Ahad, 23 September 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


17 terbunuh di Pakistan dalam protes ganas

Posted:

17 terbunuh di Pakistan dalam protes ganas

SEORANG penunjuk perasaan menghayunkan sebatang kayu berhampiran sebuah kenderaan polis yang terbakar dalam satu protes membantah filem anti-Islam di Karachi, Pakistan kelmarin.


ISLAMABAD - Sekurang-kurangnya 17 maut dan 229 yang lain cedera dalam satu demonstrasi ganas di Pakistan pada Jumaat ketika protes dilihat terus tercetus di negara-negara Islam bagi membantah filem Innocence of Muslims serta karikatur terbitan majalah Charlie Hebdo di Perancis yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Seramai 12 orang maut di Karachi dan lima di Peshawar. Di Karachi, seorang anggota polis maut kerana ditembak ketika pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata kepada penunjuk perasaan supaya bersurai.

Setakat ini, seramai 19 orang mati di Pakistan dalam protes yang berlanjutan lebih seminggu. Sementara di Libya, protes ganas membunuh empat orang warga Amerika Syarikat termasuk dutanya, Chris Stevens.

Para penunjuk perasaan dikatakan tidak mengendahkan arahan pihak berkuasa supaya mengadakan demonstrasi aman pada hari yang diisytiharkan sebagai hari cuti kebangsaan bagi menghormati Nabi Muhammad SAW.

SEKUMPULAN sukarelawan dan seorang pegawai polis membantu membawa seorang penunjuk perasaan yang cedera parah ke hospital di Karachi, Pakistan kelmarin.


Saksi-saksi memberitahu, dianggarkan seramai 45,000 orang mengadakan tunjuk perasaan di seluruh Pakistan. Pihak polis bertindak balas dengan melepaskan tembakan dan gas pemedih mata ketika penunjuk perasaan membakar dan mencuri di pawagam, bank, kedai serta restoran-restoran di Karachi.

Penunjuk perasaan membaling batu serta menjerit "Orang Amerika ialah anjing" dan "Kawan Amerika ialah pengkhianat".

Washington memberi amaran kepada rakyatnya supaya tidak pergi ke Pakistan, selain membelanjakan AS$70,000 (RM213,430) untuk menyiarkan amaran tersebut di televisyen. - AFP

Pesawat Ann Romney mendarat cemas

Posted:

Pesawat Ann Romney mendarat cemas

ANN Romney berucap pada satu majlis mengumpul dana di Dallas Texas, sambil diperhatikan oleh Romney.


WASHINGTON - Sebuah pesawat yang membawa isteri calon presiden Amerika Syarikat (AS) dari Parti Republikan, Mitt Romney terpaksa membuat pendaratan cemas selepas kabinnya dipenuhi asap.

Bagaimanapun, tiada yang cedera apabila pesawat tersebut berjaya mendarat di Colorado. Ann Romney dikatakan menelefon suaminya selepas beliau dapat mendarat dengan selamat.

Ann kemudian terbang ke California dengan sebuah jet lain. Romney yang ketika itu berkempen di Nevada terbang ke San Francisco pada lewat Jumaat.

Jurucakap Romney, Andrea Saul menghantar sekeping gambar ke akaun Twitter yang menunjukkan sepasukan bomba bergegas menaiki pesawat menggunakan tangga.

"Punca pendaratan cemas dikatakan kerana kebakaran elektrikal," tweet Saul. Ini merupakan insiden kedua melibatkan pesawat Romney dalam tempoh satu minggu di Colorado. - AFP

Lelaki parah diserang harimau di Zoo Bronx

Posted:

Lelaki parah diserang harimau di Zoo Bronx

PONDOK menjual tiket kelihatan kosong berikutan pintu masuk Zoo Bronx ditutup selepas seorang lelaki cedera parah diserang harimau.


NEW YORK - Seorang lelaki yang melompat dari sebuah monorel dan masuk ke dalam kawasan harimau di Zoo Bronx di sini cedera parah apabila diserang oleh haiwan buas tersebut.

Menurut jurucakap Jabatan Polis New York, Leftenan Don Grimpel, lelaki berusia 25 tahun itu diserang selama hampir sepuluh minit oleh seekor harimau jantan berumur 12 tahun.

"Bahu dan kakinya patah. Kakinya juga berlubang kerana digigit," kata Grimpel. Mangsa yang berada dalam keadaan kritikal dibawa ke Pusat Perubatan Jacobi.

Pengarah Zoo Bronx, Jim Breheny memberitahu kakitangannya menggunakan pemadam api untuk menghalau harimau itu.

"Jika bukan kerana tindakan pantas dan kemampuan kakitangan bertindak dalam situasi kecemasan, insiden ini mungkin berakhir dengan kematian" tambah Breheny. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan