Kosmo Online - Dunia |
- Lima suspek perogol dihadap ke mahkamah
- Penggodam komputer bank ditangkap di Bangkok
- Penduduk pakai kostum pelik di Silio
Lima suspek perogol dihadap ke mahkamah Posted: Lima suspek perogol dihadap ke mahkamah
NEW DELHI - Lima lelaki yang dituduh merogol dan membunuh seorang pelajar perubatan berusia 23 tahun di dalam sebuah bas secara bergilir-gilir pada 16 Disember tahun lalu dihadapkan ke mahkamah majistret di selatan Delhi semalam. Semua mereka dituduh melakukan kesalahan itu ketika mangsa dalam perjalanan pulang selepas menonton filem di New Delhi bersama teman lelakinya. Mangsa yang merupakan pelajar bidang fisioterapi disahkan meninggal dunia pada 29 Disember lalu selepas mendapat rawatan di sebuah hospital di Singapura. Lima lelaki yang didakwa itu ialah pemandu bas tersebut, Ram Singh dan adiknya, Mukesh Singh. Penjaja buah-buahan, Pawan Gupta dan seorang pencuci bas, Akshay Singh serta pengajar kecergasan, Vinay Sharma turut didakwa melakukan perbuatan itu. Perbicaraan kelima-lima suspek yang berumur 19 hingga 35 tahun itu terpaksa diadakan secara tertutup ekoran orang ramai membuat bising. Majistret Namrita Aggarwal memutuskan supaya orang ramai dan media tidak dibenarkan masuk sepanjang perbicaraan berlangsung. Aggarwal berkata, pendengaran seterusnya akan diadakan pada 10 Januari ini. Seorang pegawai polis berkata, semua tertuduh memakai penutup muka ketika memasuki mahkamah. Menurut seorang pendakwa raya, Rajiv Mohan, seorang peguam akan membela mereka. Kebanyakan peguam dikatakan tidak sanggup untuk mewakili mereka kerana kekejaman yang dilakukan oleh para suspek itu. Jika sabit kesalahan, mereka akan dikenakan hukuman mati. Seorang lagi suspek berumur 17 tahun akan dibicarakan di sebuah mahkamah juvenil kerana usianya di bawah umur. - Agensi | ||
Penggodam komputer bank ditangkap di Bangkok Posted: Penggodam komputer bank ditangkap di BangkokHAMZA (tengah) dikawal dua anggota polis pada sidang akhbar yang diadakan di pejabat Biro Polis Imigresen di Bangkok semalam. BANGKOK - Seorang penggodam komputer warga Algeria yang diburu Biro Siasatan Persekutuan (FBI) kerana mencuri berjuta-juta dolar dari beberapa buah bank Amerika Syarikat (AS) untuk membiayai kehidupan mewahnya ditangkap di sini, kata polis Thailand semalam. Lelaki tersebut, Hamza Bendelladj kelihatan tenang walaupun mengetahui bahawa dia bakal diekstradisi ke AS. "Apabila ditanya apa yang dilakukan dengan wang tersebut, dia menjawab wang itu digunakan untuk melancong dan menjalani kehidupan mewah seperti menaiki penerbangan kelas pertama serta tinggal di kediaman mewah," kata Ketua Polis Imigresen, Phanu Kerdlabphol. Menurutnya, pihak FBI menjejaki graduan sains komputer itu selama tiga tahun selepas dia mula menggodam bank-bank AS ketika berusia 20 tahun. "Dia telah menggodam komputer beberapa buah bank AS dan pernah mencuri transaksi berjumlah AS$10 juta (RM30.4 juta) dari sebuah bank," tambah ketua polis tersebut. Pemuda itu ditahan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di sini kelmarin selepas dia tiba dari Malaysia untuk menyambung penerbangan ke Kaherah. - AFP | ||
Penduduk pakai kostum pelik di Silio Posted: Penduduk pakai kostum pelik di Silio
SILIO, Sepanyol - Beberapa orang lelaki memakai kostum pelik yang menyebabkan sebahagian mereka kelihatan seperti pokok pada Festival Vijanera di Silio, utara negara ini kelmarin. Terdapat juga penduduk yang memakai topeng muka, kulit haiwan dan pakaian yang berwarna cerah pada festival itu. Ia merupakan festival pertama diadakan di Eropah pada awal tahun ini. Festival tersebut berasal dari era empayar Rom. Muka penduduk yang menyertai festival itu diwarnakan hitam dengan kepercayaan ia akan dapat mengelak kedatangan roh jahat. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan