Rabu, 6 Mac 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Amerika Latin berkabung

Posted: 06 Mar 2013 02:58 PM PST

Presiden Hugo Chavez dikebumi esok, pilihan raya dalam tempoh 30 hari

Caracas: Negara di Amerika Latin dan rakyat Venezuela semalam berkabung atas kematian Presiden Hugo Chaves dan bersedia memberi penghormatan terakhir sekali gus mengalihkan perhatian terhadap pilihan raya yang akan menggantikan pemimpin sosialis itu selepas 14 tahun memerintah.

Presiden berusia 58 tahun itu meninggal dunia pada Selasa selepas dua tahun bertarung dengan barah yang pada awalnya dikesan dalam pelvis. Beliau berhadapan dengan pelbagai komplikasi selepas pembedahan pada 11 Disember dan sejak itu tidak lagi dilihat di khalayak ramai.

Masa depan negara itu kini berada di bahu penggantinya, Naib Presiden, Nicolas Maduro.

"Dalam keadaan tragedi yang menjejaskan negara kita, kami menggesa untuk terus mengekalkan keamanan, kasih sayang, rasa hormat dan ketenangan," kata Maduro.

"Kami meminta penduduk untuk menyalurkan kesakitan ini kepada keamanan."

Maduro jadi calon kerajaan

Maduro, 50, bekas pemandu bas dan pemimpin kesatuan sekerja akan menjadi calon kerajaan dalam pilihan raya presiden baru yang akan menyaksikan beliau bersaing dengan pemimpin pembangkang dan gabenor negeri, Henrique Capriles.
Pihak berkuasa berkata pilihan raya akan diadakan dalam masa 30 hari tetapi belum dapat dipastikan jika pilihan raya akan berlangsung dalam tempoh itu atau sama ada tarikh undian akan diumumkan dalam masa 30 hari.

Komander tentera segera menyatakan ikrar kesetiaan kepada Maduro yang menjadi pemimpin sementara sehingga pilihan raya baru.

Hampir keseluruhan Caracas dilihat sunyi sepanjang malam dengan jalanan terutama di kawasan mewah di ibu negara. Kebanyakan kedai menutup perniagaan mereka berikutan tersebarnya berita dan bimbangkan rompakan.

REUTERS

Pemimpin dunia ucap takziah

Posted: 06 Mar 2013 01:43 PM PST

Caracas: Pelbagai pihak dan pemimpin dunia menyampaikan ucapan takziah terhadap kematian Presiden Venezuela Hugo Chaves semalam termasuk Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon dan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

Presiden Amerika, Barack Obama berkata pentadbiran beliau berminat dalam meningkatkan hubungan membina dengan kerajaan Venezuela.

"Ketika Venezuela memulakan era baru sejarahnya, Amerika akan terus komited dengan dasar untuk terus mempromosikan prinsip demokrasi dan menghormati hak asasi," katanya.

Pertahankan hak asasi

Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad berkata Chavez mempertahankan hak asasi dan sudah mengorbankan hidupnya untuk memperbaiki kehidupan rakyat negaranya.

"Beliau akhirnya meninggal dunia akibat penyakitnya selepas berkhidmat untuk Venezuela," katanya dalam mesej kepada Naib Presiden Nicolas Maduro.

Presiden Brazil, Dilma Rousseff menyifatkan Chavez sebagai pemimpin agung yang mewakili negara Amerika Latin.
"Kami mengiktiraf beliau sebagai pemimpin agung yang tidak dapat ditukar ganti," katanya.

Terkejut dengan kematian

Presiden Bolivia Evo Morales berkata beliau amat terkejut dengan kematian rakan baiknya.

"Kami semua di dalam kesedihan," katanya.

Forum hak asasi utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam turut bertafakur selama seminit memperingati kematian presiden Venezuela berkenaan yang sering kali dikritik sejak beberapa tahun lalu.

Duta Cuba Anayansi, Rodriguez Camejo turut mengisytiharkan tempoh tiga hari berkabung untuk sekutu Chavez, mengetuai diplomat di Geneva. - Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan