Ahad, 13 Januari 2013

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


46 maut tanah runtuh di China

Posted:

46 maut tanah runtuh di China

46 maut tanah runtuh di China


PEKERJA penyelamat menggali timbunan lumpur selepas tanah runtuh melanda Kampung Gaopo di daerah Zhenxiong, dalam wilayah Yunnan kelmarin.


BEIJING - Usaha mencari tiga orang yang hilang dalam kejadian tanah runtuh di barat daya China berakhir semalam apabila mayat mereka dikeluarkan dari dalam lumpur dengan angka kematian keseluruhan bencana berkenaan kini 46 orang, kebanyakannya kanak-kanak.

Pihak berkuasa Wilayah Yunnan memberitahu, mayat tiga mangsa terakhir itu ditemui pagi semalam selepas 1,000 pekerja penyelamat melancarkan usaha mencari selama semalaman di Kampung Gaopo.

Agensi berita Xinhua melaporkan, mereka yang tertimbus dalam tanah runtuh tersebut termasuk 27 orang dewasa dan 19 kanak-kanak.

Menurut agensi berita tersebut, dua lagi mangsa dimasukkan ke hospital selepas bencana itu menimpa pagi kelmarin dengan menyebabkan 16 kediaman tertimbus,

Usaha mencari dan menyelamat segera dikerahkan dengan disertai sejumlah anggota tentera, polis, bomba dan pekerja penyelamat serta dibantu 20 jentera berat.

Seorang wanita, Li Yongkju berkata, dia mendengar bunyi dentuman tanah runtuh itu ketika membersihkan halaman rumahnya.

Yongkju, 50, memberitahu, dia dan beberapa penduduk kampung lain bergegas ke lokasi bencana itu dengan membawa penyodok dan cangkul.

"Kami mengeluarkan beberapa mangsa, seorang daripada mereka sukar bernafas. Dia mati tidak lama kemudian," dia dipetik sebagai berkata oleh Xinhua.

Seorang lagi penduduk kampung berkenaan, Zhou Benju menangis ketika menceritakan kejadian itu.

"Beberapa saudara-mara ibu bapa saya termasuk nenek, saudara lelaki, bapa saudara dan anggota keluarga ibu saudara saya terbunuh," katanya.

Satu klip video yang disiarkan di sebuah laman jaringan sosial China menunjukkan sekumpulan penduduk kampung menemui satu mayat ketika menggali lumpur dan serpihan. Mayat itu kemudian dibawa keluar menggunakan pengusung.

Menurut Xinhua, tanah runtuh itu berpunca daripada hujan dan salji tanpa henti selama 10 hari.

Menurut pihak berkuasa, tanah runtuh itu melitupi kawasan sepanjang 120 meter, dan selebar 110 meter.

Wilayah Yunnan yang bersempadan dengan Myanmar, Thailand, Laos dan Vietnam merupakan kawasan miskin dengan rumah-rumah dibuat menggunakan bahan murah.

Gaopo terletak di daerah Zhenxiong, timur laut Yunnan dengan kawasan pergunungannya cenderung dilanda tanah runtuh dan gempa bumi. - AFP

Struktur terbesar alam semesta ditemui

Posted:

Struktur terbesar alam semesta ditemui

Struktur terbesar alam semesta ditemui


KELOMPOK kuasar LQG yang merupakan struktur terbesar di cakerawala.


LONDON - Ahli-ahli astronomi menemui struktur terbesar di alam semesta yang terdiri daripada beberapa kuasar amat besar sehingga masa empat bilion tahun diperlukan untuk merentasinya pada kelajuan cahaya.

Penemuan yang dibuat oleh ahli-ahli akademik Universiti Lancashire Pusat, Britain itu disiarkan dalam jurnal Notices of the Royal Astronomical Society dan dilaporkan dalam laman web persatuan berkenaan kelmarin.

Kuasar merupakan objek paling terang dan bersinar di alam semesta dengan cahayanya terpancar dari pusat sejumlah galaksi sejak awal kewujudan cakerawala. Cahaya kuasar dapat dilihat dari jarak beberapa bilion tahun cahaya.

"Sejak tahun 1982 ahli-ahli sains mendapati kuasar cenderung terbentuk secara berkelompok sekali gus membentuk struktur besar yang terdiri daripada gugusan kuasar besar atau LQG," kata persatuan itu.

Menurutnya, gugusan kuasar yang baru ditemui itu memiliki dimensi 500 megaparsek dengan setiap megaparsek bersamaan jarak 3.3 juta tahun cahaya.

Berikutan LQG berbentuk memanjang, dimensi paling panjang gugusan kuasar itu berukuran 1,200 megaparsek atau empat bilion tahun cahaya.

Saiz tersebut adalah 1,600 kali ganda jarak dari Galaksi Bima Sakti ke galaksi paling hampir, Andromeda.

Bumi terkandung dalam Galaksi Bima Sakti. - Reuters

Pengguna komputer diminta tutup program Java

Posted:

Pengguna komputer diminta tutup program Java

Pengguna komputer diminta tutup program Java

WASHINGTON - Jabatan Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS) menasihati orang ramai agar menutup sementara perisian Java dalam komputer mereka bagi mengelakkan risiko serangan penggodam.

Saranan itu dibuat dalam satu pekeliling pada Khamis lalu susulan kebimbangan yang ditimbulkan oleh pakar-pakar keselamatan komputer.

Mereka percaya penggodam-penggodam telah menemui kelemahan dalam kod perisian Java yang boleh digunakan untuk melakukan aktiviti jenayah dan penipuan siber.

Java digunakan secara meluas sebagai bahasa teknikal yang membolehkan pengatur cara menulis pelbagai jenis aplikasi internet dan program perisian lain yang boleh digunakan dalam hampir semua sistem pengoperasian komputer.

Firma Oracle Corp memiliki Java apabila membeli syarikat yang menghasilkan perisian itu, Sun Microsystems pada harga AS$7.3 bilion pada 2010. - AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan