Isnin, 15 Oktober 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Shazia ikrar tentang Taliban

Posted: 14 Oct 2012 01:22 PM PDT

RAWALPINDI: Sahabat karib remaja perempuan Pakistan berusia 14 tahun yang ditembak di kepala oleh Taliban minggu lalu berikrar untuk menentang kumpulan pelampau itu dan kembali ke sekolah bersama mangsa.

Shazia Rahman, 14, melihat dengan ketakutan ketika rakan sekelasnya, Malala Yousafzai ditembak di sampingnya dalam bas sekolah, sebelum lelaki bersenjata itu berpaling dan menembak dirinya.


Bercakap kepada The Mail on Sunday secara eksklusif, Shazia yang ditembak di bahu berkata: Malala akan sembuh dan kami akan kembali ke sekolah dan belajar bersama semula."

Ketika Shazia duduk di katil hospital, Malala semalam masih dalam keadaan kritikal di hospital di Rawalpindi selepas ditembak lelaki bersenjata Taliban ketika dia pulang menaiki bas sekolah di daerah Mingora di Lembah Swat yang bergolak Selasa lalu.


Malala yang menentang Taliban sejak berusia 11 tahun dan menulis blog untuk pertandingan pendidikan kanak-kanak perempuan Perbadanan Penyiaran Inggeris (BBC) disasarkan kumpulan pelampau itu yang percaya budak perempuan patut duduk di rumah dan dilarang daripada ke sekolah.


Ketika di hospital di Peshawar, Shazai berkata, Malala memberitahu rakan sekelas dia mungkin menjadi sasaran tetapi enggan bersembunyi daripada Taliban.

Malala memberitahu kami dia diancam oleh kumpulan pelampau itu. Malala berkata: "Dia bercakap terlalu banyak mengenai mujahideen (Taliban) dan mereka mungkin akan berbuat sesuatu kepadanya." Menjelaskan serangan Selasa lalu, Shazia berkata: Ia hari persekolahan biasa. Kami pulang selepas peperiksaan penggal kedua. Bas mengambil perjalanan yang biasa dilalui.


"Kemudian secara tiba-tiba bas berhenti dan dua lelaki bersemuka dengan kami. Mereka bertanya, "Mana satu daripada anda adalah Malala?" Beberapa pelajar perempuan mula menjawab dan seorang daripada lelaki berkenaan melepaskan tembakan. Semua pelajar mula menangis dan menjerit. Malala ditembak di kepala dan dia jatuh ke lantai bas tidak sedarkan diri. Terdapat darah di mana-mana. Saya benar-benar terkejut. "Kemudian lelaki yang memegang senjata itu menembak ke arah saya dan seorang lagi pelajar sebelum melarikan diri. Kami semua begitu trauma dan terkejut. Semuanya berlaku dengan pantas.

"Pemandu bas mengejarkan kami ke hospital. Ia memang kelam-kabut kerana semua pelajar menjerit dan menangis. Malala terbaring di lantai bas di depan saya," katanya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/15


Bintang Red Devil disyaki memandu ketika mabuk

Posted: 14 Oct 2012 01:12 PM PDT

LONDON: Bintang Manchester United, Ryan Tunnicliffe ditahan semalam selepas kenderaan mewahnya bernilai 60,000 pound (RM300,000) terbabit nahas dalam tempoh beberapa jam selepas mendapatkan kuncinya.

Pemain bek tengah berusia 19 tahun itu menjalani ujian nafas selepas kejadian tengah hari itu dan ditahan kerana disyaki memandu ketika mabuk.


Menurut saksi, dia hilang kawalan ketika memandu kenderaan mewah Range Rover hitam apabila memandunya mengelilingi estet perindustrian.

Dia didakwa merempuh sebuah van menyebabkan ia tercampak sembilan meter ke tembok. Seorang saksi berkata, bintang Red Devil itu "kelihatan pucat seperti hantu" ketika polis bergegas ke tempat kejadian di Heywood, Manchester.


Nahas pada jam 2.15 petang itu berlaku beberapa minggu selepas Tunnicliffe muncul dalam perlawanan pertama Manchester United menentang Newcastle yang membantu bapanya Mick, memenangi pertaruhan RM50,000. Seorang saksi berkata: "Dia tergelincir di jalan raya yang basah." - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/15


Tiada ulasan:

Catat Ulasan