Sabtu, 26 Januari 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kereta, bayi dikebas pencuri

Posted:

Seorang bapa hanya mampu menjerit apabila pencuri melarikan keretanya bersama bayi baru berusia tujuh minggu, semalam.

Tom Moulsdale, 24, baru saja keluar dari kereta berkenaan untuk menghantar barang di rumah rakannya apabila seorang pencuri datang dan melarikan kenderaan berkenaan.


Sebaik saja pencuri terbabit memecut kereta Subaru Impreza itu, Moulsdale berlari dan menjerit sekuat hati kerana anaknya ada di dalam kenderaan itu. Kata Moulsdale, dia sempat membuka pintu penumpang kereta itu dan cuba menyelamatkan anaknya, Leo, tetapi penjenayah terbabit tidak mengendahkannya.

"Dia memecut kereta itu dan saya terseret seketika," katanya. Sebaik saja menerima aduan mengenai kecurian itu, polis melancarkan gerakan mengesan Leo serta kereta Moulsdale.


Kira-kira 15 minit kemudian, polis menemui kereta Moulsdale ditinggalkan di luar sebuah pub lima kilometer dari tempat kejadian.


Jurucakap polis berkata, mereka dihubungi seseorang yang memaklumkan mengenai kereta dan seorang bayi ditinggalkan berhampiran sebuah pub. "Leo diserahkan kepada Moulsdale dan pasangannya, Louise Waine, tidak lama kemudian," katanya. Sementara itu, Moulsdale berkata, kejadian itu pengalaman paling menakutkan pernah berlaku dalam hidupnya.

Louise, 24, berkata, dia tidak boleh bernafas dengan baik sebaik saja tunangnya, Moulsdale, memberitahu mengenai insiden itu. "Saya cuma mahukan Leo semula dan membayangkan bagaimana jika kami tidak lagi dapat melihatnya," katanya. Sejurus selepas diberitahu polis bahawa kereta dan Leo ditemui, Louise berkata, dia amat lega. "Saya juga bersyukur kerana sepanjang kejadian itu, Leo tidur dan tidak dicederakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Kereta, suami isteri terjunam ke sungai

Posted:

London: Seorang lelaki terbunuh, semalam ketika isterinya bertungkus-lumus menyelamatkan keadaan apabila kereta kedua-dua mereka terbabas dan terjunam dalam sungai berais, lapor media semalam.

David dan Ruth Cox memandu kereta masing-masing untuk menghantar anak mereka ke dua sekolah berbeza apabila keadaan jalan yang licin menyebabkan kenderaan itu gagal dikawal.


Saksi berkata, kedua-dua kereta itu terjunam hanya berselang beberapa minit. Ruth, 39, dan dua anaknya, Ioan, 9, serta Tess, 11, berjaya menyelamatkan diri dan berenang ke tebing, tetapi Cox tidak dapat berbuat apa-apa kerana pengsan di tempat memandu. Menurut saksi, Ioan berlari kira-kira satu setengah kilometer untuk mendapatkan bantuan.

"Orang ramai dan Ruth cuba menarik Cox keluar tetapi mereka hanya dapat membawanya ke tebing 40 minit kemudian," katanya. Saksi berkata, Cox, 42, diberikan bantuan pernafasan tetapi ia gagal menyelamatkan nyawa lelaki terbabit.


"Saya tak dapat bayangkan apa perasaan Ruth ketika ini, tetapi dia melakukan apa yang termampu untuk menyelamatkan suaminya," katanya. Sementara itu, beberapa pihak berkata, masalah talian telefon bimbit di kawasan itu menyebabkan pasukan penyelamat hanya tiba 30 minit selepas insiden berlaku.


Saksi berkata, mereka dapat melihat kedua-dua kereta keluarga itu - Toyota Aygo dan Toyota Rav4 - terbalik sepenuhnya dalam sungai berkenaan hampir satu kilometer dari rumah mereka di Blackwell Mill, Buxton. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Tiada ulasan:

Catat Ulasan