Khamis, 12 Julai 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Isteri anak bilionair ditemui mati

Posted:

Isteri anak bilionair ditemui mati

GAMBAR fail menunjukkan Eva dan suaminya.


LONDON - Seorang wanita yang merupakan antara terkaya di Britain, Eva Rausing ditemui mati di kediaman mewahnya di sini pada Isnin lalu.

Penemuan mayat wanita berusia 48 tahun dibuat selepas polis menahan suaminya, Hans Kristian Rausing yang merupakan pewaris empayar syarikat pembungkusan TetraPak yang bernilai AS$6.7 bilion (RM21.29 bilion) pada hari yang sama kerana memiliki dadah.

Syarikat itu milik bapa suami Eva.

Susulan tangkapan tersebut, polis menyerbu kediaman mereka di sini dan menemui mayat mangsa.

Suami Eva masih ditahan bagi membantu siasatan.

Satu bedah siasat lanjut dilakukan ke atas mayat Eva semalam selepas prosedur autopsi pada hari sebelumnya gagal mengenal pasti punca kukuh yang menyebabkan kematian mangsa.

Polis juga masih gagal merungkai kes tersebut tetapi Rausing dan suaminya dilaporkan memiliki masalah ketagihan dadah sejak sekian lama.

Mereka pernah ditahan kerana memiliki dadah pada 2008 selepas Eva ditangkap ketika cuba menyeludup sejumlah kokain dan heroin di dalam beg tangannya ke dalam Kedutaan Amerika Syarikat di London. - Agensi

Mitsubishi jual kilang satu euro

Posted:

Mitsubishi jual kilang satu euro

KILANG VDL di Born, Belanda.


TOKYO - Syarikat gergasi kereta dari Jepun, Mitsubishi Motors semalam mengumumkan sebuah kilang pembuatan kereta miliknya Born akan dijual kepada sebuah kumpulan perindustrian Belanda, VDL Groep dengan harga satu euro (RM3.9).

Syarikat itu dijual selepas VDL yang mengeluarkan bas dan produk industri berjanji akan mengekalkan 1,500 pekerja di kilang tersebut.

Pengumuman itu dibuat selepas VDL mengesahkan pihaknya dalam perbincangan dengan syarikat BMW dari Jerman untuk mengeluarkan kereta mini di kilang tersebut yang terletak 180 kilometer ke tenggara Amsterdam, Belanda.

Pada awal tahun ini, Mitsubishi mengumumkan rancangan untuk menamatkan pengeluaran di kilang tersebut menjelang akhir tahun.

Pihak Mitsubishi berkata, ia menjangkakan kerugian sebanyak AS$353 juta (RM1.12 bilion) dalam laporan kewangan Mac 2013.

Sebelum ini, para pekerja di kilang tersebut mengadakan mogok selama sehari bagi meminta Mitsubishi bekerjasama dengan kerajaan Belanda untuk mencari pembeli baharu. - Agensi

Rusia terus berdegil sokong Bashar

Posted:

Rusia terus berdegil sokong Bashar

IMEJ yang dimuat naik di laman YouTube pada 10 Julai lalu menunjukkan beberapa buah kereta kebal rejim Bashar di bandar Izaz, Syria.


DAMSYIK - Kumpulan pemberontak utama di Syria semalam gagal meyakinkan Rusia agar berhenti menyokong sekutunya, Presiden Bashar Al-Assad ketika rejim pemimpin berkenaan terus dicabar dalam beberapa pertempuran terbaharu yang tercetus di seluruh negara.

Menjelang satu taklimat kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) oleh Utusan Keamanan PBB, Kofi Annan, Rusia masih enggan berganjak daripada pendiriannya berhubung krisis Syria.

Perkara tersebut dinyatakan Ketua Majlis Kebangsaan Syria (SNC), Abdel Basset Sayda selepas menemui Menteri Luar, Sergei Lavrov di Moscow.

Sayda marah berhubung kegagalan rundingan tersebut.

"Kami menolak dasar Rusia kerana pendirian Moscow yang menyokong Bashar akan menyebabkan keganasan berterusan di Syria," katanya kepada sekumpulan wartawan selepas rundingan berlangsung.

"Kami tidak melihat sebarang kemajuan berhubung dasar Rusia. Saya berada di sini (Moscow) setahun lalu dan dasar ini tetap tidak berubah," kata seorang pegawai kanan, SNC, Burhan Ghalioun.

Dalam pada itu, pertubuhan Pemantau Syria Untuk Hak Asasi melaporkan, pemberontak dan tentera rejim Bashar bertempur di daerah Qadam, di sini.

Menurut badan pemantau berkenaan, pemberontakan di Syria yang bermula sejak 16 bulan lalu, telah meragut lebih 17,000 nyawa setakat ini.

Di Aleppo pula, sekurang-kurangnya dua askar terbunuh selepas pemberontak menyerang dua pos kawalan di bandar komersial itu.

Badan pemantau itu turut melaporkan satu serangan berlaku di wilayah Idlib, barat daya Syria melibatkan sebuah bas yang membawa sejumlah askar.

Laporan itu menyebut, 11 anggota tentera terbunuh dalam serangan dengan kumpulan pemberontak di Idlib.

Menurut badan berkenaan, 82 orang maut dalam keganasan di seluruh Syria kelmarin termasuk 26 askar dan 26 pejuang pemberontak.

Sementara itu, Kementerian Luar Perancis menyatakan, satu resolusi Majlis Keselamatan yang dikemukakan oleh Moscow bagi menangani konflik di Syria didapati gagal memenuhi kehendak masyarakat antarabangsa.

"Jelas, resolusi Rusia tersasar daripada kehendak sebahagian besar masyarakat antarabangsa," kata jurucakap kementerian berkenaan, Bernard Valero.

Resolusi itu mencadangkan agar misi pemerhati PBB di Syria dilanjutkan tanpa negara berkenaan berdepan sebarang ancaman sekatan. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan