Rabu, 8 Ogos 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Peluncur degil dibaham jerung

Posted: 06 Aug 2012 10:55 AM PDT

PULAU REUNION: Seorang peluncur berpengalaman dibaham seekor jerung di Lautan Hindi selepas dia tidak mengendahkan amaran supaya tidak meluncur pada lewat petang.

Lelaki warga Perancis itu yang dipercayai berusia 40-an cedera parah selepas dibaham pada waktu paling bahaya di kawasan yang banyak ikan jerung.


Dia meluncur di kawasan di pantai barat Pulau Reunion, pulau peranginan Perancis kelmarin apabila jerung membahamnya dua kali menyebabkan sebelah kaki dan sebelah tangannya hilang.

Rakannya mendengar dia menjerit dan melihat dia berenang ke tepi pantai walaupun cedera parah.


Mereka membantunya naik ke darat sebelum menelefon ambulans yang membawanya ke hospital.


Jurucakap pihak berkuasa pulau berkenaan, Xavier Brunetiere berkata, kecederaan peluncur itu bagaimanapun tidak mengancam nyawa dan dia kini semakin pulih.

Ikan jerung yang mempunyai testosteron paling banyak berbanding haiwan lain di dunia, gemar berenang di perairan cetek di kawasan pantai.


Serangan terbaru itu adalah yang kelapan di Pulau Reunion sejak awal 2011. Tiga daripada serangan itu membabitkan peluncur yang mati akibat kecederaan.

Alexandre Rassica, 22, mati selepas kakinya dibaham seekor ikan jerung bulan lalu dan pada September tahun lalu, pengurus sebuah sekolah meluncur dan bekas juara sukan itu, Matthieu Schiller, juga mati akibat serangan haiwan berkenaan.


Rakan mangsa berusia 32 tahun itu berkata, jerung itu mengelilingi Schiller sebelum bertindak pantas membahamnya. Ia berlaku beberapa hari selepas Datuk Bandar Saint Leu, Thierry Robert, mencetuskan bantahan di kalangan pakar ekologi apabila dia membenarkan nelayan membunuh ikan jerung yang sebelum ini menjadi haiwan dilindungi di perairan pulau itu sebagai tindak balas terhadap peningkatan serangan.


Robert bersetuju menarik balik keputusannya selepas memperoleh jaminan kerajaan bahawa tindakan akan dilakukan bagi melindungi pengunjung pantai. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/07


Nepal larang sekolah guna nama Barat

Posted: 06 Aug 2012 10:50 AM PDT

KATHMANDU: Pihak berkuasa Nepal semalam mengharamkan sekolah menengah menggunakan nama seperti 'Oxbridge', 'White House' dan 'NASA' kerana bimbang sistem pelajaran di negara itu akan kehilangan budaya tempatan.

Pengumuman itu dibuat selepas beberapa bantahan diterima daripada kumpulan pelajar dan belia yang kadang kala bersifat ganas, di luar sekolah di seluruh negara itu yang menggunakan nama asing.


"Kami sudah memaklumkan sekolah berkenaan supaya mengubah kepada nama tempatan. Peraturan ini jelas termaktub dalam undang-undang tetapi beberapa sekolah tidak mengendahkannya," kata jurucakap Kementerian Pelajaran, Janardan Nepal.

"Mereka diberi masa secukupnya untuk mengubah nama itu. Tetapi tidak terlalu lama," kata Nepal.


Nepal bergantung kepada kerajaan dan agensi bantuan asing untuk kira-kira 25 peratus daripada bajet pelajarannya yang berjumlah 65 bilion rupi (RM2.14 bilion). Tetapi sekolah yang berdepan dengan masalah kewangan sering cuba menarik pembiayaan dan pelajar dengan menggunakan nama Barat yang berprestij.


Kira-kira 250 sekolah menengah di Kathmandu menggunakan nama tokoh, institusi dan tempat di Eropah dan Amerika Syarikat seperti Akademi Einstein dan Kolej Pentagon.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bulan lalu menyuarakan kebimbangan terhadap keganasan yang meningkat terhadap sekolah di Nepal oleh kumpulan militan yang menurutnya membahayakan nyawa pelajar dan menjejaskan hak terhadap pelajaran.


Media tempatan menyalahkan sayap pelajar beberapa parti politik kerana memusnahkan komputer dan membakar bas sekolah. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/07


Tiada ulasan:

Catat Ulasan