Ahad, 26 Ogos 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Apple menang kes saman paten

Posted:

Apple menang kes saman paten

SEORANG pengurus Korea Selatan menunjukkan telefon pintar Galaxy S (kanan) dan iPhone (kiri) di sebuah kedai di Seoul pada 27 Julai lalu.


SAN JOSE, California - Selepas setahun pertikaian di mahkamah membabitkan Samsung dan Apple, seorang juri di Amerika Syarikat (AS) kelmarin memutuskan pengeluar telefon pintar dari Korea Selatan itu didapati menciplak teknologi yang digunakan untuk menghasilkan iPhone dan iPad.

Susulan keputusan tersebut, panel juri sebuah mahkamah di sini memerintahkan syarikat Samsung untuk membayar ganti rugi berjumlah AS$1.05 bilion (RM3.25 bilion) kepada Apple.

Bagaimanapun, Samsung yang popular dengan telefon pintar Galaxy S dan komputer tablet Galaxy Tab akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan tersebut.

Perkembangan itu berlaku selepas sebuah mahkamah Korea Selatan kelmarin mendapati Samsung tidak meniru telefon bimbit keluaran Apple.

Pertikaian kedua-dua gergasi elektronik tersebut bermula apabila firma Apple Inc. memfailkan saman melibatkan pelanggaran paten oleh Samsung pada April 2011.

Apple telah melantik pasukan peguam terhandal di AS bagi menuntut gantirugi AS$2.5 bilion (RM7.75 bilion) daripada pesaing terhebatnya, Samsung.

Dalam saman tersebut, firma yang diasaskan bersama oleh mendiang Steve Jobs itu mendakwa Samsung Electronics Co. meniru teknologi dan inovasinya.

Namun, Samsung melakukan saman balas dengan menuntut gantirugi AS$399 juta (RM1.24 bilion) daripada Apple Inc.

Dalam hujah penggulungannya, peguam Apple, Harold McElhinny mendakwa Samsung mengalami 'kebuntuan reka bentuk' selepas pelancaran iPhone pada tahun 2007.

Samsung, katanya, mengambil kesempatan di atas kejayaan gajet berkenaan apabila memperkenalkan jenama telefon pintar Galaxy S dengan ciri-ciri serupa.

Terdahulu, pasukan peguam Apple menyatakan, hampir tiada perbezaan pada telefon pintar iPhone dan Galaxy.

Peguam-peguam Samsung bagaimanapun berkata, beberapa inovasi seperti skrin besar pada siri telefon Galaxy yang sebelum ini terdapat pada iPhone, diperkenalkan bagi memenuhi permintaan pengguna telefon pintar.

Panel juri berkenaan yang dianggotai oleh tujuh lelaki dan dua wanita mula bersidang Rabu lepas.

Samsung setakat ini telah menjual 22.7 juta buah telefon pintar dan tablet yang didakwa Apple meniru teknologinya.

McElhinny seterusnya berkata, jualan gajet-gajet berkenaan mencecah AS$8.16 bilion (RM25.55 bilion) sejak Jun 2010.

Sehingga kini, Apple dan Samsung menguasai lebih separuh jualan telefon pintar di dunia.

Namun, Samsung muncul sebagai pesaing terbesar Apple dan mengatasi firma AS berkenaan sebagai pengeluar terbesar telefon pintar di peringkat global.

Model telefon pintar Galaxy dijana perisian Android yang diberikan percuma oleh Google Inc. kepada Samsung dan beberapa pengeluar telefon pintar lain.

Dalam samannya, Apple turut menuntut Samsung menarik kedua-dua jenama telefon dan komputer tabletnya daripada pasaran AS.

Saman serupa telah dikemukakan di beberapa negara lain termasuk Australia, Britain dan Jerman.

Pasaran telefon pintar dan komputer tablet global masa kini dianggarkan bernilai AS$219 bilion (RM685.79 bilion). - Agensi

Insiden tembakan di New York bukan angkara pengganas

Posted:

Insiden tembakan di New York bukan angkara pengganas


BEBERAPA anggota polis menghampiri mayat penembak, Jeffrey Johnson (gambar kecil) yang terbaring di kaki lima dekat Bangunan Empire State di New York kelmarin.


NEW YORK - Seorang bekas pekerja kedai pakaian wanita menembak mati bekas rakan sekerjanya di luar Bangunan Empire State di sini kerana dibelenggu perasaan tidak puas hati sebelum dia ditembak mati pihak polis kelmarin.

Seorang pegawai polis, Komisioner Ray Kelly berkata, dua orang terbunuh manakala sembilan lagi cedera dalam kejadian itu.

Mengulas serangan tersebut, Biro Siasatan Persekutuan menafikan (FBI) menafikan insiden memiliki kaitan dengan pengganas.

Menurut Kelly, penembak dikenal pasti sebagai seorang bekas pekerja yang "tidak berpuas hati", Jeffrey Johnson, 53, manakala mangsanya Steve Ercolino pula berusia 41 tahun.

Ujarnya, penyerang menggunakan sepucuk pistol kaliber .45 dengan kapasiti lapan butir peluru.

Dia menembak lelaki berkenaan sebanyak tiga kali di kepala di kedai pakaian Hazad Imports di sini.

Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg memberitahu, penembak kemudian cuba melarikan diri tetapi bertembung dengan dua anggota polis yang menerima aduan tentang insiden tersebut.

"Penyerang mengacukan pistol ke arah anggota polis dan cuba menembak mereka," kata Bloomberg.

"Polis membalas tembakan dan membunuh lelaki tersebut," tambahnya.

Menurut Bloomberg, sebahagian kecederaan orang awam dalam kejadian itu mungkin berpunca daripada peluru sesat yang ditembak oleh kedua-dua anggota polis itu.

Senator Negeri New York, Malcolm Smith pula memberitahu sebuah stesen televisyen tempatan bahawa Johnson telah menembak bekas pengurusnya.

Beberapa jiran Johnson memberitahu, mereka mengenali lelaki itu sebagai seorang yang sopan tetapi pendiam.

Selain bandar raya ini, sebuah lagi kota metropolitan AS, Chicago turut mengalami peristiwa berdarah apabila 19 orang cedera dalam lapan insiden tembakan, kata polis kelmarin. - Agensi

19 maut loji penapis minyak meletup di Venezuela

Posted:

19 maut loji penapis minyak meletup di Venezuela

KEADAAN loji penapis minyak di bandar Amuay yang terbakar semalam.


CARACAS - Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh manakala lebih 50 lagi cedera apabila loji penapis minyak terbesar di Venezuela meletup awal semalam.

Negara berkenaan merupakan pengeluar minyak terbesar di Amerika Selatan.

Letupan berlaku di fasiliti penapis minyak di bandar Amuay dalam negeri Falcon di barat daya Venezuela.

"Antara mangsa yang maut termasuk seorang kanak-kanak berusia 10 tahun," kata Gabenor Falcon, Stella Lugo.

Menurutnya, sebanyak 53 yang lain cedera dalam kejadian tersebut dengan angka korban dan kecederaan dijangka terus meningkat.

Menteri Tenaga Rafael Ramirez berkata, letupan dipercayai akibat kebocoran gas dengan punca sebenar kejadian masih disiasat.

Jelas Ramirez, letupan itu amat kuat menyebabkan kerosakan besar bukan hanya ke atas loji berkenaan tetapi beberapa kedai dan kediaman di sekitar lokasi kejadian.

Kebakaran berjaya dikawal pada pagi semalam. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan