Khamis, 14 Mac 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Asteroid hampiri bumi

Posted: 10 Mar 2013 04:42 PM PDT

Cape Canaveral: Asteroid sebesar satu kawasan bandar bergerak hampir dengan Bumi kelmarin, kejadian terbaru dalam beberapa siri objek angkasa lepas termasuk sebuah asteroid bersaiz sebuah bas meletup di ruang udara Russia bulan lalu.

Panjang 140 meter

Asteroid itu baru dikesan enam hari lalu, sepanjang 140 meter diberi nama 'Asteroid 2013 ET' berada kira-kira 950,000 kilometer ketika lalu dekat dengan Bumi jam 3.30 petang EST (2030 GMT).

Jarak berkenaan adalah kira-kira dua setengah kali ganda jauh dari bulan dan dianggap dekat jika menggunakan skala kosmik.

"Apa yang menakutkan ialah kita tidak tahu langsung insiden ini," kata Presiden Slooh Space Camera, Patrick Paolucci, ketika satu siaran web memaparkan imej langsung asteroid berkenaan dari sebuah teleskop di Kepulauan Canary.

Laju 41,843 kilometer sejam

Bergerak pada kelajuan kira-kira 41,843 kilometer sejam, asteroid itu boleh memusnahkan sebuah bandar besar jika ia melanggar Bumi, tambah jurutera teleskop Slooh, Paul Cox.
Asteroid 2013 ET adalah lapan kali ganda lebih besar berbanding asteroid bersaiz sebuah bas yang meletup di ruang udara Chelyabinsk, Russia, pada 15 Februari lalu.

Kekuatan letupan itu bersamaan 440 kiloton dinamit, mencetuskan gelombang kejutan hingga memecahkan cermin dan merosakkan bangunan selain mencederakan lebih 1,500 penduduk.

Lewat hari itu, satu lagi asteroid kecil dikenali sebagai DA14 melepasi 27,680 kilometer dari Bumi, lebih hampir berbanding satelit cuaca di orbit.

Dua lagi asteroid kecil juga akan berada hampir dengan Bumi hujung minggu ini.
REUTERS

Irrfan juga dilayan seperti Shah Rukh

Posted: 10 Mar 2013 04:41 PM PDT

Los Angeles: Aktor terkenal India, Irrfan Khan, mengakui teringat kepada skrip filem 'My name is Khan and I am not a terrorist' apabila ditahan beberapa kali untuk pemeriksaan di lapangan terbang Amerika Syarikat.

"Ia satu penghinaan. Mereka tidak maklumkan pun sebabnya," kata Irrfan, antara pelakon India paling dikenali di Hollywood selepas membintangi Slumdog Millionaire, Life of Pi dan Spider-Man.

"Saya tidak guna nama akhir Khan dalam filem tetapi nama itu ada dalam pasport selain maklumat mengenai agama. Saya tidak ditahan sekali tetapi beberapa kali di lapangan terbang Amerika.

"Saya pernah kata kepada petugas imigresen, jika kamu tidak mahu saya masuk, mengapa beri visa dan lelaki itu menunjukkan reaksi marah dan berkata kamu ugut sayakah," kata Irrfan dalam program India TV, Aap Ki Adalat.

Ditahan dua kali Irrfan ditahan dua kali di lapangan terbang Los Angeles pada 2008 dan New York pada 2009.

Beliau tidak keseorangan dari segi itu kerana seorang lagi pelakon yang dikenali ramai, Shah Rukh Khan – aktor gandingannya dalam filem Billu -– turut ditahan di lapangan terbang Newark pada 2009 dan sekali lagi New York, tahun lalu.

Antara warga India terkenal yang pernah menghadapi situasi itu termasuk bekas Presiden APJ, Abdul Kalam; aktor, John Abraham; Neil Nitin Mukhesh dan Kabir Khan.
Irrfan yang sedang berlakon dalam filem arahan Tigmanshu Dhulia bertajuk Sahib, Biwi Aur Gangster Returns, mengakui bosan kena tahan setiap kali mengunjungi Amerika.

"Anggota polis bersenjata bawa kamu masuk bilik dan suruh kami tunggu. Kamu tidak boleh cakap dengan orang lain atau guna telefon bimbit.

"Selepas beberapa jam, mereka masuk dan suruh pergi dari situ. Saya sudah beritahu mereka, jika saya ditahan lagi, saya akan beli tiket pulang saja," katanya.

Aktor hebat

Meskipun tidak kelihatan seperti seorang pelakon, Irrfan mempunyai reputasi sebagai aktor yang hebat dan percaya pelakon tidak perlu kelihatan kacak.

"Kebanyakan bintang filem selalunya tidak kacak seperti Rajesh Khanna, Amitabh Bachchan atau Dilip Kumar.

"Saya bukanlah membandingkan diri saya dengan mereka.

Saya hanya jelaskan kemungkinan apa yang tidak kelihatan dalam diri orang itu lebih penting, bukannya soal dia kacak," katanya. AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan