Selasa, 8 Januari 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Perkahwinan bersenjata

Posted: 07 Jan 2013 12:51 PM PST

Washington: Pasangan di Amerika Syarikat sering memilih untuk meraikan majlis perkahwinan mereka dengan melepaskan tembakan senjata api pilihan masing-masing.

Dalam senario yang pelik, mereka juga bergambar dengan senjata api pada hari istimewa itu dengan melangsungkan perkahwinan mereka di kedai senjata api, The Gun Store di Las Vegas.


'Perkahwinan bersenjata' masih terbukti popular walaupun kejadian pembunuhan beramai-ramai di Sekolah Rendak Sandy Hook bulan lalu mencetuskan perdebatan hangat mengenai dasar kawalan senjata api di Amerika Syarikat.

Penganjur The Gun Store nenegaskan, tidak ada majlis perkahwinan dibatalkan walaupun selepas tragedi itu.


Malah, tempahan masih banyak diterima. Pasangan tiba dari seluruh pelusuk dunia, termasuk Britain, untuk melangsungkan perkahwinan di kedai itu, lengkap dengan berpakaian pengantin, sebelum menembak senjata separuh automatik, termasuk pistol, UZI dan AK47.


Pakej berharga RM1,500 itu, termasuk khidmat paderi, akses kepada padang sasar VIP persendirian dan setiap lima das tembakan untuk pengantin lelaki dan perempuan.

Satu lagi pakej yang diberi nama Mr & Mrs Smith & Wesson, menawarkan lebih banyak pilihan senjata, peluru dan sasaran.


Emily Miller yang bertugas sebagai paderi di kedai itu berkata: "Kami berada di sini kerana orang sukakan satu sama lain dan senjata api.

"Senjata bukan semata-mata mengenai marah dan benci. Ia sesuatu yang menyeronokkan dan cara bertenaga untuk kikiskan emosi dan sikap agresif." Sejak Februari tahun lalu, 10 'perkahwinan bersenjata' dilangsungkan setiap bulan.


Sepasang pengantin datang dari Ottawa, Kanada tempat undang-undang senjata lebih ketat berbanding Nevada. Bilik gereja, yang biasanya digunakan untuk membersihkan senjata, ditaburkan dengan kelopak bunga ros.


Sepucuk senjata UZI dan Tommy digantung di atas pentas.


Ketika pasangan itu melafazkan ikrar perkahwinan mereka, bunyi kuat senjata boleh didengar dari lapang sasar berdekatan.


Mereka kemudian bergerak ke lapang sasar untuk mengikat ikrar mereka dengan menembak menggunakan senjata yang disediakan. - DAILY MAIL

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/08

Daging kering kuda laut, buaya dirampas

Posted: 07 Jan 2013 12:33 PM PST

Hong Kong: Pihak berkuasa kastam Hong Kong merampas sejumlah besar daging kering haiwan yang semakin pupus, kuda laut dan daging buaya yang diseludup ke bandar raya itu dalam satu kontena makanan eksotik bernilai lebih RM3 juta.

Sebanyak 579 kilo daging kering buaya dan 311 kilogram kuda laut kering ditemui tersembunyi dalam lori kontena yang ditanda 'tanduk rusa,' bersama-sama dengan sarang burung, ekor rusa kering dan cicak tokek. Pemandu berusia 52 tahun dari Hong Kong ditangkap selepas pegawai kastam memintas trak itu di Lok Ma Chau, berhampiran sempadan tanah Besar China, Sabtu lalu, menurut kenyataan Jabatan Kastam, semalam.


"Antara yang dirampas ialah daging buaya kering dan kuda laut, haiwan yang semakin pupus," kata kenyataan itu.

Kuda laut menjadi rebutan di kebanyakan negara di Asia kerana dipercayai boleh dijadikan ubat dan menguatkan seks. Menurut undang-undang Hong Kong, mereka yang didapati bersalah menyeludup kargo ke bandar raya itu boleh dikenakan hukuman penjara selama tujuh tahun dan denda maksimum RM774,000.


Sebagai tambahan, mereka yang didapati bersalah mengimport, mengeksport atau memiliki spesies yang semakin pupus untuk tujuan perdagangan berdepan dengan hukuman penjara dua tahun dan denda maksimum RM1.96 juta.


Rampasan terbaru itu dilakukan selepas kastam Hong Kong minggu lalu membuat rampasan ketiga terbesar gading gajah dalam masa tiga bulan. Nilai 779 gading yang seberat lebih setan itu ialah kira-kira RM4 juta. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/08

Tiada ulasan:

Catat Ulasan