Selasa, 26 Februari 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Kejutan parti pelawak

Posted: 26 Feb 2013 10:52 AM PST

Rome: Nilai saham Itali jatuh dan kos meminjam kerajaan meningkat semalam ketika pelabur panik dengan keputusan pilihan raya negara itu semalam.

Ia berikutan kejayaan 5-Star Movement pimpinan pelawak, Beppe Grillo, menang undi terbanyak iaitu 25.5 peratus dan tiada parti yang menang majoriti di Parlimen.

Pembentukan kerajaan campuran memerlukan majoriti di Dewan Rakyat dan Negara bagi meluluskan undang-undang.

Grillo tidak menunjukkan minat membentuk kerajaan campuran buat masa ini.
Parti politik yang lebih dikenali pula dijangka tidak akan cuba menggesa pengundian baru diadakan kerana bimbang menerima kekalahan lebih besar.

Bekas Perdana Menteri, Silvio Berlusconi menyatakan, blok berhaluan tengah-kanan pimpinannya terbuka untuk membentuk kerajaan bersama dengan puak berhaluan tengah-kiri pimpinan Pier Luigi Bersani yang mampu mewujudkan majoriti sebagai kumpulan terbesar di Parlimen.

Blok berhaluan tengah-kiri dijangka memiliki 119 kerusi manakala 117 diraih blok tengah-kiri tetapi 158 kerusi diperlukan bagi membentuk majoriti bagi memerintah.
Nilai bursa saham Milan menurun lebih empat peratus manakala premium yang dibayar oleh Itali kepada Jerman untuk pinjaman meningkat kepada 338.7 mata, sejak 10 Disember lalu.

Dalam satu lelongan bon kerajaan, kos pinjaman rasmi meningkat lebih dua pertiga apabila pelabur menuntut pulangan 1.237 peratus, tertinggi sejak Oktober lalu, berbanding 0.730 peratus sebulan lalu.

Kemelesetan ekonomi dan suasana tidak yakin dengan parti utama dalam kalangan pengundi menyebabkan mereka menyokong parti yang menolak dasar berjimat, pendekatan Perdana Menteri, Mario Monti dengan sokongan sekutu Eropah.

Parti 5-star Movement meraih 25.5 peratus undi di Dewan Rakyat, di depan Parti Demokratik pimpinan Bersani yang mendapat 25.4 peratus selain meraih hampir 8.7 juta undi keseluruhannya, yang terbanyak berbanding parti lain.
REUTERS

Asteroid besar kian jauhi bumi

Posted: 26 Feb 2013 10:51 AM PST

Moscow: Asteroid besar 2012 DA14 terbang menghampiri bumi lewat kelmarin dan kini menjauhi planet ini, kata ahli astronomi Russia.

Asteroid itu bersaiz bangunan 15 tingkat, sampai ke titik paling dekat ke bumi jam 11.25 malam Jumaat, mendekati planet pada jarak 27,700 kilometer, lebih rapat berbanding satelit komunikasi dan cuaca.

"Ketika ini ia boleh disaksikan di bahagian tenggara langit, dalam buruj Virgo, lapan darjah di atas ufuk," kata pakar kaji bintang Institut Matematik Gunaan Keldysh, Leonid Yelenin.

Situasi itu berlaku kira-kira 16 jam selepas serpihan tahi bintang menyebabkan kira-kira 1,200 penduduk cedera di bandar Urals di Chelyabinsk, Russia.

Asteroid itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar, bercahaya paling terang dengan magnitud jelas kira-kira 7.0.

Seorang individu dengan penglihatan biasa dapat melihat objek cerah di langit pada magnitud 6.

Asteroid 2012 DA14, yang secara kasar bersaiz 50 meter dan seberat kira-kira 130,000 tan metrik, kali pertama dilihat sepasukan ahli astronomi Sepanyol di La Sagra Sky Survey.
Pengiraan mereka menunjukkan objek langit mungkin terbang hampir ke bumi pada 2013, dengan kemungkinan kecil pelanggaran.

Sementara itu di PASADENA, California, maklumat awal menunjukkan bahawa meteor di Chelyabinsk tidak dikaitkan dengan asteroid 2012 DA14, yang terbang menghampiri bumi kata Agensi Angkasa Lepas Amerika (NASA) semalam.
AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan