Ahad, 20 Januari 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


25 mayat warga asing ditemui

Posted: 20 Jan 2013 01:13 PM PST

Algiers: Pasukan keselamatan menemui mayat 25 warga asing semalam ketika mereka mengepung loji gas selepas bertempur dengan militan Islam, manakala saksi berkata sembilan tebusan Jepun dibunuh.

Memetik sumber keselamatan, Anis Rahmani, dari stesen televisyen persendirian, Ennahar, memberitahu tentera menemui mayat 25 tebusan ketika berusaha memastikan keselamatan loji gas In Amenas itu.

Semua tebusan Jepun terbunuh, kata seorang saksi Algeria dikenali sebagai Brahim sehari selepas pasukan khas melancarkan operasi di loji gas yang dikendalikan syarikat Britain, BP, Statoil dari Norway dan Sonatrach dari Algeria untuk menamatkan drama tebusan yang bermula Rabu lalu.

Unit khas Algeria sebelum itu menyerbu kompleks gas asli di padang pasir Sahara kelmarin dan berjaya menamatkan drama tebusan dengan pemberontak Islam yang menyebabkan sekurang-kurangnya 23 tebusan maut dan membunuh semula 32 militan yang terbabit, kata kerajaan.

Dengan sedikit butiran lanjut diperoleh daripada kawasan terpencil di timur Algeria, tidak dapat dipastikan jika ada yang diselamatkan dalam operasi akhir itu tetapi bilangan tebusan yang terbunuh kelmarin, tujuh adalah seramai yang dikatakan militan berada dalam tawanan mereka. Kerajaan menyifatkan angka itu cuma sementara dan beberapa warga asing tidak diambil kira.

Drama tebusan di loji Ain Amenas itu mengejutkan dunia selepas radikal Islam yang dikaitkan dengan al-Qaeda menyerbu kompleks itu, yang dihuni beratus-ratus pekerja loji dari seluruh dunia, kemudian menjadikan mereka tebusan.

Kerajaan berusaha mengesan warga yang hilang ketika butiran mengenai serangan itu muncul selepas pemberontak Islam daripada kumpulan Signatories in Blood menyerbu loji itu Rabu lalu, menuntut ditamatkan campur tangan tentera Perancis di Mali.
Perdana Menteri Britain, David Cameron, berkata dalam kenyataan kini jelas kejadian keganasan di Algeria sudah berakhir.

Malangnya, kita mengetahui tiga warga Britain terbunuh dan tiga lagi juga dipercayai sudah mati. Seorang penduduk Britain juga dipercayai mati, katanya.

Firma kejuruteraan Jepun, JGC Corp, berkata 10 daripada rakyat Jepun dan tujuh daripada pekerja asingnya masih hilang, sebelum laporan menyatakan tebusan Jepun dibunuh.

Sementara Kuala Lumpur berkata, JGC memberitahu seorang daripada dua rakyat Malaysia dipercayai terbunuh manakala nasib seorang lagi tidak diketahui.

Statoil, yang turut mengendalikan stesen itu berkata, keadaan masih belum selesai bagi lima pekerja syarikat itu.

Kami akan dan mesti berharap untuk berita positif dari Algeria. Bagaimanapun, kita mesti bersedia berdepan dengan berita buruk dalam masa beberapa hari lagi, kata Pegawai Eksekutif Statoil, Helge Lund.

AP/AGENSI

Rahul Gandhi janji bawa perubahan

Posted: 20 Jan 2013 01:12 PM PST

Jaipur: Waris dinasti politik India, Rahul Gandhi, berkata beliau akan berusaha mengubah negara itu selepas dinaikkan jawatan sebagai pemimpin nombor dua Parti Kongres.

Ahli perundangan berusia 42 tahun itu, dilantik menjadi timbalan presiden parti, kedudukan di belakang ibunya, Sonia, yang menyandang jawatan presiden, kata jurucakap Kongres Janardhan Dwivedy.

Jawatan itu membolehkan beliau memimpin parti yang dikuasai keluarganya sejak sekian lama, pada pilihan Parlimen tahun depan. Gandhi dijangka menjadi calon parti itu untuk jawatan Perdana Menteri dalam pilihan raya yang dijangka diadakan awal 2014.

Keputusan itu akan mengukuhkan parti, kata Dwivedi dalam kenyataan selepas bertemu badan pembuat dasar utama parti di Jaipur.

Gandhi, dalam ucapannya berkata beliau memperoleh pengalaman hebat sejak lapan tahun lalu ketika bekerja untuk parti berkenaan, lapor agensi berita Press Trust of India.

Saya melihat ia sebagai pertubuhan hebat dan bersama-sama kami akan mengubah negara, agensi berita itu memetik beliau sebagai memberitahu penyokongnya.

Ahli teknokrat, Manmohan Singh, terpilih mengisi kerusi Perdana Menteri pada tahun 2004 oleh Sonia.
Singh dilihat bertindak menyimpan kerusi itu sehingga Gandhi, anak, cucu dan cicit Perdana Menteri India, bersedia mengambil alih apa yang dilihat sebagai hak kelahirannya.

Namun, Gandhi tidak menunjukkan banyak tanda beliau sedang menjalani latihan untuk mentadbir negara. Beliau tidak pernah menyandang jawatan dalam Kabinet.

Pekerja parti sudah mendesak kenaikan pangkat Gandhi sejak bertahun-tahun lalu tetapi beliau tidak pernah menyandang sebarang kedudukan tinggi dalam parti.

Penyokongnya berkata beliau membina semula parti pada peringkat akar umbi dan mengambil alih kepemimpinan kempen Kongres dalam pilihan raya di Uttar Pradesh dan di Bihar. Parti itu menunjukkan kelemahan ketara dalam kedua-dua pilihan raya negeri itu tahun lalu.
AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan