Berita Harian: Dunia |
Posted: 25 Nov 2012 01:33 PM PST Dhaka: Sekurang-kurangnya 112 terbunuh semalam dalam kebakaran yang berlaku di kilang kain di luar ibu negara Bangladesh. Kebakaran itu membabitkan sebuah bangunan kilang tujuh tingkat dikendalikan Tazreen Fashions, lewat kelmarin.
Beliau berkata, 12 lagi yang cedera selepas melompat daripada bangunan itu untuk menyelamatkan diri, meninggal dunia di hospital. Angka kematian mungkin meningkat kerana usaha mencari mangsa diteruskan, katanya. Media tempatan melaporkan 124 menemui ajal dan punca kebakaran belum diketahui. Mahbub berkata, anggota tentera dan pengawal sempadan dikerah membantu polis mengawal keadaan ketika beribu-ribu anggota keluarga mangsa berkumpul di tempat kejadian.
Pengarah Urusan kilang itu, Delowar Hossain, berkata 300 pekerja berada dalam bangunan ketika kejadian. Ramai pekerja yang lari ke bumbung dapat diselamatkan tetapi anggota bomba tidak dapat masuk ke dalam bangunan untuk menyelamatkan mereka yang terperangkap. Mahbub berkata, kebakaran bermula di tingkat bawah membabitkan kawasan simpanan sebelum menjalar dengan pantas ke tingkat atas. AP/Agensi
|
Posted: 25 Nov 2012 01:32 PM PST Kaherah: Hamas akan terus mengumpul senjata kerana rundingan saja tidak akan menyebabkan Israel bertolak ansur, kata pemimpin nombor dua pergerakan itu. Moussa Abu Marzouk memberi pandangan itu tiga hari selepas pertempuran terburuk Israel-Hamas dalam masa empat tahun dan memberi petunjuk masalah yang menanti rundingan kedua-dua pihak bermusuhan itu mengenai perjanjian sempadan baru.
Pegawai keselamatan Israel berkata minggu ini negaranya berkemungkinan mengaitkan kelonggaran ketara sekatan dengan kesediaan Hamas berhenti menyeludup senjata ke Gaza dan menghasilkannya di sana. Abu Marzouk berkata, kumpulan itu tidak akan meletak senjata sambil menegaskan sejarah menunjukkan rundingan dengan Israel tidak membawa sebarang makna kecuali disokong dengan kekuatan senjata. Kami tidak mungkin meletak senjata. Ia melindungi kami dan tiada cara untuk berhenti memiliki dan menghasilkannya, kata Abu Marzouk di pejabatnya di luar Kaherah. Piagam Hamas menggesa Israel dimusnahkan tetapi pemimpin kumpulan itu berkata mereka sedia melakukan gencatan senjata jangka panjang dengan negara Yahudi itu. Pergerakan itu juga dipercayai memiliki beribu-ribu roket sejak serangan terakhir Israel di Gaza empat tahun lalu. Hamas menyeludup senjata menerusi terowong di bawah sempadan dengan Mesir, tetapi juga mendakwa mampu mengeluarkan roket jarak jauh. Dalam pertempuran terbaru, Hamas menggunakan roket Fajr-5 buatan Iran yang tiba hampir sampai di pusat tumpuan Israel, termasuk Tel Aviv dan Baitulmaqdis buat kali pertama. Pesawat tempur Israel membedil kawasan terowong ketika serangan untuk mengganggu usaha penyeludupan dan pengendali terowong melaporkan kerosakan serius. Tetapi, berdasarkan apa yang berlaku pada masa lalu, ia berjaya dipulihkan segera. Hamas biasanya mengelak daripada mengakui mendapat sokongan senjata Iran tetapi sejak kebelakangan ini pegawai kanan dalam kumpulan itu berterima kasih secara terbuka kepada Tehran. Tokoh kanan Gaza, Mahmoud Zahar, memberitahu wartawan kelmarin, beliau yakin Iran akan menambah sokongan tentera dan kewangan kepada Hamas dan Jihad Islam. Iran dan seteru serantaunya, negara berfahaman Sunnah di Teluk, bersaing untuk menarik Hamas memihak kepada mereka. Pemimpin tertinggi Hamas dalam buangan, Khaled Meshaal, berada di Qatar, yang menjanjikan bantuan beratus juta dolar untuk membina semula Gaza.
|
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan