Khamis, 4 Oktober 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Remaja curi 60 kereta

Posted: 03 Oct 2012 09:36 AM PDT

LEICESTER: Seorang remaja berhasrat untuk 'membersihkan dosanya' selepas mendakwa merompak 278 rumah dan mencuri 60 kereta sejak berusia 12 tahun.

Adam Crampton, 19, mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan merompak di Mahkamah Majisteret Leicester baru-baru ini tetapi meminta 278 kes rompak lagi dan 60 kes curi kereta yang dilakukannya diberi pertimbangan apabila hukuman ke atasnya diumumkan hujung bulan ini.

Crampton yang tidak mempunyai alamat tetap, mendedahkan sepenuhnya sejarah jenayahnya ketika disoalsiasat oleh polis di sebuah institusi pesalah muda awal tahun ini.

Malah, dia juga membawa polis mengelilingi bandar Leicester empat kali untuk menunjukkan rumah yang pernah dirompaknya.


Inspektor Andy Parkes berkata: "Mangsa ingin tahu bahawa ada orang yang ditangkap dan dipertanggungjawabkan terhadap jenayah yang dilakukan terhadap mereka. Crampton terlalu muda apabila dia mula melakukan jenayah.


"Satu daripada matlamat sistem keadilan jenayah ialah membantu pesalah mengubah hidup mereka dan diharapkan ini satu proses permulaaan untuk Crampton.

Peguam Crampton, Steve Morris berkata: "Dia secara sukarela memberi maklumat untuk menyelesaikan kes rompakan yang dilakukannya dan mahu ia berakhir secepat mungkin."

Sylvia Hammond, antara mangsa terawal Crampton berkata, dia lega setelah mengetahui identiti orang yang merompaknya.

Crampton mencuri komputer riba, telefon dan kamera digital dari kediamanSylvia pada Julai 2007. - The Mirror.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/04


Kuasa polis agama Saudi dihadkan

Posted: 03 Oct 2012 09:34 AM PDT

RIYADH: Pihak berkuasa Arab Saudi akan mengehadkan kuasa pasukan polis agama.

Pasukan itu selama ini bertanggungjawab memastikan peraturan berkait dengan moral ajaran Islam dipatuhi di negara itu tetapi sering dituduh melanggar kuasa yang ada pada mereka. "Sistem baru itu akan mewujudkan mekanisme untuk tugas anggota pasukan. Beberapa tugas khusus mereka seperti penangkapan dan soal siasat akan diserahkan kepada badan lain," lapor akhbar al-Hayat yang memetik kenyataan ketua pasukan itu, Sheikh Abdullatiff Abdel Aziz Al Sheikh.


Anggota pasukan itu yang dikenali sebagai Suruhanjaya Amal Makruf Nahi Mungkar juga akan dilarang melakukan operasi tanpa mendapat kebenaran gabenor, kata Abdullatiff.

Sementara itu, akhbar Okaz melaporkan, anggota pasukan berkenaan akan dilarang berdiri di pintu masuk pusat beli-belah untuk menyekat kemasukan orang tertentu.


Ia merujuk kepada cubaan anggota terbabit untuk menghalang wanita berpakaian yang bertentangan dengan kod pakaian Islam atau pasangan yang tidak berkahwin daripada memasuki pusat beli belah itu.


Abdullatiff yang berfahaman sederhana dilantik mengetuai pasukan itu pada Januari lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/04


Tiada ulasan:

Catat Ulasan