Khamis, 12 Julai 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


17,000 askar kawal sukan Olimpik London

Posted: 12 Jul 2012 02:31 PM PDT

London: Britain mengarahkan 3,500 askar untuk bersiap sedia bertugas untuk mengawal kejohanan Sukan Olimpik di ibu negara yang bakal berlangsung lewat bulan ini.

Langkah itu diambil selepas kontraktor persendirian berkata ia mungkin tidak mampu menyediakan pengawal keselamatan mencukupi ketika temasya itu berlangsung. Kontraktor G4S sepatutnya menyediakan 13,200 pengawal keselamatan persendirian di 100 lokasi mengakui ia mungkin tidak mampu memenuhinya kerana masalah merekrut dan melatih petugas.
Britain memperuntukkan £553 juta (RM2.7 bilion) untuk tujuan keselamatan lokasi kejohanan berlangsung, meliputi arena di London dan beberapa tempat lain di seluruh Britain termasuk pusat sukan air di selatan England dan lima stadium bola sepak.

Operasi keselamatan sempena Olimpik kali ini menyaksikan 7,500 anggota tentera sudah ditempatkan di tempat acara berlangsung dan 6,000 lagi sudah bersiap sedia untuk melakukan pelbagai tugas keselamatan.

Jika kakitangan keselamatan itu termasuk anggota tambahan yang diumumkan kelmarin, ditempatkan, jumlah keseluruhan pengawal menjadi 17,000, mengatasi angka 9,500 anggota tentera Britain di Afghanistan.

Kira-kira 12,000 anggota polis, 3,000 sukarelawan, jet tempur Typhoon, helikopter, dua kapal perang dan pakar pemusnah bom juga sebahagian daripada program yang bertujuan mengawal keselamatan sukan terulung itu.
Dalam kenyataan, kementerian yang bertanggungjawab membanteras jenayah dan mengawal keselamatan berkata, anggota tentera bersedia ditempatkan untuk menampung sebarang kekurangan.

"Kami bersetuju menawarkan bantuan kepada G4S dengan menyemak semula tahap sokongan tentera," kata kenyataan Kementerian Dalam Negeri. Setiausaha Pertahanan, Philip Hammond, akan mengesahkan maklumat penuh kepada Parlimen mengenai perkembangan terbaru itu dalam kenyataan bertulis rasmi.

G4S menegaskan, ia masih berharap mampu membekalkan pengawal keselamatan tetapi kerajaan Britain mengarahkan tentera berjaga-jaga jika kontraktor tidak dapat memenuhi syarat.
AP

Padah salah guna Facebook

Posted: 12 Jul 2012 02:30 PM PDT

Dhaka: Polis Bangladesh menahan seorang ahli perniagaan yang dituduh menyunting satu foto perdana menteri negara itu pada sekeping gambar wanita separuh bogel di laman web Facebook miliknya.

Selepas mendapat maklumat, sepasukan anggota polis mengunjungi rumah Shariful Islam di Maizdi, 150 kilometer ke selatan Dhaka. Mereka menemui gambar perdana menteri berkenaan pada komputer lelaki terbabit, kata ketua polis tempatan, Chowdhury Abul Kalam.
"Kami memintanya membuka laman Facebook miliknya. Pada laman web berkenaan, wajah perdana menteri Sheikh Hasina ditampal pada seorang wanita yang separuh bogel," katanya, semalam.

Shariful adalah seorang pemilik sebuah firma pengiklanan dan turut memalsukan gambar Menteri Dalam Negeri dan beberapa menteri lain," kata Kalam.

Beliau juga memberitahu, ahli perniagaan terbabit boleh dihukum penjara 10 tahun jika didapati bersalah terhadap tuduhan memfitnah itu.

Pihak berkuasa Bangladesh mengambil langkah undang-undang tahun ini termasuk mengemukakan pendakwaan membabitkan pemilik laman Facebook yang menyasarkan Hasina.
Bulan lalu, seorang pelajar didakwa atas kesalahan memfitnah selepas memberi komen pada Facebook dengan menuduh Hasina bertanggungjawab atas kehilangan pemimpin pembangkang.
AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan