Sabtu, 15 September 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Rusuhan terburuk bantah hina Rasulullah di Mesir

Posted:

Rusuhan terburuk bantah hina Rasulullah di Mesir

SEKUMPULAN peguam Kashmir melaungkan slogan kecaman semasa mengadakan demonstrasi terhadap filem anti-Islam, Innocence of Muslims di bandar Srinagar semalam.


KAHERAH - Sejumlah 300 penunjuk perasaan bertempur dengan polis dekat Kedutaan Amerika Syatrikat (AS) di sini semalam kerana marahkan sebuah filem yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Media tempatan melaporkan seramai 224 orang cedera sejak keganasan tercetus di ibu negara Mesir itu di sini sejak Rabu lalu kerana membantah filem biadab itu.

Satu tunjuk perasaan besar-besaran kemudian diadakan di seluruh Mesir semalam. Protes tersebut dianjurkan oleh pergerakan Islam terbesar di negara itu, Ikhwanul Muslimin.

Kira-kira 5,000 penunjuk perasaan di bandar Khartoum, Sudan menyerbu Kedutaan Britan dan Jerman ekoran filem tersebut.

Kedua-dua kedutaan itu dibakar dan mengalami kerosakan, kata seorang wartawan agensi berita AFP.

Para penunjuk perasaan turut bertempur dengan polis di Yemen menyebabkan seorang meninggal dunia manakala 15 lagi cedera apabila perkarangan Kedutaan AS di negara berkenaan diserbu kelmarin.

Filem anti-Islam, Innocence of Muslims dipersalahkan berhubung serangan ke atas konsulat AS di bandar Benghazi, timur Libya yang meragut nyawa Duta AS, Chris Stevens dan tiga warganegara kuasa besar itu pada Selasa lalu.

Di Nigeria, polis negara itu diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga manakala tahap keselamatan di sekitar kedutaan asing turut dipertingkatkan.

Tindakan tersebut dilakukan selepas kumpulan Islam Boko Haram membunuh beratus-ratus orang dalam penentangan yang tercetus di Nigeria pada tahun ini.

Bantahan turut diadakan di wilayah Palestin dengan beribu-ribu orang berkumpul di Genting Gaza manakala ratusan yang lain berhimpun di Baitulmuqaddis.

Kumpulan penunjuk perasaan berkenaan bertempur dengan polis Israel di Baitulmuqaddis.

Di Gaza, penunjuk perasan mengibarkan bendera Hamas dan pergerakan Jihad Islam serta membakar beberapa bendera AS sambil melaungkan slogan meminta as dan Israel dihapuskan.

Di Pakistan, beratus-ratus orang menunjuk perasaan di beberapa bandar raya utama di negara berkenaan untuk mengutuk filem Innocence of Muslims dengan sebahagian mereka mahukan penerbit filem tersebut dibunuh.

Sebahagian lagi penunjuk perasaan menuntut supaya diplomat-diplomat AS di Pakistan diusir.

Di bandar Lahore, timur Pakistan, ketua pertubuhan amal Jamaat-ud-Dawa, Hafiz Saeed mengetuai protes yang disertai oleh 500 orang bagi membantah filem tersebut.

AS sebelum ini menawarkan ganjaran AS$10 juta (RM31.1 juta) ke atas Hafiz.

Dia menggesa pemerintah Pakistan supaya memanggil Duta AS bagi membantah filem anti-Islam itu.

"Kami mengutuk konspirasi menerbitkan filem anti-Islam ini. Tindakan keji ini merupakan konspirasi antarabangsa dari AS dan kami tidak akan menerimanya," kata Hafiz dalam protes tersebut.

Selain Pakistan, bantahan turut merebak ke seluruh Asia Barat termasuk Bangladesh, Indonesia, Malaysia, Kashmir, Iraq, Israel, Kuwait, Sudan dan Tunisia. - Agensi

Gambar separuh bogel isteri Putera William tersebar

Posted:

Gambar separuh bogel isteri Putera William tersebar


PUTERA WILLIAM dan isterinya semasa mereka berada di Istana Presiden di Singapura pada 11 September lalu.


LONDON - Pewaris kedua takhta diraja Britain, Putera William dan isterinya Kate Middleton berang semalam selepas sebuah majalah Perancis menyiarkan gambar separuh bogel wanita berkenaan.

Perbuatan tersebut membangkitkan kembali insiden gangguan yang dilakukan oleh pihak media terhadap ibu William, mendiang Puteri Diana.

Middleton memakai gelaran Duchess of Cambridge selepas berkahwin dengan William.

Beberapa pegawai Istana St James di sini berkata, pasangan diraja berkenaan yang kini berada di Malaysia sedang berunding dengan beberapa peguam berhubung tindakan majalah Closer versi Perancis itu.

Mereka menyifatkan perbuatan majalah itu sebagai pencerobohan privasi yang melampau.

Gambar eksklusif itu menunjukkan Catherine, 30, memakai seluar dalam manakala William menyapu krim matahari pada belakang badannya ketika isterinya sedang berbaring.

"Pasangan diraja berkenaan amat sedih dan marah kerana satu penerbitan Perancis dan seorang jurugambar menceroboh privasi mereka secara melampau dan tanpa sebarang justifikasi," kata kenyataan Istana St James.

"Insiden itu mengimbau kembali perbuatan melampau media cetak dan jurugambar paparazi semasa Diana masih hidup," tambah kenyataan tersebut.

Foto separuh bogel Middleton itu yang dirakamkan dari jauh disiarkan oleh majalah berkenaan semalam.

Penerbitan tersebut mendakwa gambar itu dirakamkan di atas sebuah rumah rehat di selatan Perancis semasa Middleton dan William bercuti pada bulan ini.

Penyiaran gambar kontroversi itu merupakan cabaran getir pertama yang dicetuskan oleh media cetak terhadap pasangan diraja itu selepas Diana mati dalam satu kemalangan kereta di Paris ketika beliau dikejar beberapa paparazi.

Gambar itu disiarkan selepas portal hiburan dan akhbar The Sun di Britain menyiarkan gambar bogel adik William, Putera Harry baru-baru ini.

Harry berbogel dengan seorang wanita semasa mereka berada di dalam sebuah bilik hotel di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Sementara itu, William semalam mengaku bahawa beliau bukan peminat durian selepas merasa raja buah itu semasa lawatan beliau ke Malaysia.

William dan isterinya dihidangkan dengan buah durian semasa menghadiri majlis makan tengah hari bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak setibanya pasangan itu di Malaysia untuk lawatan tiga hari kelmarin.

Namun, semasa menghadiri satu lagi majlis makan tengah hari bersama sejumlah eksekutif perniagaan di ibu kota Malaysia, Kuala Lumpur semalam, bakal Raja Britain itu memberitahu: "Saya cuma mahu menyatakan betapa sedapnya makan tengah hari ini dan saya gembira kerana durian tidak terkandung dalam menu kali ini."

"Selepas merasa buah ini (durian) semalam, saya bimbang akan keselamatan mereka yang saya temui selepas itu," katanya.

Ucapan lucu William disambut dengan gelak ketawa para hadirin yang terdiri daripada lebih 1,000 ahli perniagaan.

Durian popular di Malaysia dan beberapa negara jirannya kerana rasa buah berkenaan yang lazat dan unik.

Namun, ramai tidak tahan dengan bau buah itu.

William dan Kate sedang dalam rangka lawatan ke seluruh dunia pada tahun ini bagi meraikan pemerintahan 60 tahun nendanya, Ratu Elizabeth II. - Agensi

Lady Gaga lancar minyak wangi di New York

Posted:

Lady Gaga lancar minyak wangi di New York

LADY GAGA dikerumuni para peminat dan jurugambar pada majlis pelancaran minyak wanginya di New York kelmarin.


NEW YORK - Penyanyi terkenal, Lady Gaga memakai pakaian berwarna hitam pada pelancaran minyak wangi sulungnya, Lady Gaga Fame di Muzium Guggenheim di sini kelmarin.

Beratus-ratus tetamu diminta mengenakan aksesori kepala atau sekurang-kurangnya topeng parti semasa menghadiri parti pada sebelah malam.

Antara selebriti yang hadir termasuk, Paris Hilton, Lindsay Lohan, Yoko Ono dan pereka-pereka fesyen serta model terkenal New York.

Kehadiran mereka disambut oleh beberapa model lelaki yang bertubuh sasa dan hanya memakai seluar jean ketat.

Pada majlis tersebut, sebuah filem berdurasi lima minit yang mempromosikan minyak wangi Lady Gaga turut ditayangkan.

Filem arahan jurufoto Steven Klein itu menunjukkan tubuh bintang berusia 26 tahun itu dikerumuni beberapa lelaki bersaiz kecil.

"Anda tahu, filem itu mahal," kata Klein ketika dia ditemu bual wartawan majalah Hollywood Reporter.

Penghasilan filem tersebut menelan belanja lebih AS$1 juta (RM3.07 juta).

Penyanyi itu turut baring di dalam sebuah botol dalam majlis pelancaran tersebut.

Lady Gaga atau nama sebenarnya Stefani Joanne Angelina Germanotta sempat mencacah bahagian belakang kepalanya dengan tatu.

Tatu itu dihasilkan oleh Mark Mahoney yang berpengalaman selama 35 tahun mencacah tatu di hadapan tetamu yang hadir. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan