Berita Harian: Dunia |
Posted: 29 Aug 2012 05:32 PM PDT Seoul/New Orleans: Semenanjung Korea bersiap sedia menghadapi taufan Tembin mulai hari ini selepas 16 terbunuh, enam daripadanya nelayan China, dan 10 lagi hilang selepas Korea Selatan dibadai taufan Bolaven yang kini melanda Korea Utara. Selain itu, tujuh tahun selepas menyaksikan kemusnahan besar di New Orleans, sistem keselamatan dan binaan penahan banjir kota itu sekali lagi akan diuji taufan Isaac yang membawa angin kencang dan hujan lebat mulai semalam di Louisiana, selatan Amerika Syarikat. Terputus bekalan elektrik Taufan Bolaven menjadi punca beribu-ribu penduduk Korea Selatan terputus bekalan elektrik, membatalkan penerbangan, hampir 100 keluarga hilang tempat tinggal dan tanah pertanian bercucuk tanam selain menyebabkan dua kapal nelayan China melanggar batu di perairan selatan Pulau Jeju menyebabkan tujuh maut dan lapan hilang. Bolaven diramal membawa angin kencang dan ribut ke wilayah timur China, Shandong dan Jiangsu selain Shanghai. Jiangsu sudah memindahkan lebih 23,000 penduduk selain menghentikan khidmat feri di Tasik Taihu. 12 nelayan diselamatkan Media rasmi Korea Utara, Korean Central News Agency (KCNA) pula melaporkan bahawa angin kencang Bolaven menyebabkan bumbung sebuah stesen elektrik tercabut, memutuskan bekalan kuasa di bandar Kaesong selain merosakkan banyak kawasan pertanian. Angin kencang dan hujan lebat juga melanda ibu kota negara itu, Pyongyang, tetapi tidak menyebabkan kematian sekadar menyebabkan air naik di jalan raya. Taufan Tembin dijangka tiba di Korea Selatan mulai hari ini membawa angin selaju 30 meter sesaat dan menuju Korea Utara, esok. Kelmarin, Tembin menyebabkan tiga penduduk yang tinggal dekat pantai cedera di Taiwan selepas bumbung rumah tercabut dirempuh ombak setinggi enam meter. Taufan berkenaan berlaku ketika Korea Utara cuba membantu penduduknya dari segi makanan, tempat berlindung, penjagaan kesihatan dan air bersih selepas dilanda banjir pada Julai lalu. Bah itu menyebabkan 170 maut di Korea Utara selepas beribu-ribu kediaman musnah dihanyutkan air, menurut laporan rasmi negara itu. Taufan Isaac landa Louisiana Di NEW ORLEANS, taufan Isaac mula melanda selatan Louisiana dengan angin kencang dan hujan lebat sehingga 50 sentimeter mulai semalam dan dijangka tiba di New Orleans awal hari ini. Isaac adalah taufan pertama melanda Amerika tahun ini. Meskipun tidak sekuat Katrina iaitu ribut kategori 3 ketika melanda pada 29 Ogos 2005, Isaac yang berada dalam kekuatan kategori 1 mengingatkan semula kepada keadaan selepas Katrina. - AP/Agensi |
Posted: 29 Aug 2012 04:14 PM PDT Beirut: Presiden Bashar al-Assad percaya sepenuhnya bahawa tentera Syria hanya memerlukan lebih banyak masa bagi menumpaskan pemberontakan yang dibantu negara asing. Bashar menyuarakan keyakinannya itu sambil menolak saranan Turki dan Perancis supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membentuk zon selamat dalam Syria bagi membantu melindungi pelarian. "Kami terbabit dalam perang serantau dan global, jadi perlukan masa untuk menang. Saya boleh simpulkan begini: Kami bergerak ke depan. Keadaan semakin baik tetapi belum lagi ada keputusan muktamad. Ini memerlukan masa.Idea tak realistik "Perbincangan mengenai zon penampan tidak akan dibentangkan kerana ia satu idea tidak realistik oleh negara bermusuhan dan musuh Syria," katanya kepada stesen televisyen Dunya. Pemberontakan dan peperangan yang meletus menyebabkan beribu-ribu penduduk Syria menjadi pelarian, kira-kira 80,000 berada di sempadan Turki dan angka itu diramal boleh meningkat sehingga 200,000. Pertubuhan hak asasi manusia pula melaporkan, lebih 250 orang maut setiap hari dalam konflik Syria tetapi ia sukar disahkan. Pelarian bertambah "Kami akan minta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil langkah untuk menangani masalah yang kami hadapi. Apabila bilangan pelarian mencapai angka beratus-ratus ribu, masalah ini mencapai peringkat antarabangsa. Turki tidak boleh memikul beban ini sendirian," kata Menteri Luar Turki, Ahmed Davutoglu. Sementara itu, Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius mengakui bahawa rancangan untuk mewujudkan zon penampan di Syria 'amat sukar'. Fabius berkata, penduduk yang hilang tempat tinggal berikutan konflik negara itu perlu dilindungi melalui pembentukan zon penampan tetapi persoalan logistik dan diplomatik adalah isu yang sukar. "Kami memikirkannya. Ia amat sukar. Kita tidak boleh lakukannya tanpa persetujuan Turki dan negara lain," kata Fabius kepada radio France Inter. "Tetapi, apa yang kita mahu ialah perkara ini terus bergerak ke hadapan supaya Bashar jatuh secepat mungkin dan pada masa sama mencari penyelesaian. Sebuah zon penampan adalah sukar tanpa sebuah zon larangan terbang," kata Fabius. "Untuk memastikan perlindungan, perlu ada bantuan senjata anti pesawat dan aset udara," katanya sambil menambah bahawa tentera darat juga diperlukan. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan