Sabtu, 15 September 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Penerbit filem tak menyesal hina Islam

Posted: 14 Sep 2012 04:22 PM PDT

Nakoula mengaku bocorkan selingan di internet

Amman: Penerbit filem menghina Islam yang mencetuskan bantahan di seluruh dunia Arab dan beberapa negara Islam lain berkata, beliau tidak menyesal menghasilkan filem itu.

"Tidak, saya tidak menyesal. Saya sedih dengan pembunuhan duta tetapi saya tidak menyesal menghasilkannya," kata Nakoula Basseley Nakoula, penganut Kristian Koptik Mesir, berusia 55 tahun yang menetap di California, memberitahu Radio Sawa yang berbahasa Arab.

Beliau merujuk kepada pembunuhan duta Amerika Syarikat ke Libya, Chris Stevens dan tiga lagi pegawai lain dalam serangan ke atas konsulat Amerika di Benghazi yang dilaporkan dilancarkan penduduk tempatan yang marah dengan penghasilan filem Innocence of Muslims.
"Saya yang membocorkan selingan selama 14 minit dan menyiarkannya di internet dan saya memikirkan untuk menerbitkan filem penuh. Tiada siapa dapat memanipulasi filem saya," katanya.

Rasa bersalah

Ditanya jika beliau berasa bersalah dengan keganasan yang disasarkan ke atas warga Amerika, Nakoula berkata: "Ya! saya rasa bersalah. Amerika tiada kena mengena dengan subjek ini dan berdepan akibat filem yang tiada kena mengena dengan mereka."

Selepas Mesir, Yaman dan Libya, bantahan merebak ke seluruh Asia Barat dan negara lain termasuk Bangladesh, Iran, Iraq, Israel dan Semenanjung Gaza, Kuwait, Sudan dan Tunisia.
Kira-kira 5,000 penunjuk perasaan menyerbu kedutaan Britain dan Jerman di Khartoum, Sudan sebelum membakarnya dan menyebabkan kerosakan teruk.

Mereka juga menyekat jalan bagi menghalang anggota bomba daripada memasuki kawasan berkenaan untuk memadamkan api, menyebabkan pasukan keselamatan terpaksa melepaskan tembakan gas pemedih mata.

Bakar bendera Amerika

Beribu-ribu lagi penduduk Islam Kashmir membakar bendera Amerika sambil menggelarkan Presiden Barack Obama sebagai 'pengganas', manakala seorang ulama kerajaan mendesak warga Amerika, segera meninggalkan wilayah berkenaan.

Di Bangladesh, lebih 5,000 penduduk berarak di jalan raya Dhaka selepas solat Jumaat, membakar bendera Amerika dan Israel sambil menggesa penerbit filem dibunuh.

"Saya menerbitkan buku pada tahun 1994 mengenai Islam dan ia mengagumkan pihak tertentu yang bertanya sama ada saya boleh menghasilkan filem berdasarkan buku itu dan ini apa yang saya buat," katanya. - AFP

China hantar enam kapal

Posted: 14 Sep 2012 04:20 PM PDT

Tokyo: China menghantar enam kapalnya ke perairan sekitar kepulauan yang menjadi rebutan semalam, dengan Beijing berkata ia berada di situ bagi tujuan penguat kuasaan undang-undang di kawasan yang dijadikan milik Jepun awal minggu ini.

Pengawal Pantai Jepun mengarahkan kapal pemantau itu meninggalkan gugusan kepulauan berkenaan yang dikenali sebagai Senkaku di Tokyo dan China menuntutnya dengan nama Diaoyu.

Cetus kemarahan Beijing
Ketibaan kapal itu beberapa hari selepas kerajaan Jepun menjadikan kepulauan itu milik negaranya, mencetuskan kemarahan Beijing dalam perbalahan yang menjadi liputan utama berita selama beberapa minggu.

"Kapal peronda kami meminta mereka meninggalkan perairan negara kami," kata pengawal pantai dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Beijing enggan berbuat demikian, dengan Kementerian Luar China berkata kapal itu melakukan rondaan.

"Dua kapal pemerhati China tiba di perairan sekitar Kepulauan Diaoyu dan pulau berhampirannya pada 14 September 2012 untuk memulakan rondaan dan penguat kuasaan undang-undang.
"Aktiviti ini bertujuan menunjukkan bidang kuasa China ke atas kepulauan itu dan mengawal kepentingan maritim," menurut kenyataan yang dikeluarkan di Beijing.

Perdana Menteri Jepun, Yoshihiko Noda, berjanji untuk kekal berwaspada sejurus selepas pengawal pantai berkata dua kapal pemerhati maritim China memasuki perairan Jepun sekitar jam 6:18 pagi waktu tempatan semalam.

"Kami akan sentiasa memerhati," katanya kepada wartawan di Tokyo.

Dua kapal berkenaan diekori oleh sekumpulan empat lagi kapal yang tiba di kawasan itu sejurus selepas jam 7.00 pagi waktu tempatan.

Dua kapal pertama meninggalkan kawasan perairan itu sekitar jam 7.48 pagi.

Kepulauan yang menjadi pertikaian di Laut China Timur itu terletak kira-kira 400 kilometer dari Naha, bandar raya utama di Okinawa dan 200 kilometer dari Taiwan. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan