Kosmo Online - Dunia |
- 14 lagi mayat ditemui dekat Damsyik
- Penganut fahaman Syiah di Indonesia diserang
- Perry tolak tawaran jadi juri American Idol
14 lagi mayat ditemui dekat Damsyik Posted: 14 lagi mayat ditemui dekat Damsyik
BEIRUT - Sekurang-kurangnya 14 lagi mayat ditemui di bandar Daraya dekat Damsyik selepas aktivis melaporkan satu pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan berlaku di situ dalam serangan lima hari oleh tentera rejim Syria, kata pemerhati semalam. Kumpulan Pemerhati Syria untuk Hak Asasi Manusia sebelum ini melaporkan penemuan 320 mayat di Daraya selepas satu serangan yang disifatkan sebagai sangat kejam, pembunuhan tanpa perbicaraan dan serbuan rumah ke rumah oleh tentera kerajaan. Pemerhati berkata, sehingga kini ia telah mengenal pasti seramai 220 mangsa yang dibunuh. Jawatankuasa Penyelaras Tempatan sebuah rangkaian aktivis menyifatkan insiden itu sebagai pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Presiden Bashar al-Assad. Kumpulan pemerhati Britain menjelaskan sekurang-kurangnya 149 orang terbunuh di negara bersengketa itu kelmarin. Mereka terdiri daripada 105 orang awam, 26 pejuang pemberontak dan 18 tentera. Kelmarin, tentera rejim mengebom bandar Basra al-Sham dalam wilayah Daraa dan membunuh sekurang-kurangnya 17 orang awam. Serangan terbaru yang berlaku semalam pula membunuh tiga orang lelaki, kanak-kanak dan dua wanita di Kafr Batna dalam wilayah Damsyik. Menurut angka pemerhati, kira-kira 25,000 mangsa yang kebanyakannya orang awam telah terbunuh di Syria sejak tercetusnya kebangkitan rakyat pada Mac tahun lalu. - AFP | |
Penganut fahaman Syiah di Indonesia diserang Posted: Penganut fahaman Syiah di Indonesia diserangSAMPANG, Indonesia - Serangan ke atas penganut fahaman Syiah di Indonesia menyebabkan dua lelaki terbunuh dan berpuluh-puluh buah rumah dibakar. Kira-kira 500 orang penganut fahaman Sunni bersenjatakan parang kecil dikatakan menyerang sekumpulan pelajar di bandar Sampang, wilayah Jawa Timur pada Ahad lalu. "Perselisihan fahaman agama kian meningkat kerana penguatkuasaan undang-undang untuk menangani keganasan tidak dilaksanakan dengan berkesan. Keadaan ini menggalakkan berlakunya keganasan ke atas orang awam," kata penyelidik Institut untuk Demokrasi dan Keamanan Setara, Ismail Hasani. Jurucakap polis wilayah Jawa Timur, Hilman Thayib memberitahu, dua lelaki terbunuh dan enam yang lain cedera. Sementara sebanyak 39 buah rumah dibakar dalam serangan terbabit. Menurutnya, hampir 2,000 orang pegawai polis dan keselamatan diarah ke lokasi kejadian untuk mengawal keadaan. "Mangsa mati kerana diserang dengan sabit. Seorang mati di tempat kejadian dan seorang lagi meninggal dunia pagi tadi. Setakat ini, kami telah menahan lapan orang suspek," kata Thayib. Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono semalam mengarahkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas bagi mengelak kejadian sama daripada berulang. Ini bukan insiden pertama di wilayah tersebut. Disember lalu, penganut fahaman Syiah di Nangkernang diserang. Beratus-ratus rumah dan sebuah sekolah agama dibakar, sekali gus memaksa 500 orang mangsa melarikan diri dari kampung mereka. - AFP | |
Perry tolak tawaran jadi juri American Idol Posted: Perry tolak tawaran jadi juri American IdolAKSI Katy Perry ketika mempromosikan filemnya yang bertajuk Part of me 3D di Rio de Janeiro, Brazil. Perry tetap enggan menjadi juri American Idol walaupun ditawarkan wang sebanyak RM60.8 juta. LOS ANGELES - Penyanyi terkenal, Katy Perry menolak tawaran sebanyak AS$20 juta (RM60.8 juta) untuk menjadi juri program televisyen American Idol, lapor akhbar New York Daily News kelmarin. Menurut portal hiburan TMZ.com, penyanyi lagu Wide Awake itu tidak berganjak dengan keputusannya. Dia juga tidak pasti sama ada American Idol adalah langkah betul untuk mengembangkan kerjayanya. "Katy Perry sedang hangat diburu. Mereka sangat mahukannya," kata satu sumber kepada akhbar Us Weekly. Sewaktu diwawancara oleh majalah Hollywood Reporter pada Julai lalu, Perry, 27, pernah mendedahkan bahawa dia berasa belum sesuai menjadi juri program televisyen. Setakat ini, hanya penyanyi pop terkenal, Mariah Carey mengesahkan penyertaan sebagai juri untuk musim American Idol akan datang. Carey dilaporkan bakal menerima bayaran sebanyak AS$$18 juta (RM54.7 juta). Sebelum ini, bintang terkenal Jennifer Lopez yang juga bekas juri program itu menerima bayaran sebanyak AS$12 juta (RM36.5 juta) bagi setiap musim. Antara selebriti lain yang disebut-sebut bakal menyertai American Idol sebagai juri termasuklah Nicki Minaj, Pharell Williams, Nick Jonas, Keith Urban dan Kanye West. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan