Rabu, 21 November 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Drebar teksi pulangkan RM2.7j

Posted: 20 Nov 2012 10:36 AM PST

SINGAPURA: Seorang pemandu teksi warga tempatan diumumkan sebagai wira selepas dia memulangkan wang tunai Sg$1.1 juta (RM2.74 juta) kepada pasangan pelancong Thai yang tertinggal wang itu dalam teksinya.

Sia Ka Tian, 70, terkejut apabila menemui wang dalam beg kertas hitam di tempat duduk penumpang belakang semalam selepas dia menurunkan pasangan itu di sebuah pusat beli-belah.


"Bila saya lihat wang itu, saya menyangka berdepan masalah. Saya pasti sekurang-kurangnya ada $200,000 (RM499,749) dalam beg itu," kata pemandu teksi veteran yang sudah memandu teksi selama 31 tahun sepertimana dipetik daripada Straits Times.

Namun, bila dia membawa wang itu ke pejabat syarikat pengangkutan ComfortDelGro, rakannya yang menghitung wang itu terkejut mendapati ada RM2.74 juta dalam bentuk not kertas 1,000.


"Wang itu tidak penting buat saya. Ia bukan milik saya, jadi, bagaimana saya boleh gunakannya?," katanya kepada akhbar berkenaan.


Sia menerima ganjaran wang tunai yang tidak didedahkan jumlahnya daripada pasangan terbabit dan syarikat pengangkutan itu juga bercadang memberinya ganjaran atas kejujurannya. - ST

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


Remaja seksa, bunuh kekasih dijel seumur hidup

Posted: 20 Nov 2012 10:34 AM PST

LONDON: Seorang remaja yang menyeksa dan membunuh teman wanitanya dalam satu serangan ganas, dihukum penjara seumur hidup, semalam.

Penuntut kolej, Hannah Windsor, 17, diikat pada pokok, diserang secara seksual, dicekik dan dicederakan dengan sebilah pisau oleh Adam Lewis, 18.


Lewis dari Wirral, Merseyside sebelum ini menafikan tuduhan membunuh Hannah tetapi menukar pengakuan sejurus sebelum perbicaraan bermula di Liverpool. Dia juga mengaku salah atas dua tuduhan serangan seksual ke atas mangsa. Ketika membacakan hukuman penjara seumur hidup, hakim berkata, hanya Lewis yang tahu apa berlaku ke atas Hannah. "Bagaimanapun, jelas kamu sengaja melakukan kecederaan ke atas mangsa sehingga menyebabkan dia mengalami kesakitan amat sangat," katanya. Lewis mengalami kesukaran belajar dan tahap IQ rendah tidak menunjukkan sebarang emosi ketika hakim memberitahunya bahawa laporan patologi mengenai kematian Hannah "menggerunkan." Mayat Hannah dalam keadaan separuh bogel ditemui tersorok di bawah daun, ranting dan kotoran di Bidston Hill, Wirral, pada 19 Mei lalu.

Hannah tinggal di sebuah asrama untuk remaja gelandangan ketika serangan ke atasnya berlaku. Pendakwa, Neil Flewitt, berkata kecederaan dialami Hannah "amat menakutkan." Menurut Flewitt, mangsa diikat pada pokok, diserang secara seksual dan ditikam berkali-kali di dada, perut dan belakang.


"Mulutnya pula ditutup dengan pita pembedahan dan dia dicekik dengan gabungan tangan serta tali," katanya. Siasatan juga mendapati, ada beberapa kecederaan parah pada kemaluan mangsa.


Sementara itu, media melaporkan, Hannah dan Lewis menghidap masalah dikenali sebagai ADHD (Attention Deficit Hyperactivity Disorder) yang menyebabkan kemampuan pembelajaran mereka terganggu.

Mereka bertemu ketika sama-sama belajar di sekolah khas di Wirral. Bercakap di luar mahkamah, ibu Hannah, Gaynor Murray, berkata semalam adalah "hari terbaik dalam hidupnya" selepas hakim membuat keputusan. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


Tiada ulasan:

Catat Ulasan