Sabtu, 2 Februari 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Rongak kian diminati lelaki Afrika Selatan

Posted: 02 Feb 2013 02:18 PM PST

Cape Town: Satu amalan tradisi puak yang tidak pernah luntur, malah menjadi gaya yang semakin diminati di kalangan pemuda di Cape Town serta wilayah lain di Afrika Selatan, ialah membuang beberapa gigi hadapan mereka.

Amalan dan gaya ini disifatkan simbol ketampanan dan kehebatan di kalangan lelaki di wilayah ini.

Walaupun kedengaran agak pelik, kebanyakan remaja Afrika Selatan sebenarnya lebih suka jika mereka dilihat rongak ketika senyum selepas mencabut gigi hadapan.

Dengan kebanyakan mereka mengenakan baju panas longgar dan bertopi selain dilengkapi kaca mata hitam, senyuman terbabit disifatkan unik di kalangan remaja Afrika Selatan yang gemar memberi aksi seperti samseng.

Bagi Yazeed Adam, 21, aliran fesyen ini dikenali sebagai 'Cape Flats Smile.'

"Ia adalah fesyen di mana semua orang mengamalkannya," katanya.

Nama 'Cape Flats Smile' datangnya dari sebuah kejiranan popular tempat pengubahsuaian tubuh yang pelik dilakukan oleh ramai remaja.

Tekanan rakan sebaya

Jacqui Freidling dari Jabatan Biologi Kemanusiaan Universiti Cape Town yang turut membuat kajian terhadap fenomena itu pada 2003 berkata, beliau mendapati fesyen dan tekanan rakan sebaya adalah punca utama remaja membuang gigi mereka, selain sebab perubatan dan juga gangsterisme.

"Ia adalah perkara yang perlu dilakukan.

"Saya dapati ia adalah tarikan fesyen ketika zaman ibu bapa saya," katanya.
Amalan ini dikatakan sudah diterima sejak kira-kira 60 tahun lalu.

Keluarga miskin

Secara tradisinya, pengubahsuaian pergigian seperti tampalan gigi dan hiasan didapati hanya di kalangan kaum tertentu. Bagi masyarakat Cape Town yang moden, ia dilihat sebagai kelengkapan bagi remaja, paling berleluasa adalah di kalangan keluarga miskin. Sesetengah cerita mengatakan bahawa tradisi ini bermula daripada kalangan nelayan yang tidak dapat berkomunikasi sesama mereka di atas bot.

Jadi mereka mencipta 'jurang wisel' sebagai cara berkesan dalam komunikasi. Malah golongan lelaki merasakan ia juga satu tarikan kepada wanita dan sebaliknya. - Agensi

22 askar veteran AS bunuh diri setiap hari

Posted: 02 Feb 2013 02:17 PM PST

Washington: Seramai 22 askar veteran Amerika Syarikat membunuh diri setiap hari atau secara puratanya seorang setiap 65 minit dalam tempoh lebih satu dekad.

Angka tertinggi kes bunuh diri mencapai tahap tertinggi pada tahun lalu dengan 349 orang.

Lebih 69 peratus kes bunuh diri itu membabitkan bekas askar berusia 50 tahun ke atas.

Ia didedahkan kelmarin oleh Jabatan Hal Ehwal Askar Veteran (VA) yang membuat kajian kes bunuh diri daripada 1999 hingga 2010.

Kajian sebelum ini menganggarkan angka bunuh diri sebanyak 18 orang setiap hari.

Keadaan lebih serius

Perangkaan itu didapati selepas kajian menyeluruh dijalankan oleh kerajaan mengenai kes bunuh diri di kalangan askar veteran menunjukkan keadaan sebenarnya lebih serius.
"Data ini mendedahkan keadaan sebenar kadar kes bunuh diri askar veteran," kata Senator Patty Murray yang memperjuangkan penjagaan kesihatan lebih baik kepada golongan itu.

Berita itu disiarkan dua minggu selepas pemimpin tentera Amerika mengakui kadar bunuh diri mencapai angka tertinggi pada 2012 iaitu hampir seorang sehari, mengatasi kematian akibat perang.

Keadaan itu berlaku meskipun Pentagon dan VA mempertingkat usaha menanganinya.
Sementara itu, pergerakan Askar Veteran Amerika di Iraq dan Afghanistan yang mempunyai 200,000 anggota, berkata rakyat Amerika sepatutnya marah dengan kadar kematian mereka.

"Laporan bunuh diri VA adalah perkara terpenting untuk disiarkan sejak 2007. Pemimpin di Washington perlu mempercepat usaha menyekatnya perkara itu berlarutan," kata pengasas IAVA dan Ketua Pegawai Eksekutif, Paul Rieckhoff. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan