Ahad, 1 Julai 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Presiden baharu Mesir ikrar sokong Palestin

Posted:

Presiden baharu Mesir ikrar sokong Palestin

MOHAMMED MORSI mengangkat sumpah sebagai Presiden Mesir di Mahkamah Agung Perlembagaan di Kaherah semalam.


KAHERAH - Presiden Mesir, Mohamed Morsi mengumumkan sokongannya kepada Palestin sehingga penduduk wilayah berkenaan "mendapat semula, semua hak mereka".

Dalam ucapan sulungnya sebagai Presiden Mesir di Universiti Kaherah di sini semalam, beliau turut meminta supaya pertumpahan darah di Syria ditamatkan.

"Saya mengumumkan dari sini bahawa Mesir, rakyatnya dan institusi Presiden berdiri teguh bersama bangsa Palestin sehingga mereka mendapat semula semua hak mereka," kata Morsi.

"Kami juga menyokong rakyat Syria. Kami mahu pertumpahan darah di negara berkenaan dihentikan," tambahnya.

Beliau mengulangi bahawa Mesir akan menghormati semua perjanjian antarabangsa yang pernah ditandatanganinya.

Negara Arab berkenaan memeterai satu perjanjian damai dengan Israel pada 1979.

"Kami membawa mesej keamanan kepada dunia, diiringi oleh perutusan mengenai hak dan keadilan," ujarnya."

Morsi, 60, yang meletak jawatan daripada pegerakan Islam, Ikhwanul Muslimin selepas memenangi pilihan raya Presiden bulan ini, berucap dengan nada tegas berhubung sokongannya kepada Palestin semasa berkempen.

Ikhwanul Muslimin turut menentang Bashar Al-Assad dan menyokong kebangkitan rakyat menentang Presiden Syria berkenaan.

Namun, sebagai Presiden, Morsi dijangka tidak melakukan perubahan besar ke atas dasar luar Mesir terutamanya berhubung Israel.

Terdahulu, beliau mengangkat sumpah sebagai Presiden Mesir dalam satu upacara ringkas di Mahkamah Agung Perlembagaan di sini.

"Saya bersumpah dengan nama Tuhan yang Maha Besar akan mengekalkan pemerintahan republikan dan menjunjung perlembagaan dan undang-undang negara serta menjaga kepentingan rakyat," katanya dalam upacara di mahkamah berkenaan.

Morsi merupakan Presiden Mesir pertama yang dipilih menerusi proses pilihan raya sejak Hosni Mubarak disingkirkan dalam kebangkitan rakyat awal tahun lalu. - Agensi

Adele hamil

Posted:

Adele hamil

NEW YORK - Penyanyi lagu Set Fire To The Rain, Adele (gambar) kini berbadan dua.

Seorang jurucakap penyanyi popular berkenaan mengesahkan di sini, Amerika Syarikat kelmarin bahawa Adele, 24, mengandungkan anak teman lelakinya, Simon Konecki.

Berita mengenainya disiarkan di laman web rasmi penyanyi berkenaan.

"Saya gembira untuk mengumumkan bahawa saya dan Konecki bersama-sama menanti kelahiran anak pertama kami," kata penyanyi Britain itu.

Adele memenangi enam anugerah Grammy awal tahun ini untuk album telarisnya, 21. - AP

Tom Cruise - Katie Holmes berpisah

Posted:

Tom Cruise - Katie Holmes berpisah

KATIE HOLMES bersama suaminya Tom Cruise dan anak perempuan mereka, Suri selepas Holmes menamatkan Marathon New York, pada 4 November 2007.


LOS ANGELES - Industri perfileman Hollywood kelmarin dikejutkan dengan berita perpisahan pasangan selebriti Tom Cruise dan isterinya, Katie Holmes.

"Ya, Holmes memohon cerai dan Cruise amat sedih dengan perkembangan ini, dia kini memberi tumpuan kepada tiga anaknya," kata jurucakap pelakon kacak berkenaan, Amanda Lundberg kepada agensi berita AFP.

"Tolong beri ruang untuk mereka menyelesaikan perkara ini," tambahnya.

"Ini hal peribadi dan persendirian bagi Holmes dan keluarganya," beritahu pula peguam yang mewakili aktres berkenaan, Jonathan Wolfe.

"Perkara utama buat Holmes kini adalah kepentingan anak perempuannya."

Cruise yang mencapai usia 50 tahun pada Selasa lalu, mengahwini Holmes, 33, di sebuah istana kota di Itali pada November 2006.

Perkahwinan mereka adalah yang pertama buat Holmes dan ketiga untuk Cruise.

Pasangan itu memiliki seorang anak perempuan berusia enam tahun, Suri.

Mereka turut memelihara dua anak angkat, Isabella dan Connor yang masing-masing berusia 19 dan 17 tahun. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan