Khamis, 30 Ogos 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kembar siam jadi bintang TV

Posted: 29 Aug 2012 10:06 AM PDT

LOS ANGELES: Pasangan kembar siam Abby dan Brittany Hansel meraikan ulang tahun kelahiran mereka ke-22 dalam episod pembukaan siri realiti televisyen mereka di Amerika Syarikat, lapor media semalam.

Siri itu - berjudul Abby And Brittany - memaparkan mereka memakai cermin mata berhias bagi meraikan hari bersejarah itu.

Berasal dari Minnesota, siri itu akan menayangkan detik Abby dan Brittany menamatkan pengajian di universiti, mencari pekerjaan dan mengembara ke Eropah bersama kenalan dalam siri terbaru mereka.

Dalam gambar promosi untuk siri itu, Abby dan Brittany digambarkan bersedia memulakan hidup normal, bergaya di depan kamera dalam kotak telefon awam tradisional di London, berehat bersama rakan di bawah sinar matahari dan memandu kereta.


Mengenai pengalaman memandu, Brittany berkata, tugas menekan pedal minyak dan menukar gear dilakukan Abby.


"Saya mengawal suis lampu isyarat dan lampu," katanya.

Brittany juga mengakui Abby memandu lebih laju daripadanya.

Sebelum ini, pasangan kembar siam terbabit membintangi sebuah dokumentari berjudul Joined For Life, serta sebuah program susulan, Abby And Brittany Turn 16.

Bintang siri realiti yang bakal melakar nama itu mula menjadi perhatian apabila mereka muncul dalam siri The Oprah Winfrey Show.

Brittany dan Abby juga pernah muncul sebagai penghias muka depan majalah Life pada 1996.

Ketika itu, mereka baru berusia enam tahun.

Mereka berkongsi hampir semua organ pada bahagian di bawah pusat, namun memiliki dua jantung dengan sistem pengedaran darah dikongsi bersama.

Mereka juga memiliki empat paru-paru dan dua perut.

Walaupun dilahirkan dengan tiga tangan, satu daripadanya dibuang melalui pembedahan.

Abby mengawal badan sebelah kanan, manakala tubuh kiri dikawal Brittany.

Ketika tidak ramai pasangan kembar siam seperti mereka hidup sehingga dewasa, Abby dan Brittany kini sihat tanpa sebarang masalah jantung atau kegagalan organ. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 30/08/2012


Osama tidak bersenjata ketika dibunuh komando

Posted: 29 Aug 2012 10:03 AM PDT

WASHINGTON: Pendedahan terperinci mengenai serbuan komando elit Tentera Laut AS ke atas Osama bin Laden menunjukkan ketua al-Qaeda itu tidak bersenjata ketika ditembak mati.

Malah, maklumat terbaru menyatakan, Osama sudah meninggal dunia ketika tentera terbabit menyerbu biliknya di Abbottabad, Pakistan.


Maklumat itu terkandung dalam buku No Easy Day: The Firsthand Account of the Mission That Killed Osama bin Laden yang dihasilkan penulis misteri - menggunakan nama samaran Mark Owen.

Owen mendakwa dia adalah seorang daripada anggota komando yang melihat Osama terbunuh dalam serbuan Mei tahun lalu. Osama dikatakan ditembak di kepalanya ketika dia menjenguk keluar melalui tingkap bilik tidurnya. Menurut penulis buku itu, misi berkenaan berlangsung tidak seperti didedahkan pihak berkuasa kepada umum. "Skuad elit nampak Osama ketika dia bersembunyi di bilik tidurnya dan mereka menaiki tangga memburunya ke tingkat tiga.


"Kami berada kurang dari lima langkah untuk ke atas apabila saya terdengar tembakan.


"Dari kedudukan saya, tidak dapat dipastikan tembakan itu mengena sasaran atau tidak dan Osama menghilang ke bilik gelap," katanya. Ketika pelbagai media mendakwa Osama bersenjata dan enggan menyerah, Owen mendakwa, ketua al-Qaeda itu tidak lagi bernyawa ketika dia tiba di bilik berkenaan. "Osama terbaring nazak dan kami mengarahkan laser senjata ke dadanya sebelum melepaskan beberapa das tembakan sehingga dia tidak lagi bergerak," katanya. Dua senjata api ditemui di bilik berkenaan tetapi tiada satu pun berisi peluru. "Dia tidak bersedia mempertahankan diri dan tiada niat untuk melawan," katanya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 30/08/2012


Tiada ulasan:

Catat Ulasan