelih seorang gadis dan menganggapnya sebagai daging". Perbualan berterusan: "Saya membunuh beberapa ekor kambing untuk melihat apa berlaku kepada binatang itu dan bagaimana ia dilakukan," katanya sebagaimana dipetik daripada kenyataan di mahkamah.


"Saya dapati ia sangat mudah. Hanya perlu membaringkan, ikat haiwan itu lalu terus mengelar tekaknya." Juri hanya diperlihatkan adegan utama penyembelihan kambing dalam video itu kerana ia sangat mengerikan, lapor akhbar New York Post.


Valle yang mengenali Khan menerusi laman web untuk golongan yang berfantasi memakan daging manusia menulis bahawa dia "cuba memilih seorang gadis yang boleh dihantar kepada Khan." Dia menambah: "Saya boleh memujuk teman wanita saya pergi ke India." Valle merujuk kepada Kathleen Mangan, wanita yang menjadi isterinya enam bulan selepas itu.

Kathleen memaklumkan kepada polis mengenai fantasi seksual suaminya selepas menemui bahan mengerikan pada komputer riba lelaki itu. Valle dan Khan terus berbicara untuk 'memalukan' Kathleen, bergilir-gilir memperkosanya dan kemudian membunuhnya bersama-sama.


Walsh juga membacakan petikan e-mel dan mesej pesanan ringkas antara Valle dan seorang lelaki Inggeris menggunakan nama Moody Blue.

Moody Blues mendakwa dia berfantasi makan daging manusia sejak berusia enam tahun, tetapi tidak dapat memenuhi keinginannya hingga 35 tahun kemudian.


Dalam satu e-mel, Valle memberitahu Moody Blue bahawa pemain sofbal dikenalinya adalah 'daging paling mengghairahkan pernah saya temui, menurut Daily Telegraph. Perbicaraan masih diteruskan. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/01

Tiada ulasan:

Catat Ulasan