Jumaat, 5 Oktober 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


2kg rambut, kapur dalam perut

Posted: 04 Oct 2012 09:49 AM PDT

NEW DELHI: Apabila seorang remaja mengadu tidak boleh makan atau minum selama beberapa hari, sekumpulan doktor memutuskan untuk mencari puncanya.

Tidak seperti dijangka, apa yang mereka temui sangat luar biasa.

Di dalam perut remaja perempuan itu ialah gumpalan rambut seberat hampir dua kilogram yang tersangkut di antara perut dan usus kecilnya.

Pakar perubatan India mendapati, remaja berusia 19 tahun itu mempunyai tabiat suka memakan rambut sendiri, selain kapur tulis jika dia berada di sekolah.


Gabungan 'makanan' aneh itu kemudian berkumpul dalam tubuh remaja terbabit sebelum lama-kelamaan menjadi besar.


Sepasukan pakar bedah dimaklumkan mengenai penemuan itu selepas remaja terbabit - dari Rajgarh dan Madhya Pradesh - berkunjung ke Hospital the Maharaja Yeshwantrao di Indore bulan lalu.

Diketuai Dr Parvinder Singh Lubana, mereka akhirnya berjaya mengeluarkan gumpalan rambut yang 'membungkus' kapur berkenaan.

Seorang daripada pakar bedah itu, Dr Amit Agarwal, berkata saluran usus remaja terbabit tersumbat menyebabkan dia tidak boleh mengambil makanan atau minuman selama beberapa hari.

Bagaimanapun, gumpalan rambut itu bukanlah yang terbesar pernah dikeluarkan dari tubuh seseorang dalam tempoh beberapa tahun lalu.

Pada November 2007, doktor di Amerika Syarikat (AS) menemui gumpalan rambut seberat hampir lima kilogram dalam perut seorang remaja perempuan.

Berusia 18 tahun ketika itu, remaja terbabit mendapatkan bantuan doktor selepas mengalami kesakitan dan bengkak perut selama lima bulan.

Imbasan menunjukkan ada gumpalan besar di bahagian perut remaja terbabit.

Lima hari selepas dikeluarkan, pesakit kembali makan secara normal dan dibenarkan pulang. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/05


Guna jengkaut rempuh bank, larikan ATM

Posted: 04 Oct 2012 09:46 AM PDT

LONDON: Sekumpulan perompak merempuh dinding sebuah bank menggunakan jengkaut curi, menyebabkan lubang sebesar kira-kira empat meter, sebelum mereka melarikan mesin teler automatik (ATM) di situ, semalam.

Polis kini memburu empat lelaki bertopeng kerana merempuh Bank Barclays cawangan Long Sutton di Lincolnshire.


Jurucakap polis berkata, perompak terbabit menggunakan jengkaut yang dicuri dari sebuah ladang di Gedney sebelum mengangkut ATM menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Walaupun sepatutnya insiden itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV), tiada bukti dapat digunakan polis pada alat berkenaan kerana ia tidak dihidupkan ketika itu. Ahli Majlis Tempatan, John Clarey, berkata dia amat terkejut insiden itu boleh berlaku di tengah bandar ketika dua CCTV terarah ke dinding bank berkenaan. "Apa guna membayar wang yang banyak untuk kamera CCTV jika tiada apa dapat dirakam?" katanya. Awal tahun ini, pihak berkuasa tempatan Clare Clarey menggantung pembiayaan skim kamera rasmi bagi membolehkan siasatan dibuat memastikan ia benar-benar berfungsi. Siasatan dibuat selepas sekumpulan pencuri melarikan hampir 700,000 (RM3.5 juta) dari mesin tunai pasar raya di seluruh Britain menggunakan mesin gergaji.


Mereka bagaimanapun didapati bersalah dan dipenjara bulan lalu. Sepanjang 14 bulan, mereka mencuri 33 pasar raya dan kediaman. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/05


Tiada ulasan:

Catat Ulasan